Tan Sri Musa Hassan mendedahkan, satu projek komunikasi Polis Diraja
Malaysia (PDRM) bernilai ratusan juta ringgit mempunyai kaitan dengan
perunding perhubungan awam, APCO Worldwide – syarikat Israel untuk
menggilap imej peribadi Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan di mata
dunia.
Kata bekas Ketua Polis Negara itu, ia adalah projek komunikasi Motorola dari sistem analog ke digital PDRM.
“Projek tersebut diperolehi pada akhir 2009. (Hal) Apco dulu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Musa, bekas anggota penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang ‘mengarahkan’ pegawai polis untuk
meluluskan projek tersebut.
“Saya tak tahu berapa jumlah projek. Tapi saya dimaklumkan oleh
sumber-sumber tertentu bahawa projek komunikasi belum lengkap
sepenuhnya, tetapi telah diminta untuk dikomisenkan (diluluskan) untuk
beroperasi.
“Kalau pegawai komunikasi yang menjaga itu tadi tidak dikomisenkan, maka
mereka tidak dibayar. Oleh itu dia (Robert) telah meminta untuk seorang
pegawai yang menjaga komunikasi untuk komisenkan komunikasi itu,”
katanya.
Jelas Musa, pegawai yang tidak dinamakan tersebut tidak mahu meluluskan
sistem komunikasi itu kerana spekifikasinya tidak lengkap.
“Sebab itu, dia (Robert) telah mengugut pegawai ini – kalau komunikasi tidak diluluskan, pegawai itu akan ditukar 24 jam.
“Kalau seorang awam boleh mengugut pegawai polis untuk ditukar kerana
tidak meluluskan projek tadi, siapa yang berkuasa dalam polis?” soalnya.
Musa berkata, pegawai tersebut dipanggil Ketua Polis Negara ketika itu,
Tan Sri Ismail Omar untuk menandatangani, namun masih enggan. Akibatnya
pegawai tersebut ditukar 24 jam dan diganti dengan pegawai baru yang
menandatangani surat kelulusan tersebut.
“Ia berlaku lepas saya bersara,” jelas Musa sambil menambah isu tersebut telah lama dimaklumkan kepadanya.
“Ini salahguna kuasa yang perlu disiasat. Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh sumber polis.
“Kalau orang (Robert) macam ini boleh mengarah pegawai polis, bermakna
dia berkuasa dalam pasukan (PDRM). Dia boleh serang orang lain yang dia
tak suka,” kata Musa.
Pada April 2010, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, kewujudan perisik Israel dalam PDRM melalui satu kontrak dengan nama APCO 425.
Projek itu disubkontrakkan kepada syarikat bernama Asiasoft Malaysia.
Dua pemegang saham dalam syarikat berkenaan ialah B System Sdn Bhd dan
Asiasoft PLC.
Asiasoft PLC didaftar di Singapura, dikuasai oleh Asiasoft Global PLC (dan) yang berpangkalan di Israel.