Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata beliau "memang sedang serius
menimbang" untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan
datang.
Beliau juga mengesahkan telah mendapat tawaran dari banyak pihak untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Dr
Juanda (kiri), pemegang zamalah Universiti Oxford kelahiran Sarawak itu
turut mengakui langkahnya menyertai pilihan raya merupakan "persoalan
besar" yang perlu difikir semasak-masaknya.
"Saya memang tengah timbang serius untuk masuk (bertanding pada) pilihan raya kali ini.
"Banyak
pihak sudah jumpa dan tawar. Sekarang dalam proses analisis keadaan
semasa dan kesesuaian. Ini soal besar," katanya dalam satu kiriman SMS
kepada Malaysiakini semalam.
Kelmarin ahhbar Sinar Harian
melaporkan beliau dan bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri
Zainul Abidin disebut-sebut akan bertanding dalam pilihan raya umum akan
datang.
Akhbar itu memetik beberapa sumber sebagai berkata Dr
Juanda kemungkinan bertanding di Parlimen Kangar, Perlis atas tiket PKR.
Manakala Mohd Asri dikatakan akan bertanding di Pulau Pinang.
Bagaimanapun
semalam beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia
(USM) dilapor akan mengumumkan pendirian rasminya berhubung perkara itu
dalam masa terdekat ini.
Sependapat dengan Mohd Asri (kanan),
rakan seperjuangannya, Dr Juanda juga memerlukan tempoh antara dua
hingga tiga minggu sebelum mengumumkan pendirian rasminya.
"Ya (tempoh dua atau tiga minggu). Bagi saya masa buat analisis," katanya menjawab soalan Malaysiakini.
Dr Juanda adalah lulusan syariah Univerisiti Al-Azhar 1991 hingga 1995.
Beliau
kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana syariah dengan
pengkhususan Penggubalan Undang-undang Keluarga Islam daripada
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). -M'kini