Ikuti Blog ini

Pemuda PAS kerah ahlinya bantu mahasiswa


(Kekecohan berlaku apabila 30 mahasiswa sedang dikepung)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengerahkan anggota di sekitar Pekan, Pahang ke Madrasah Darul Husna, bagi membantu mahasiswa yang sedang dikepung samseng.

Ia berikutan sekumpulan 30 mahasiswa dari Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) dikepung samseng di madrasah tersebut yang merupakan markas PAS.

Menurut maklumat daripada mahasiswa yang berada di sana, sekumpulan samseng mengepung mereka di luar pagar bagi menghalang mereka meneruskan program edaran risalah ke kampung-kampung.

"Pemuda dah dikerah ke lokasi. Semalam mereka dah diserang, pemuda kita ada di sana dan petang kena lagi sewaktu mereka di pejabat PAS kawasan Pekan.

"Insyaallah kita kerah orang kampung dan petang ini juga Ketua Pemuda Kawasan akan pergi ke sana," kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan kepada Harakahdaily.

Beliau juga menasihatkan mahasiswa agar bersabar menghadapi ujian dan tidak gentar meneruskan perjuangan.

(Sebahagian dari mahasiswa yang dikepung dalam madrasah Darul Husna)

"Sebelum ini ANAK diserang kini Mahasiswa,  apa nak jadi dengan politik negara kita?

"Saya nasihatkan rakan-rakan mahasiswa sabar hadapi ujian ini dan jangan gentar untuk terus berjuang menepati idealisme mahasiswa dan lunas demokrasi negara," katanya.

Beliau juga berharap agar pihak polis memberikan jaminan keselamatan kepada mahasiswa.

"Malaysia bukan negara gengster dan mafia. Semoga pihak PDRM dapat bantu memberi hak aman dan selamat kepada mahasiswa G13 di Pekan," katanya.

Sebelum ini, mahasiswa dua siswa dan dua siswi dari kumpulan GM13 diserang dengan parang oleh samseng di Felda Chini 4.

Kumpulan itu diserang ketika mengedar risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan.

Terdahulu, seorang aktivis GM13, Ekhsan Bukhari diserang di Kampung Datuk Keramat dalam Dun Pulau Manis. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .