Ikuti Blog ini

Komplot Anti Abdullah Dan Anwar



PAS mengesyaki ada komplot dalam UMNO dan kerajaan yang anti Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anti kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menyatakan demikian dalam blognya, Politik Malaysia melalui tulisannya Komplot Terhadap Abdullah dan Anwar.

Menurut beliau komplot itu sedang berusaha untuk membunuh karier politik kedua-dua tokoh itu dengan satu tindakan iaitu menangkap Datuk Seri Anwar selepas tuduhan meliwat seorang pemuda.

Sebelum itu, beliau menyatakan bahawa tindakan menangkap Anwar adalah satu tindakan yang tidak wajar samasekali kerana penangkapan dibuat tanpa bukti yang kukuh.
"Saya rasa, ada semacam satu komplot dalam UMNO dan kerajaan sendiri yang cuba untuk mengambil kesempatan daripada suasana yang ada sekarang. Komplot ini bagi saya memang anti Anwar dan juga anti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," tulis Mustafa.

Beliau menaruh keyakinan bahawa Abdullah tidak terlibat dengan penangkapan Anwar kerana menurutnya Wan Azizah telah berjumpa Abdullah selepas Anwar dituduh dibuat baru-baru ini, menunjukkan Abdullah tidak tahu apa-apa.

”Menggunakan seketul batu untuk membunuh dua ekor burung serentak,” adalah perumpamaan yang digunakan beliau merujuk kepada tindakan ‘komplot’ yang bertujuan untuk mematikan karier kedua-dua tokoh, Abdullah dan Anwar sekali gus.

Logiknya, tulis Mustafa, apabila tindakan dibuat terhadap Anwar, jari akan dituding kepada Abdullah selaku Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan.

"Mengikut bacaan saya, tindakan ini berjaya diambil kerana kegagalan Abdullah sendiri untuk menguasai seluruh jentera kerajaan. Oleh kerana itulah, komplot ini boleh berjalan sedemikian rupa," tulis beliau lagi.

JALAN KE PUTRAJAYA – DEKAT TAPI BOLEH TERSESAT


Hari ini ramai yang bercakap tentang Jalan Ke Putrajaya, pemimpin menggambarkan jalan itu dekat dan hanya membilang hari untuk sampai ke destinasi. Walaubagaimanapun saya turut berminat untuk berkongsi pandangan bahawa banyak jalan boleh di lalui sebelum sampai ke Putrajaya.


Pertama : Hari ini jalan yang paling popular adalah jalan melalui perubahan Ahli Parlimen BN kepada Pakatan Rakyat. Saya istilahkan jalan ini sebagai JALAN PINTAS. Jalan Pintas biasanya tidak berapa elok, banyak lopaknya. Walaupun dekat tapi bercabang. Biasanya kumpulan yang menggunakan jalan ini tiada pengetahuan tentang jalan yang dilalui, hanya Ketua yang memandu mereka. Walaupun jalan ini dekat tapi boleh tersesat. Banyak pendaki everest yang menggunakan jalan pintas tapi tersesat akhirnya. Yang paling malang bila tersesat, mereka lupa jalan pulang. Fikir-fikirkan lah....

Kedua : Jalan Kedua untuk ke Putrajaya adalah Jalan melalui kerjasama dengan UMNO. Saya istilahkan jalan ini sebagai JALAN MATI, Dato’ Asri pernah menggunakannya. Pejuang-pejuang Islam sudah lama melupakan jalan ini. Jalan ini juga dekat tapi merbahaya. Jalan mati boleh dihidupkan semula kalau kena caranya seperti ”DEMI ISLAM”, ”UNTUK ISLAM”, ”MARUAH UMMAH” dan seumpamanya. Jalan mati biasanya ada Jambatan Penghubung dan Jambatan itu biasanya Rapuh. Mereka yang melalui jalan ini biasanya akan terhumban kejurang fitnah. Renung-renungkanlah....

Ketiga : Jalan Ketiga untuk ke Putrajaya adalah melalui undi Rakyat. Saya istilahkan jalan ini sebagai JALAN LURUS. Jalan ini lambat dan memerlukan kesabaran. Almarhum Ustaz Fadhil Noor, Prof.Zulkifli Muhammad antara pejuang yang melalui jalan ini. Risiko melalui jalan ini, anda mungkin mati diperjalanan. Mereka yang sering bertukar teksi atau bertukar Parti juga tidak sesuai melalui jalan ini, maklumlah lambat. Tapi mereka yang melalui jalan ini tetap memegang prinsip jalanan, BIAR LAMBAT ASAL SELAMAT. Nilai-nilaikan lah...

Maka carilah jalan agar Islam dapat dimertabatkan dimuka bumi Allah ini. Yang paling dibimbangi adalah mereka yang tidak berjalan.... kerana yang kaku itu biasanya mati.
Adly Zahari

Majlis Muktamar PAS ke-54 yang akan berlangsung di Negeri Perak bermula pada 15-17 Ogos 2008




# Kalau anda dari arah Kuala Lumpur , Jangan keluar di Toll Simpang Pulai.Teruskan hingga melalui tempat bayaran toll bayaran di Tambun. Teruskan perjalanan anda hingga berjumpa susur keluar yang pertama (lebih kurang 10 minit dari tempat bayaran toll tadi dan ambil lorong kiri (tidak perlu menunggu di isyarat lampu merah melainkan anda dilorong kanan)
# Jalan sini agak sibuk.Ambil lorong sebelah kanan.
# Ada dua lorong disini , anda kena pandu di lorong sebelah kiri jalan.Berhati-hati bila sampai dipersimpangan lampu merah seterusnya kerana disitu tempat motorist buat U-Turn ; anda pula membelok kekanan ( sebab itu anda kena pilih lorong sebelah kiri jalan.
# Lepas tu mudah sebab ada petunjuk arah.

PAS sokong Anwar enggan beri DNA


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan membenarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri akan dimanipulasi pihak berkuasa.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang juga ahli Parlimen Bachok di Parlimen hari ini, beliau berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.

"Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.

"Saya menyeru kepada semua agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang diadili.

"Asas ini harus dipegang dalam menilai tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Di samping itu, Bernama melaporkan beliau juga mengalu-alukan pembebasan Anwar namun memandang berat cara penangkapan yang dibuat terhadapnya.

"Kami memandang berat cara penangkapan Anwar yang dibuat polis semalam yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau bersedia melaporkan diri dan memberi kerjasama," katanya.

CERAMAH GEMPUR SANGLANG....!!!!!!

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat perjuangkan keadilan



Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.

Demikian kenyataan beliau yang dibacakan Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam sidang media di bangunan parlimen sebentar tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad; serta Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Menurut beliau, PAS menegaskan dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," kata beliau.

PAS juga berpendirian bahawa isu-isu rakyat gagal ditangani dan dipikul oleh Umno/BN seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," ujarnya.

Sementara itu PAS juga melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa semalam.

PAS turut mengalu-alukan pembebasan Anwar yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi, kata beliau./

Anwar dibogelkan, periksa alat sulit



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur malam tadi.

Menurutnya, beliau diperiksa seluruh badan, termasuk bahagian sulitnya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mereka juga 'ukur mana yang perlu' dan beliau 'ikut semuanya".

Katanya, beliau juga enggan membenarkan gambarnya diambil "kerana mereka mungkin disiarkan dalam YouTube".

Menurut mantan timbalan perdana menteri itu lagi, beliau juga enggan darahnya diambil sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.

Anwar dibebaskan dengan ikatjamin



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan pagi ini.

Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.

Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.

Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.

Awal pagi ini,Sankara memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.

Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur.

Waran tangkap untuk Raja Petra pula !!!!!!


Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin berhubung siasatan akaun berkanunnya yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra dikehendaki hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 esok.

Peguam pengendali Malaysia Today menerima waran itu pagi ini dan
Raja Petra mengesahkan perkara itu dengan polis petang ini.

Keganasan polis terhadap Anuar



Polis sekali lagi berbohong kepada semua pihak dan menangkap Anwar tengahari tadi. Semalam Bakri Zinin mengancam akan menangkap Anwar jika beliau gagal muncul di IPK KL sebelum pukul 2 petang. Walaubagaimana pun, sebelum tempoh itu, Anwar telah ditangkap dan dibawa ke IPK KL oleh Unit Tindakan Khas Polis yang diiringi oleh 15 buah kenderaan.
Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai “tidak bertamadun” kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen baru ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Anwar ditahan polis secara kasar, direman 24 jam



ANWAR DITAHAN BAWAH SEKSYEN 377A, KES LIWAT: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat, kata peguamnya Sankara Nair.

Menurutnya sehingga 2.50 petang tadi, Anwar yang ditemani seorang lagi peguam, R.Sivarasa, sedang memberi keterangan kepada polis selepas tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 1.10 tengah hari tadi.

Kata Sivarasa, polis selepas ini akan memohon kepada mahkamah bagi perintah reman selama 24 jam atau tidak melebihi 14 hari terhadap Datuk Seri Anwar bagi membantu siasatan.

Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas.

Sankara berkata Anwar ditahan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis yang menaiki 15 kenderaan, kira-kira 50 meter dari rumah Anwar di Segambut, sebelum diiringi ke IPKKL.

Beliau yang turut berada bersama Anwar ketika itu mendakwa polis tidak mempunyai dokumen rasmi atau surat perintah ketika menahan Anwar.

Ketika ditahan, Anwar sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya sambil diiringi dua peguamnya itu, selepas selesai memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, berhubung laporannya mengenai pemalsuan fakta oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Kira-kira 20 anggota polis bertopeng menahan kenderaan yang membawa Anwar sebelum memaklumkan hendak bawa Anwar ke IPKKL untuk siasatan.

Bercakap kepada pemberita selepas memberikan keterangan di BPR, Anwar berkata beliau telah memberikan semua keterangan yang diperlukan dan bukti berhubung laporan itu kepada BPR.

"Saya berasa puas hati kerana pegawai-pegawai BPR telah mencatat semua dan mengesahkan, tetapi belum selesai kerana banyak keterangan lain yang dikehendaki. Tapi saya memohon maaf kerana saya telah menerima waran tangkap untuk segera hadir di IPK Kuala Lumpur dan saya tidak mahu lambat," katanya.

Anwar akan ke balai polis petang esok


KUALA LUMPUR, 15 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberikan keterangan secara sukarela kepada polis petang esok jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Kesediaan beliau itu dinyatakan kepada para pembantunya ketika mereka membuat persiapan untuk debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, tengahari tadi.

"Kita pergilah," kata Anwar kepada para pembantunya yang sedang berbincang itu.

Anwar dijadualkan memberikan keterangan kepada polis di IPK Kuala Lumpur semalam. Namun kerana tekanan yang diberikan oleh polis terhadap beliau dan keluarganya, Anwar memutuskan untuk tidak pergi ke balai polis itu.

Beliau diminta memberikan kenyataan berhubung dengan aduan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan. Saiful, dalam laporan polisnya, mendakwa Anwar meliwat beliau.

Difahamkan, Anwar mempunyai dua pilihan iaitu polis datang ke rumah beliau untuk mengambil keterangan atau beliau ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Namun selepas polis berhujjah, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sendiri ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah untuk memberikan keterangan di atas dakwaan yang dibuat ke atas mereka, kenapa Anwar tidak boleh pergi ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Atas alasan itulah, Anwar difahamkan sedia ke balai polis untuk memberikan keterangan.
Pada peringkat awalnya, Anwar bersetuju untuk ke balai polis Khamis ini selepas membatalkannya semalam, namun dengan perbincangan beliau dengan polis dan peguamnya, beliau bersetuju pergi petang esok.

Ustaz Azizan Razak bakal bergelar Datuk Seri


Menteri Besar Kedah, Ust. Azizan Abdul Razak merupakan antara 72 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ust. Azizan yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah pada 9 Mac lalu selepas pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, pula dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun mendahului senarai 72 penerima darjah dan bintang kebesaran itu apabila dianugerahkan Darjah Kerabat Halimi (DKH).

Anugerah tersebut turut dikurniakan kepada dua lagi kerabat Diraja Kedah iaitu Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Bimbang jadi perangkap kedua - Mursyidul Am


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bimbang kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berunding dengan PAS berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu dijadikan sebagai perangkap kedua.

"Saya bimbang benda ini jadi seperti perangkap. Dahulu kita sudah masuk perangkap dan tidak kan hendak masuk perangkap pula.

"Umno minta hendak bergabung (runding) ketika dia dalam keadaan terdesak. Pengalaman 13 Mei 1969 di mana Umno terdesak benar-benar jadi dia minta hendak bergabung dengan PAS.

"Sekarang Umno sekali lagi terdesak sungguh sehingga sudah hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan parti itu juga diserang bermacam-macam dalam blog," katanya kepada media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan menyambut baik cadangan Presiden PAS untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Abdullah berkata parti itu sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kenyataan kesediaan Perdana Menteri hendak jumpa dengan pemimpin PAS itu hanya bersifat peribadi.

"Kalau kita hendak muzakarah, kena parti dengan parti dan bukan peribadi tertentu sahaja. Pemimpin Umno sekarang dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Orang di bawah dagu Umno pun sudah mendesak Perdana Menteri berundur, sudah lama timbul isu tersebut dan Datuk Seri Abdullah telah tetap tarikh hendak berundur.

"Benda-benda begini saya teringat balik cerita semasa Allahyarham Tun Razak meminta bersatu dengan PAS dalam keadaan mereka begitu tertekan," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu berlaku dalam keadaan pemimpin Umno yang beriya-iya hendak bersatu dengan PAS.

Menurutnya ketika itu Tun Razak Hussien yang mempelawa hendak bersatu dengan PAS sehingga PAS akhirnya berpecah tiga.

Sedangkan kata beliau Tun Razak seorang tokoh yang kukuh pendiriannya dan sehingga sekarang pun tiada orang berani mencemuhnya.

Beliau juga berkata, sebagai pejuang Islam tiada niat hendak berbalah dan melawan sesiapa kerana kita yakin Islam itu betul.

"Kami hendak benar-benar diadakan muzakarah, namun jangan pula berulang sejarah hitam yang lepas.

"Saya setuju perjumpaan di antara Datuk Seri Abdullah dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, tetapi biar kemaslah. Bagaimanapun saya tidak nampak Umno boleh kemaskan dirinya," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, selepas pilihan raya umum lalu nampak sangat Umno begitu lemah, namun masih lagi angkuh sehingga menarik balik projek pelancongan bernilai RM8 juta di bandar baru Pasir Mas.

Katanya, tidak masuk akal kalau Umno benar-benar ikhlas tetapi dalam masa yang sama menarik balik kelulusan projek tersebut yang hanya bernilai RM8 juta dan bukannya RM8 bilion.

Beliau berkata, kerajaan negeri susah payah mencari tanah untuk membina projek tersebut, tiba-tiba kerajaan pusat menarik balik.

Biar pun dianggap orang berprasangka buruk terhadap pemimpin Umno, namun katanya, biarlah mereka meminta maaf sungguh-sungguh kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan.

"Minta maaf tidak pernah dilakukan pemimpin Umno. Dan kedua mengapa tarik balik peruntukan kepada Kelantan, nampak sangat ego dia,"ujarnya.

Sementara itu, seorang pemimpin di Kelantan memberitahu tidak pernah ada sebarang keputusan dibuat PAS untuk diadakan pertemuan dengan Umno dalam masa terdekat ini.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .