Ikuti Blog ini

Yahya akui tiada akaun kedua pungut derma untuk KeADILan


Isu penyaluran wang syarikat korporat menyumbang kepada akaun Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sempena majlis perayaan 100 hari Pakatan Rakyat lebih rumit dengan pengakuan bekas pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri semalam.

Yahya dalam satu ulasannya mengenai isu itu menjelaskan bahawa akaun kedua untuk memungut derma kepada KeADILan 'tidak wujud'.

Tidak ada surat-menyurat daripada pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta syarikat korporat menyumbang wang untuk majlis perayaan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tidak ada akaun kedua yang dibuka untuk tujuan itu, tiada transaksi dan tidak ada pungutan wang," katanya lagi.

Isnin lalu Yahya telah meletakkan jawatan pegawai tugas-tugas khas dan Setiausaha Perhubungan KeADILan Selangor.

"Kenyataan menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan (bekas pemimpin kanan KeADILan) Ezam Mohd Nor) tidak benar," katanya dalam satu laporan akhbar.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pesuruhjaya PAS itu bahawa partinya tidak diberitahu mengenai pungutan wang daripada syarikat swasta untuk menjayakan majlis sambutan tersebut, 20 Jun lalu.

Sementara kelmarin, Ezam mendakwa Pejabat Menteri Besar Selangor telah membuat surat dan menghantarnya kepada banyak syarikat supaya memasukkan wang ke dalam akaun milik individu.

Berhubung kenyataan itu Yahya berkata, majlis sambutan 100 hari itu diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya oleh Pakatan Rakyat.

Tambahnya, urusan kewangan untuk program tersebut juga tanggungjawab kerajaan negeri.

"Memang pada peringkat awal, Pakatan Rakyat mahu menganjurkan program tersebut tetapi ia dibatalkan dan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Apabila ia dianjurkan oleh kerajaan negeri, secara automatik pembabitan parti tidak perlu lagi," ujarnya.

Beliau dilaporkan mengakui mengirim surat atas nama KeADILan dan menggunakan satu akaun tetapi tiada derma dimasukkan ke akaun tersebut.

Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengesahkan sejumlah kutipan 'yang tidak perlu' telah dimasukkan ke akaun KeADILan, sepatutnya untuk kerajaan negeri.

Khalid berkata demikian selepas mengumumkan penggantungan tugas Yahya sebagai pegawai kanan di pejabatnya selama dua bulan.

Namun dalam reaksi Yahya mengenai isu itu, Yahya bagaimanapun berkata bekas ketuanya itu tidak merujuknya sebelum membuat kenyataan tersebut dan beliau tidak pernah diberikan peluang menjelaskannya.

Pemuda PAS dan AMK Sabah lancar bantahan kenaikan harga minyak

Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeADILan (AMK) Sabah melancarkan Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) bagi memprotes kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali berkata, setakat ini PAS dan AMK Sabah telah melancarkan dua lokasi kempen iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Kian Kok dan sempena Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam Kawasan Pantai Barat pada 21 dan 22 Jun lalu.

Beliau menambah, kempen bantahan kenaikan harga minyak berakhir pada 31 Jun dan masyarakat menerima baik kempen yang dilancarkan dengan menurunkan tandatangan tanpa mempersoal tindak tanduk penganjur.

Reaksi positif dan sokongan masyarakat terhadap kempen yang dilancarkan menambah semangat penganjur untuk berkerja keras mengutip bantahan.

Tambahnya, rata-rata tandatangan yang diturunkan tidak berpuas hati bukan sahaja kerana kenaikan harga minyak dan mendesak kerajaan menurunkan harga bahan bakar tersebut malah, mereka juga tidak berpuas hati dengan pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badwi yang kurang bijak mentadbir negara.

"kita akan pastikan desakan rakyat yang di buat di seluruh negara mampu memberi tekanan kepada PM sama ada menurunkan harga bahan bakar tersebut atau mendesak beliau turun dari pimpinan negara", katanya ketika ditemui di pejabat Pemuda semalam.

Sehingga kini hampir 2,000 orang telah menurunkan tandatangan bantahan tersebut dan di jangkakan seramai 10,000 orang akan mendatanganinya sehingga akhir bulan ini.

Berkait isu minyak, rakyat Sabah juga menyatakan rasa terkilan dengan kerajaan disebabkan oleh pembahagiaan royalti minyak yang tidak adil terhadap negeri ini dan mahu kerajaan menaikkan royalti minyak rakyat Sabah selaku negeri pengeluar minyak, kata Anuar.

"Tidak logik sebuah negeri ( Sabah ) yang kaya dengan hasil bumi, tetapi rakyatnya hidup susah di negeri sendiri".

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, rakyat Sabah yang belum menurunkan tandatangan protes dapat berkerjasama di setiap kawasan kempen yang dilancarkan.

Larangan media, perang mulut Nazri-BNBBC masih berterusan

Perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, terus berlarutan.

Selepas melabelkan BNBBC seperti kebudak-budakan, Rabu lalu, Nazri semalam mencabar pula kelab itu supaya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memecat beliau sebagai menteri.

"Jika mereka tidak mahu berbuat demikian Isnin ini, jangan banyak cakap. Kalau tidak tahu peraturan, duduk diam-diam," tegasnya dalam satu laporan media semalam.

Nazri membuat cabaran itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing, kelmarin, yang membidas beliau kerana mengkritik kelab itu mengambil keputusan sendiri membuka pita menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen.

Tindakan yang dilihat mengingkari keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, itu dibuat oleh BNBBC kerana mereka tidak bersetuju dengan peraturan yang menyusahkan petugas media.

Rabu lalu, Nazri yang kecewa dengan tindakan BNBBC itu, menganggap perbuatan berkenaan seperti kebudak-budakan dan contoh buruk kerana keputusan membuka atau menutup kawasan lobi daripada petugas media belum diputuskan Speaker.

Tiong bagaimanapun membalas kritikan Mohamed Nazri yang disifatkannya sebagai melampau dan BNBCC dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan tindakan yang akan diambil berikutan kenyataan menteri berkenaan.

Isu itu bermula pagi Selasa lalu apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat terkejut dengan kewujudan pita halangan yang menghalang mereka memasuki Lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan 'bercelaru'.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik balik semula keesokan harinya berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama wakil media.

Mohamed Nazri yang mempertahankan kenyataannya terhadap BNBBC menjelaskan kelab itu tidak pernah menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

"Mereka sebaliknya bertindak melulu tanpa berjumpa saya sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, untuk mendapatkan penjelasan. Mereka perlu ingat ini Parlimen, kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

"Kalau tidak puas hati, bawa isu itu ke dalam Dewan Rakyat dan bukannya bertindak seperti itu. Bagaimana sebuah kelab yang dilantik oleh Perdana Menteri lebih tinggi kuasa daripada Speaker," katanya.

Mohamed Nazri juga kesal dengan tindakan Ting yang dianggap seperti 'kacang lupakan kulit' kerana beliau sendiri yang mencadangkan Ahli Parlimen Bintulu itu mengetuai BNBBC.

Hentikan penyiksaan, bebaskan semua tahanan ISA - Wan Azizah



Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah dalam satu perutusan sempena sambutan 'Hari Menentang Penyeksaan Sedunia pada 26 Jun lalu menyery mana-mana pihak menghentikan penyeksaan atau penderaan yang kian giat berlaku di seluruh dunia.

"Kami dari Pakatan Rakyat mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar segala penyeksaan dan penderaan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia, baik disebabkan oleh perang mahupun hasil daripada pentadbiran kuku besi rejim pemerintah sendiri, ditamatkan segera atas prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial," kata Wan Azizah.

Setakat 26 Jun lalu hanya 142 buah negara mengiktiraf Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Tidak Berperikemanusiaan, ujarnya.

Namun kata Wan Azizah, paling dikesali Malaysia adalah salah sebuah negara yang tidak mengiktiraf konvensyen tersebut.

"Adakah Kerajaan Malaysia tidak bersedia mengiktiraf konvensyen yang sudahpun diterima oleh negara-negara ASEAN lain seperti Cambodia, Indonesia dan Filipina?

"Hakikatnya, cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditolak dan penderaan dalam tahanan terus berlaku.

"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih dikekalkan dan menyaksikan penyeksaan terbaru ke atas Sanjeev Kumar di Kem Kamunting dalam penahanan 60 hari pada Mac tahun ini," katanya.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah berkali-kali mengemukakan usul serta pertanyaan berkenaan ISA dalam sidang parlimen lepas, katanya.

Namun semua ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat, antaranya termasuk pertanyaan beliau sendiri berkenaan tahanan pemimpin Hindraf dan 20 tahanan yang mencapai enam tahun, ujar Wan Azizah.

"Kami akan meneruskan segala usaha untuk mendesak Kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan ISA yang mencabuli hak asasi manusia dan melanggari prinsip demokrasi.

"Akhirnya saya menyeru agar semua lapisan masyarakat yang cintakan keadilan sosial dan kemanusiaan untuk hadir program Malam Himpunan Rakyat Anti ISA yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Sabtu ini (28 Jun)," katanya.

Bersihkan nama isteri TPM dengan dakwa Raja Petra? - Mohamad Sabu


Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pihak berkuasa mendakwa pengendali laman web Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin kerana membuat tuduhan yang serius terhadap isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, tuduhan Raja Petra dalam akuan bersumpahnya terhadap kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu itu sesuatu yang amat serius dan memburukkan nama TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri.

"Dakwaan itu sangat serius, kerajaan perlu segera mendakwa Raja Petra bagi membersihkan nama Timbalan Perdana Menteri dan isterinya daripada dakwaan terlibat di dalam kes pembunuhan Altantuya," ujarnya ketika berceramah bersempena Program Pelancaran dana Kebajikan Muslimat dekat Temerloh malam tadi.

Pada 25 Jun lalu, Najib telah menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah Raja Petra berhubung pembabitannya dan isteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia itu.

Najib ketika mengadakan sidang medianya di Parlimen menafikan bahawa isterinya itu terbabit dalam pembunuhan Altantuya

Begitupun ujar Najib, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah Raja Petra itu.

Najib mendakwa apa yang ditulis oleh Raja Petra adalah satu pembohongan semata-mata sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Sebelum ini, pengendali laman web Malaysia-today.net itu dalam akuan bersumpahnya pada 18 Jun lalu, mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehari sebelum penafian Najib itu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula membuat kenyataan menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

"Memang saya concern (dengan dakwaan penulis Malaysia-Today Raja Petra Kamarudin). Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.

"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.

"Itu tak betul," katanya Abdullah dalam satu sidang medianya di Parlimen 24 Jun lalu.

Sementara itu Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, polis telah merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan terbaru Raja Petra itu.

Menurut Khairy, beliau telah memberitahu polis bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang laporan perisikan tentera dari perdana menteri atau mana-mana pihak.

Dalam akuan berkanunnya, Raja Petra mendakwa laporan tersebut telah diserahkan kepada Khairy untuk disimpan dengan selamat.

Khairy berkata, beliau juga telah memberitahu polis bahawa akuan berkanun itu, kandungannya dan tuduhan terhadap beliau, dibuat dengan niat yang jahat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rembau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen 25 Jun lalu.

Khairy berkata, beliau memberi kenyataan tersebut selama kira-kira sejam di Putrajaya.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis sensasi dan pengendali blog Malaysia Today.

Khairy berkata, beliau tidak tahu apakah motif Raja Petra tetapi menegaskan bahawa dakwaan itu dibuat berasaskan sumber-sumber dan khabar angin.

Katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ia telah mencemarkan kredibiliti beliau.

MP berbasikal sebagai duta PM rasmikan gaya hidup berjimat

Bait lagu nyanyian Ito Blues Gang bukanlah mengambarkan budaya berbasikal masyarakat kota masa kini tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kesediaan empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpeluh berbasikal ke sidang Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Tian Chua (Batu), N. Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dilaporkan masuk Malaysian Book of Record sebagai Ahli Parlimen pertama naik basikal ke Parlimen.

Tindakan keempat-empat mereka itu berbasikal ke Parlimen secara tidak langsung merasmikan upacara perasmian untuk melancarkan cara hidup berjimat yang lupa dirasmikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat ubah gaya hidup.

Pada kebiasaan acara perasmian Perdana Menteri, akan menepung tawar, memotong riben, memandu jengkaut, traktor dan lain-lain tetapi kenapa dalam perkara besar untuk mengubah gaya hidup tidak diatur sedemikian rupa bagi memberi pendidikan kepada rakyat.

Sepatutnya berbasikal ke Parlimen dilaksanakan Abdullah bersama pemimpin kanan mereka untuk dijadikan acara perasmian sebaliknya telah didahulukan oleh empat Ahli Parlimen KeADILan yang seolah-olah bertindak sebagai duta Perdana Menteri bahkan dapat masuk dalam rekod.

Mereka yang dapat sanjungan ini, rupanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pula mengeji.

Beliau sifatkan perbuatan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Katanya, mereka cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

Bagi negara maju di Eropah dan negara membangun Asia Timur, berbasikal ke pejabat menjadi amalan yang sudah biasa dan bukanlah satu pandangan yang aib menggambarkan kehidupan peribadi miskin sebagaimana pandangan mata kasar rakyat Malaysia.

Sesungguhnya berbasikal di Malaysia memalukan seperti lagu Ito tadi berbasikal ke bandar kerana tidak berkemampuan disebabkan bekerja menorah getah. Sambungan daripada rangkap diatas tadi:

apo dayo motong gotah
apo nak dikato
kalau buleh nak jadi cikgu sekolah kek kolo pilah

Oleh yang demikian tindakan keempat-empat ahli parlimen tersebut boleh memecah kebuntuan penyakit keegoaan masyarakat supaya dapat melihat berbasikal itu bukan kerana kemiskinan tetapi merupakan jentera paling jimat masa kini dan tidak mencemarkan alam sekitar di samping melahirkan rakyat yang cergas dan sihat.

Bagaimanapun empat ahli parlimen itu belum berjaya untuk melahirkan matlamat sedemikian rupa walaupun sudah ada ke arah tersebut kerana mereka bukanlah pemimpin yang sepatutnya menjadi tauladan sebagaimana slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan melalui tauladan.

Bagi mencapai cita-cita berbasikal menjadi amalan, kerajaan sepatutnya kena bertindak terlebih dahulu, menjadi contoh kepada rakyat.

Mahligai Abdullah dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri tidak berapa jauh. Abdullah boleh menunjukkan contoh suspen kepada kakitangan dan rakyat dengan tiba-tiba muncul berbasikal ke pejabat, sebagai langkah pengajaran.

Perbuatan tersebut tidak bermaksud menyuruh Abdullah berbasikal setiap hari tetapi memadai beliau menjadikan amalan baik kerana sekurangnya Perdana Menteri dapat menjiwai rakyat bawahan yang miskin dan berbasikal.

Jika amalan tersebut berterusan bolehlah rakyat anugerahkan pemimpin berjiwa rakyat. Kalau dahulu beliau turun padang dikatakan berjiwa rakyat tetapi ia tidak lebih daripada lakonan seperti berlakon naik basikal tadi.

Sahabat Rasulullah s.a.w yang memimpin kerajaan dahulu bukan berlakon naik basikal tetapi memang kehidupannya sama dengan rakyat biasa sehingga mereka menjiwai perasaan rakyat yang hidup miskin.

Dalam Sahih Bukhari ada menyatakan ketika Rasulullah saw pulang daripada mendapat wahyu pertama, Khadijah berkata: "Seseungguhnya anda itu betul-betul menyambungkan kekeluargaan, suka menanggung beban orang yang sedang dalam kesukaran, memberi pertolongan kepada orang miskin, gemar menghormati tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana sama ada diperlakukan secara tidak adil oleh orang lain."

Falsafah pemimpin Islam berlumba menjadi paling miskin daripada rakyatnya yang miskin bukan berlumba menjadi paling kaya daripada rakyatnya yang kaya.

Abu Bakar, Umar dan lain-lain tidak melakukan demand untuk diri sendiri sebagai pemimpin sebaliknya memastikan rakyat terlebih dahulu menikmati kehidupan sempurna barulah beliau merasa selesa untuk hidup senang.

Diriwayatkan Ibn Sa'd, pada tahun kelaparan pemerintahan Umar bahawa unta disembelih lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga kepada Umar.

Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa." Dalam riwayat al-Tabari, Umar juga tidak makan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai terlebih dahulu dapat memakannya. Umar mengambil sikap sedemkian kerana barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?".

Bersediakah Abdullah mengambil Umar sebagai idola beliau untuk diterapkan dalam pemerintahannya?

Allah berfirman dalam surah al-Isra ayat 26-27: "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya." Selain itu kerajaan juga kena meningkatkan prasarana laluan berbasikal dan pejalan kaki. Prasarana jalan ibu kota dan peraturan tidak memberi keutamaan kepada penjalan kaki dan berbasikal kerana itu kenderaan tidak menghormati pihak yang kecil sehingga mengancam nyawa.

Koridor jalan mesti selesa untuk kemudahan laluan basikal supaya tidak menganggu kenderaan lain dan perasaan penunggang lebih tenteram berbasikal tanpa rasa takut dirempuh kereta atau kenderaan berat.

SAPP, Anifah Aman bergabung tentang dasar pecah perintah BN di Sabah

Presiden Parti Maju Sabah, Dato' Yong Teck Lee mencadangkan Dato' Anifah Aman mengetuai anggota Parlimen Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak untuk mengubah landskap politik negara.

"Anifah muncul ketika semua parti komponen BN Sabah menyerang SAPP yang kononnya menyanjung tinggi semangat BN. BN sabah lebih pentingkan kepentingan mereka daripada membela hak dan kepentingan rakyat Sabah.

"SAPP mengkagumi pendirian Anifah yang berani menentang konsep serta dasar pecah perintah BN yang diamalkan di Sabah," katanya.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis adalah adik kepada Ketua Menteri Sabah Dato' Seri Musa Aman, merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Baru-baru ini beliau bersama Dato' Abdul Ghafur Salleh, menolak perlantikan semula sebagai Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sejak selepas Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac lepas, Anifah dan beberapa rakannya dilaporkan lantang mengkritik pemimpin-pemimpin tertentu BN, khususnya dari Umno.

Dalam kenyataannya semalam, Teck Lee berkata, SAPP amat menghargai sokongan terbuka Anifah kepada pendirian parti dalam banyak perkara.

"Kita menyokong Ahli Parlimen Kimanis untuk mengetuai Ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik Sabah dan Sarawak melakukan proses perubahan politik," katanya.

Presiden SAPP itu menegaskan, keadaan politik negara sekarang ini adalah merupakan waktu yang terbaik dan terbuka luas, tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk perubahan yang dikehendaki.

Demonstrasi bantah harga minyak di masjid sekitar Selangor hari ini

Bagi meneruskan kempen memastikan kejayaan Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat yang akan diadakan pada 6 Julai nanti, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bersama-sama Pemuda Pakatan Rakyat Selangor akan mengadakan demostrasi bantahan kenaikan harga minyak serentak di masjid-masjid di sekitar negeri Selangor selepas solat Jumaat hari ini.

Demonstrasi bantahan akan diadakan di beberapa lokasi iaitu di Masjid Kg. Baiduri, Petaling Jaya, Masjid Bandar Baru Sg. Buloh, Masjid Bukit Indah, Ampang dan Masjid Al Munir, Lestari Perdana, Seri Kembangan.

Selain itu demonstrasi akan turut diadakan di Masjid As Syakirin, Gombak Setia, Masjid Sg. Nipah, Simpang Lima, Sg. Besar dan Masjid Al Hidayah, SS3, Kelana Jaya.

Naik Motor pakai serban adalah satu kesalahan????

Polis pakai tafsiran sendiri


Ha….hati2 kalau bawa motor…tak semua pemandu motor boleh pakai serban…silap haribulan kena saman….

KOTA BHARU: “Orang Kena Saman (OKS) beritahu saya, dia pelajar pondok dan pada pemahaman saya dia masih lagi seorang pelajar,” kata seorang anggota polis dalam perbicaraan terhadap seorang pelajar pondok berserban yang didakwa melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Saksi pendakwa yang bertugas sebagai anggota Unit Peronda, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan, berkata pelajar terbabit ketika ditahan memberitahu statusnya sebagai pelajar pondok, maka tindakan saman boleh diambil kerana pelajar terbabit belum layak dianggap lebai kerana masih belajar.

Menurutnya, dia memahami Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 menyatakan pengecualian saman hanya untuk seseorang bergelar haji, hajah, Sikh dan lebai.

Prosiding itu berlangsung di hadapan Majistret Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra selepas pelajar Madrasah al-Diniah al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok, dekat Pasir Tumboh, Ahmad Nasir Darus, 27, mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.

Pemuda itu didakwa mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh menyebabkan didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, manakala Ahmad Nasir selaku OKS diwakili peguam, Ahmad Rizal Affande Zainol.

Menurut Che Sidek, pelajar terbabit tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban dengan ikatan kemas dan pada masa sama tidak menunjukkan sebarang dokumen menyatakan dia dikecualikan memakai topi keledar.

Terdahulu, saksi itu turut disoal Ahmad Rizal mengenai pemahamannya terhadap peruntukan Kaedah Motosikal yang menyebut pengecualian saman.

Ahmad Rizal merujuk maksud lebai dipetik dari Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud orang yang tahu tentang agama, orang yang melakukan kerja bersangkutan agama dan gelaran kepada orang yang tahu hal ehwal atau taat kepada agama.

Che Sidek yang sudah enam tahun bertugas sebagai anggota polis, memberitahu dia mendapati Ahmad Nasir itu mempunyai ciri seorang lebai, tetapi tidak bersetuju cadangan Ahmad Rizal saman terhadap pelajar berkenaan menyalahi Pemberitahuan Pengecualian 1975 bagi Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar Keselamatan) 1973.

Ketika prosiding, Ahmad Rizal turut meminta saksi pendakwa menunjukkan bukti dirinya beragama Islam kepada mahkamah, sebelum Che Sidek bersetuju mengucap dua kalimah syahadah serta menyatakan maksudnya di hadapan majistret bagi membuktikan kepada mahkamah dia beragama Islam.

Kemudiannya, Tengku Amalin menetapkan 21 Julai nanti sebagai tarikh hujahan bertulis kedua-dua pihak, diikuti hujahan balas peguam bela dan hujahan pihak pendakwa masing-masing pada 4 dan 18 Ogos ini, sebelum keputusan kes ditetapkan pada 15 September depan.

Selesai prosiding berkenaan, Ahmad Nasir disambut dan diiringi kira-kira 100 pelajar pondok tempat dia belajar yang juga hadir dengan berserban dan berjubah.

Sebaik Ahmad Nasir keluar dari dewan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari, mereka berkumpul dan mengamimkan doa dibacakan seorang daripada rakannya.

Mufti Perlis sambut baik saranan Tokguru


KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beliau memasuki parti politik jika ingin melaksanakan kebaikan serta mencegah kemungkaran.
"Saya ucapkan terima kasih di atas pandangan Dato' Nik Aziz. Saya lihatnya dari sudut positif cuma kedudukan saya sebagai Mufti, rasanya tidak sesuai. Lagipun saya belum bersedia," kata Dr Asri.
Menurut Nik Aziz, seseorang yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.
Katanya jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.
Nik Aziz membuat saranan pada Dr Asri dalam satu sidang media perasmian Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur hari ini.
Jelas Nik Aziz lagi, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.
"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti," kata Nik Aziz ketika diminta mengulas kenyataan Dr Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.
Dr Asri pula berpendapat, dia sudahpun memasuki daerah politik.
"Sebenarnya saya sudahpun masuk daerah atau sempadan politik bila saya memberi pandangan tentang isu-isu politik. Tapi saya belum dan tidak menyertai mana-mana politik. Begitu juga halnya bila saya menyentuh hal berkaitan seni, tidak semestinya saya menjadi artis," jelasnya.
"Bukan semua orang ada kemampuan jadi ahli politik seperti saya. Mungkin selepas ini saya akan beri pertimbangkan dan beri perhatian serius saranan Nik Aziz," katanya.
Namun kata Dr Asri lagi, apa yang disuarakan oleh Nik Aziz itu pada sudut-sudut tertentu ada benarnya.
"Pandangannya betul tapi masanya bukan sekarang kerana saya belum ada cukup kemampuan. Saya perlukan kekuatan politik yang 'luar biasa' bukan sekadar jadi orang pinggiran. Untuk jadi 'gergasi politik' saya perlukan cukup peralatan yang mana saya belum berkemampuan," katanya.
Walaubagaimanapun, kata Dr Asri, tidak mustahil hatinya akan berubah satu hari nanti.
"Tidak mustahil saya akan pertimbangkan satu hari nanti bila masa dan keadaan sudah berubah. Segalanya mungkin. Tapi di hari ini, perkara ini (masuk mana-mana parti) belum terlintas lagi dalam fikiran saya," katanya.

Benarkan Harakah diterbit secara harian � Mursyidul Am PAS



KOTA BHARU, 26 Jun (Hrkh) - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepatutnya membenarkan Harakah diterbit secara harian sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar bersikap telus.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sudah sampai masanya Harakah turut diberi kebenaran menerbitkan akhbar harian selepas beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.

�Saya gembira sangatlah apabila KDN mengembalikan semula permit Harakah dua kali seminggu, berbalik pada asallah.. Yalah tiada sebab nak sekat, untuk apa nak sekat kita sebagai sebuah negara demokrasi.

Image�Sepatutnya bukan kelulusan permit dua kali seminggu, sebaliknya secara harian,� katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat Bank Islam Malaysia Berhad kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Dewan Teratai, di sini petang ini.

Beliau diminta mengulas kelulusan permit penerbitan Harakah dikembalikan semula kepada dua kali seminggu, yang dihantar KDN kepada pihak pengurusan Harakah baru-baru ini.

Harakah diterbit di bawah Jabatan Penerangan PAS Pusat bermula 1987. Pada peringkat awal diterbit sekali seminggu dan kemudian KDN membenarkan penerbitannya dikerapkan kepada lapan kali sebulan.

Namun selepas Umno dan BN kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya umum 1999, penerbitan Harakah disekat kepada hanya dua kali sebulan.

Sebelum ini juga Harakah pernah memohon permit akhbar harian yang dikenali sebagai Purnama namun tidak mendapat sebarang jawapan daripada KDN.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, bersesuaian Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, benarkan akhbar berkenaan diterbitkan secara harian seperti akhbar lain.

Beliau bagaimanapun mengucap terima kasih kepada KDN kerana telah mengembalikan semula hak tersebut biar pun lebih lapan tahun disekat.

Kalau Betul-Betul Tak Bersalah Segeralah Saman!


Saya ingat dah berulangkali cerita mengenai kaitan antara Najib (dan isterinya) dengan pembunuhan Altantunya dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutama Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dada akhbar dan blog. Tetapi acapkali ia timbul, pertama kita dapati begitu lambat respon daripada si empunya badan. Selang beberapa hari Najib akan terhegeh-hegeh keluar dari tempat persembunyiannya lantas menafikan segala apa yang di"fitnahkan" kepada dirinya dan isteri. Fenomena ini berulang lagi beberapa hari yang lepas apabila RPK menyiarkan Akuan Berkanunnya tentang penglibatan 3 individu termasuk Rosmah isteri Najib di dalam kes pembunuhan Altantunya.

Saya tak berhajat nak bercerita panjang lebar tentang kandungan akuan berkanun tersebut. Kalau anda berminat sila layari
www.malaysia-today.net untuk menatapi sepenuhnya cerita yang berkaitan. Apa yang jelas ialah RPK telah mendedahkan bagaimana ketiga-tiga orang ini bersama-sama menyaksikan bagaimana peledak C4 dipasang di seluruh badan Altantunya dan kemudian diletupkan. Seterusnnya beliau mendakwa Pak Lah dan seorang raja (sultan?) telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Saya tak tahu nak panggil anak bapa ke atau anak jantan kepada RPK. Masakan beliau suka-suka buat kenyataan berkanun ini dan menghadapi risiko yang amat tinggi? Bukankah sebelum ini RPK pernah membuat kenyataan yang hampir sama berat sehingga beliau ditahan reman untuk siasatan? Jadi tentulah beliau memiliki keberanian yang amat hebat atau kebodohan yang tiada taranya dengan mengeluarkan akuan berkanun ini, bergantung kepada tahap kebenaran ceritanya.

Saya amat bimbang dengan akaun bersumpah ini kerana ia melibatkan isteri orang yang nombor 2 paling tinggi dalam negara. Dan jika benar apa dakwaan RPK maka Pak Lah dan raja berkenaan pun perlu disiasat dan mungkin juga diambil tindakan kerana menyembunyikan bukti. Selepas beberapa hari baru pihak polis memanggil Rosmah. Bagaimana dengan yang lain-lain? Apa kata kalau benar apa yang didakwa oleh RPK? Apa pula kesannya kepada keadaan politik negara di saat Pak Lah begitu lemah sekali?

Setelah melihat gambaran besar daripada kejadian ini dan mengambil kira kronologi kejadian menyayat hati ini, saya berpandangan mahkamah perlu melihat semula saksi-saksi kes setakat ini dan demi keadilan perlu memanggil mereka yang didakwa di dalam akuan berkanun Raja Petra. Jika ada cubaan untuk pejam mata sebelah di dalam kes ini saya bimbang ia akan memakan diri kita semua kelak. Dan bagi Najib dan Rosmah, tuduhan ini amat amat berat dan hanya ada satu jalan saja untuk membersihkan diri iaitu dengan menyaman malu RPK. Jika kau orang berdua tak buat maka mahkamah rakyat akan memutuskan kamu berdua …………….

LAWAK HARI INI : BELI FORKLIFT PAKAI GAS MEMASAK


LAWAK HARI INI

DPPBK mencadangkan kepada orang ramai supaya menukarkan kereta mereka dengan membeli Forklift yang menggunakan gas memasak sebagai bahanapinya. Ini merupakan salah satu langkah untuk menjimatkan belanja akibat kenaikan harga minyak.

Jadi kita semua boleh menggunakan Forklift untuk ke tempat kerja dan dapat jimatkan belanja. Malah kalau Forklift di tempat kerja kita rosak kita boleh pinjamkan Forklift kita pada majikan kita.

Macamana Tuan-Tuan dan Puan-puan bernas tak idea saya ini.

EURO 2008: Pakatan Vs BN 7+0


Perlawanan persahabatan diantara BN dan Pakatan telah masuk ke separuh masa yang kedua. Pada pusingan pertama, team Pakatan telah merembat 6 gol melalui penyerang utama Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyerang kedua seorang bekas banduan, Lim Guan Eng

Pada minit kedua puluh, Azizan Razak telah merembat gol yang ketiga, diikuti minit ke 25 pertahanan kanan Khalid Ibrahim menyumbang gol yang keempat.


Sejarah tercipta, apabila penjaga gol Pakatan Rakyat Ir Nizar Jamaludin telah membuat sepakan kencang dari gol Pakatan terus ke gol BN. Penjaga gol BN Tajul Rosli tersungkur di belakang tiang gol apabila keliru dengan sepakan yang dibuat.

Di hujung separuh akhir pertama, pertahanan kiri Pakatan Rakyat, Dr Lo Lo telah membuat rembatan keenam dengan dibantu rakan sepasukan, Nurul Izzah dan Wee Kah Cheong daripada team Pakatan.

Setelah berehat selama beberapa bulan, perlawanan diteruskan separuh masa kedua. Berlaku sedikit perubahan apabila penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim telah dibenarkan beraksi semula dipadang setelah digantung dan dikurung selama enam tahun.

Beliau memulakan perlawanan dengan memberi bola tanggung kepada rakan beliau Haji Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi telah melontar bola ke kanan dan disambut oleh pemain veteran Lim Kit Siang. Bola dipulangkan kembali kepada Anwar dan Anwar terus merembat tepat ke gol BN. Namun penjaga gol baru BN Mohamamad Mohd Taib berjaya menangkap bola.

Terdengar sorakan dari kelab penyokong pasukan BN yang diketuai menantu penyerang utamanya Khairi Brooks. Pasukan penyorak mereka telah boo pemain Pakatan kerana tidak berjaya menyumbang gol ketujuh. Pada minit kelima separuh masa kedua, sekali lagi penyerang kanan Pakatan membuat rembatan tepat ke galang gol BN. Namun sekali lagi Khairi Brooks dan ahli kelab penyokong BN menyorak Pakatan kerana bola telah melepasi gelanggang.

Namun, pada minit kelapan belas, pertahanan kanan BN Dato Yong Teck Lee telah merembat bola masuk ke gol sendiri. Pemain yang berasal dari Sabah ini telah membuat sepakan protes apabila tidak berpuas hati dengan penyerang utama mereka Wak Lah Bodowi yang melantik menantunya Khairi Brooks sebagai pengurus pasukan yang baru. Tindakan Dato Yong Teck Lee ini telah menyumbang gol ketujuh percuma buat Pakatan Rakyat.

Permainan terpaksa ditangguh sementara akibat pergolakan dalam pasukan BN. Pertahanan kiri BN, Ali Rustami telah menumbuk Dato Yong Teck Lee di tengah padang. Selain itu, pemain veteran BN, G Samy Vellu telah mencubit perut Yong. Pengurus pasukan yang baru Khairi Brooks juga telah menyepak curi belakang Yong.

Namu setakat ini, tiada kecederaan berat yang dialami Dato Yong. Maklumat terkini mendapati, beberapa pegawai BPR telah diarahkan oleh penyerang Utama pasukan BN, Wak Lah Bodowi untuk memulas telinga Yong yang dikatakan khianat pada pasukan.

Menurut pengulas bola sepak dunia, Ronaldo Hadhari, kejadian ini merupakan yang pertama di Malaysia. Ia mungkin terjadi disebabkan pasukan BN tidak pernah mengalami kekalahan sejak 50 tahun yang lalu.
Pasukan BN terkenal dengan permainan kotor mereka apabila kerap menyepak kangkang dan menyengkang kaki lawan di tengah padang.

Mereka juga sering merasuah pengadil lama T Rashitendam.
Menurut Ronaldo Hadhari lagi, pasukan BN pernah membunuh 15 pemain muda Pakatan yang diketui oleh Ibrahim Libya yang sedang menjalani latihan padang di Memali Baling Kedah. Malah mereka pernah bertindak mengurung penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim selama enam tahun di sebuah kurungan di Sungai Buluh.

Sekian berita utama dari Radio Kerinchi FM.

Ganjaran RM1 juta untuk atlet dibantah keras


Pengumuman Timbalan Perdana Mneteri Dato' Najib Tun Razak untuk memberi ganjaran 'durian runtuh' sebanyak RM1 juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 dibantah keras oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ini termasuklah juga untuk menganugerahkan atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan kepada RM300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM berpendapat kerajaan sanggup mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet di saat rakyat menghadapi keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi.

"Insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

"Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak," kata Presidennya Mohd Hilmi Ramli dalam satu kenyataan medianya.

Katanya, ganjaran mewah bukan jaminan atlet untuk menjadi cemerlang malah kerajaan tidak sepatutnya membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara yang sewajarnya dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara.

"Memberi 'umpan' mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat 'dibelai' dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?" soalnya lagi dan menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran yang sepatutnya diberi secara berpatutan.

Kata Hilmi lagi, seandainya dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat di samping mendidik atlet supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah 'perjuangan mati dan hidup' sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .