Ikuti Blog ini

[CEMAS] 96 Peserta, 6 Jurupandu Dipanah Petir Di Puncak Gunung Datuk



Rembau – “Saya tidak dengar bunyi petir, tetapi saya nampak cahaya yang seribu kali lebih terang daripada cahaya kamera,” kata salah seorang jurupandu Gunung Datuk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 30-an, ketika ditemui di kaki Gunung Datuk, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, seramai 96 peserta yang mendaki gunung sempena Program Fasilitator Unggul dari Alumni Madrasah Annuriah, Melaka dan enam jurupandu berhadapan detik mencemaskan apabila bahagian atas puncak gunung itu dipanah petir dan aliran arusnya mengalir ke lokasi mereka berlindung di dalam sebuah gua di lokasi berkenaan.

Akibat kejadian itu, empat peserta kini ditahan di wad Hospital Tampin (HT) untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan, kebas, hipertermia atau kesejukan melampau dan anemia.

Peserta berkenaan, Syed Mohd Hakimi Syed Azmi, 21, berasal dari Kelantan; Mohd Hadif Mat, 22, dari Kota Bharu, Kelantan; Nor Sidah Mohd Fadil, 22, dari Teluk Intan, Perak dan Izzati Haziah Mohd, 21, dari Dungun Terengganu.

Seawal 4.30 petang, pasukan perubatan dari HT sudah bersiap sedia di kaki Gunung Datuk untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa insiden berkenaan.

Tercampak selepas kena renjatan petir

Din berkata, ketika itu pihaknya yang menyedari keadaan cuaca bakal berubah buruk mengarahkan peserta yang sedang ke puncak gunung untuk turun, sementara sebahagian lagi tidak dibenarkan naik dan mereka berkumpul untuk diberikan taklimat.

“Belum sempat taklimat habis diberikan, tiba-tiba angin kuat dan saya mengarahkan kumpulan peserta berlindung ke dalam gua berdekatan.

Kejadian berlaku begitu pantas dan sedar-sedar saya sudah tercampak.

“Pada mulanya saya ingat hanya tergelincir, namun apabila melihat keadaan selepas insiden berkenaan dan telinga sebelah kiri tidak mendengar sebarang bunyi, saya sedar ia disebabkan renjatan arus panahan petir yang dibawa oleh aliran air yang terbentuk dalam gua berkenaan,” katanya.

Din berkata, sepanjang tujuh tahun dia menawarkan khidmat jurupandu di Gunung Datuk berkenaan, itu adalah pengalaman pertama kali dipanah petir.

Bomba, JPAM turunkan mangsa Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.50 petang dan seramai tujuh anggota menyertai operasi menurunkan mangsa yang berakhir sekitar 2.

15 pagi semalam.

Menurutnya, susulan terdapat mangsa mengalami kecederaan di bahagian ligamen dipercayai terjatuh semasa menyelamatkan diri, anggota bomba naik ke atas puncak bagi mengusung mangsa turun dengan lebih selamat.

“Bagaimanapun, ia mengambil masa yang lama memandangkan keadaan trek licin susulan hujan lebat dan cuaca gelap sehingga menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan kaedah mengensot sedikit demi sedikit.

“Bantuan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan kekuatan tujuh anggota bagi membantu membawa turun mangsa yang mengalami kesejukan melampau yang sudah bergerak turun terlebih dahulu.

Zamrus berkata, dua lagi peserta mengalami kecederaan seperti kebas dan salah seorang daripada mereka mengalami masalah melecur selepas terkena renjatan bersandar di bahagian dalam gua berkenaan.

Menurutnya, mangsa pertama yang dibawa turun dengan selamat sekitar 12 tengah malam dan dikejarkan ke HT ialah Syed Mohamad Hakimi yang mengalami kesejukan melampau dan mangsa terakhir Mohd Hadif yang cedera pada ligamen sekitar 2.15 pagi.

“Kita menasihatkan orang awam untuk tidak menjalankan aktiviti seumpama ini semasa musim tengkujuh memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan sukar diramal," katanya. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .