Ikuti Blog ini

Lajim Ukin Keluar Umno-APCO Dan Letak Jawatan Dalam Parti Dan Kerajaan!


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lajim Ukin hari ini mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam parti tersebut.

Walaubagaimanapun, Lajim (gambar) yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menyerahkan kepada kepimpinan Umno untuk menentukan sama ada dapat mengekalkan atau tidak jawatan timbalan menterinya itu, lapor akhbar The Star versi online.

Perkembangan ini memberikan tamparan hebat kepada perdana menteri (PM), Najib Altantuya dalam keadaan pilihan raya umum (PRU) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Lajim turut berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik tetapi akan bekerja dengan parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) demi kepentingan negeri Sabah, lapor The Star lagi.

Beliau berkata demikian depan ratusan penyokong, kebanyakannya pemegang jawatan penting di peringkat cawangan dan bahagian Umno, di rumahnya di Likas di sini, kira-kira jam 6 petang tadi.

“Mulai sekarang, saya letak semua jawatan dalam Umno kerana tidak lagi yakin parti itu mampu membela rakyat Sabah,” katanya.

Bercakap kepada Keadilan Daily pula, Lajim menyatakan komitmennya terhadap Pakatan Rakyat bagi memulihkan Sabah dari belenggu penindasan dan ketidakadilan.

Beliau juga menggerakkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) – sebuah gerakan yang menolakkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Selain PPS yang didominasi golongan Melayu-Islam, wujud juga Angkatan Perubahan Sabah (APS) – dominasi Kadasan-Dusun-Murut yang diterajui Wilfred Bumburing – Ahli Parlimen Tuaran dari BN.

Pelancaran PPS dan APS dijadual berlangsung esok dengan Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

Sebelum ini, Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu sehari selepas Najib Altantuya melawat Sabah, Jun lalu.

Beliau juga enggan pertahan jawatan Ketua Bahagian Umno Beaufort sebaliknya menghantar surat peletakan kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort.

Lajim pernah menyandang Timbalan Ketua Menteri Sabah dan jawatan penting lain.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008 beliau mengalahkan calon KEADILAN Lajim Md Yusof dengan majoriti 10,914 undi.

Dr Asri: Tindakan JAIS Pecah Masuk Rumah Rosakkan Imej Islam


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kejadian pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memecah masuk rumah seorang mangsa di Ampang Jumaat lalu sebagai merosakkan nama agama Islam.

Beliau menjawab soalan yang diajukan kepadanya berkenaan dengan kes pegawai JAIS pecah masuk rumah melalui akaun Twitternya, @realDrMAZA.

"Maksiat yang jelas tidak dicegah, yang tersembunyi pula hendak dicari.

"Islam tiada kaitan dgn tindakan seperti itu.

"Umar bin al-Khattab tidak memecah masuk rumah peminum arak kerana Abd Rahman bin Auf mengingatkannya bahawa Allah larang intip maksiat peribadi," kata Asri (gambar) dalam akaun Twitternya semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Ampang semalam, kira-kira hampir sepuluh orang pegawai JAIS memecah masuk rumah seorang penghuni yang dikatakan melakukan maksiat, walhal tidak ada kejadian sebegitu yang berlaku.

Pegawai JAIS itu menggunakan tukul menyebabkan kerosakan teruk kepada pintu pagar rumah mangsa.

Sementara itu, wakil dari Majlis Peguam dan aktivis "Perlembagaanku", Syahredzan Johan berkata, tindakan JAIS itu adalah sah dari segi undang-undang, menurut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 yang membenarkan pegawainya memecah masuk tanpa waran.

Akan tetapi ia hanya boleh dilakukan sekiranya orang yang disyaki cuba melarikan diri.

Syahredzan berkata, walaupun Enakmen Negeri berkata demikian, undang-undang yang lebih tinggi iaitu Perlembagaan Persekutuan telah memutuskan bahawa terdapat hak privasi dalam Perkara 5, maka jelas sekali tindakan yang dilakukan oleh pegawai JAIS itu adalah salah dari segi Perlembagaan.

"Sekiranya mangsa merasakan bahawa haknya telah dicabul, dia sewajarnya membawa perkara ini ke Mahkamah untuk menuntut supaya kerosakan atau kerugian yang berlaku diberi pampasan oleh pihak JAIS.

"Walaupun JAIS mempunyai kuasa untuk memecah masuk ke dalam, persoalan yang harus ditujukan adalah adakah permintaan untuk masuk telah dibuat dengan sewajarnya?

"Jika mereka langsung tidak memohon masuk dan terus bertindak memecahkan pintu pagar, sudah tentu ianya tidak mengikut prosedur dan boleh dibawa ke Mahkamah," katanya lagi.

Syahredzan menambah, Enakmen Negeri ini boleh digubal oleh kerajaan negeri, maka sekiranya rakyat mahu ia dibuang, mereka boleh melobi untuk kerajaan negeri mengemukakan usul membuang peraturan ini.

"Ianya boleh dipinda dan dimansuhkan. Jika anda tidak bersetuju, anda harus lobi wakil rakyat anda untuk mengubah undang-undang ini," katanya melalui e-mail kepada The Malaysian Insider semalam. -TMI

JAIS serbu rumah tanpa waran, pecahkan pintu pagar


AMPANG, 27 Julai — Sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bertindak memecahkan pintu pagar sebuah rumah yang dikatakan ada kegiatan maksiat, sedangkan tidak ada apa yang berlaku di rumah tersebut.

Kejadian itu berlaku di Pandan Terrace Apartment, pada sekitar 2.30 pagi ketika penghuni rumah tersebut sedang bersahur.

“Pada mulanya saya ingatkan ada orang cuba pecah rumah saya, dan bila saya buka pintu, kelihatan hampir sepuluh orang di hadapan pintu rumah saya.

“Salah seorang dari mereka menunjukkan kad kuasa mereka, dan yang lain bertindak menggunakan tukul untuk memecah masuk rumah saya.

“Pegawai itu kemudian memberi amaran untuk bekerjasama atau kekasaran akan dilakukan.

“Mereka mengatakan mereka mendapat aduan bahawa ada kejadian maksiat di rumah saya, padahal tidak ada pun,”
kata mangsa yang dikenali sebagai Razman, berusia sekitar 20an.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Perdana atas tindakan kasar dan biadap pegawai-pegawai JAIS tersebut.

“Mereka langsung tidak memohon maaf atas kesilapan mereka, bahkan mereka mengherdik kami kerana enggan bekerjasama.

“Sepatutnya mereka selaku pegawai jabatan agama Islam, harus bertindak dengan cara baik, menunjukkan waran geledah dan bukannya bertindak memecahkan rumah orang begitu sahaja,” kata Razman.

Menurut Razman, polis yang beliau temui memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci tentang kejadian ini memandangkan bukan pertama kali kejadian seumpama ini berlaku.

“Kami bimbang sekiranya JAIS tidak memantau orang bawahan mereka, takut mereka ini menggunakan kad kuasa mereka untuk memecah masuk rumah orang, kemudian mungkin merompak.

“Kita harap JAIS akan lebih peka dengan pegawai mereka,” kata Razman.
-TMI

Subhanallah! Langit Berwarna Ungu Muncul Di Britain

 
Pernahkah anda melihat fenomena langit berwarna ungu? Mungkin ada yang mengatakan ia sebagau satu fenomena yang dikenali dengan nama Aurora dan tentunya sudah banyak diketahui orang. Aurora adalah fenomena alam yang menyerupai pancaran cahaya yang menyala-nyala pada lapisan ionosfer dari sebuah planet sebagai akibat adanya interaksi antara medan magnetik yang dimiliki planet tersebut dengan partikel bermuatan yang dipancarkan oleh Matahari.  

Namun ini adalah fenomena langit ungu bukan Aurora. Fenomena sangat jarang ditemui ini terjadi di langit Essex, Inggeris. Fenomena di mana zarah dari matahari menyebabkan langit berwarna hijau atau merah memang kerap ditemui di Norway atau utara Skotalandia.

  Namun, pemandangan sangat jarang ditemui di mana langit berubah menjadi ungu terjadi di selatan Inggeris. “Pada mulanya saya tak menyangka akan melihat pemandangan ini. Saat itu benar-benar menakjubkan dan saya tak tahu apa dapat melihatnya lagi di kehidupan saya. Saya sangat senang melihat hasil gambar yang saya ambil saat itu” kata jurugambar Petet Scott (43) yang berjaya melihat fenomena ini di luar bandar. Saat itu, Peter menggunakan kamera Canon DSLR 5D untuk mengambil gambar fenomena langit ungu tersebut.


Subhanallah! Fenomena langit ungu ini jika berlaku di hadapan mata kita sudah tentu ia bagaikan satu pemandangan yang sangat indah. Ia sebenarnya sudah cukup menggambarkan betapa hebatnya kuasa Allah SWT. Semoga kita dapat menghayati hikmah di sebalik kejadian ini.
-Melayukini.net -

Gambar Ustaz Azhar Idrus masa muda...

Penghijrahan yang beliau pilih dah menjadikan beliau seorang ulama' tersohor di Malaysia.Mana taknya, setiap kuliah yang ustaz adakan, penuh sesak satu masjid.Itulah aura orang yang bernama Ustaz Azhar Idrus. Pendekatan yang beliau gunakan iaitu mendekati golongan muda melalui aktiviti-aktiviti beliau dilaman-laman sosial seperti di facebook dan ustazazhar.net banyak membantu golongan muda dalam memahami dan memantapkan pengetahuan terutamanya dalam hukum fiqh.
Siapa pun kita pada hari ini, tak menjamin siapa kita pada hari esok. Kalau dulu mungkin Ustaz Azhar sendiri pun tak menyangka beliau akan jadi seperti siapa beliau pada hari ini, kita juga begitu. Jika sekarang kita berada jauh dari Islam, maka berhijrahlah dengan hati yang ikhlas. Islam is the way of our life. Jadikan Islam cara hidup kita!
Jangan bertangguh lagi!

*Gambar Ustaz Azhar Idrus masa muda dahulu.:-) FB

Tazkirah Ramadhan TG Abdul Hadi Awang dan Ustaz Datuk Tuan Ibrahim



Pergolakan Sabah Mangkin Kejatuhan BN


Beberapa hari yang lalu berlaku pergolakan politik di Sabah yang tentunya menarik untuk diperhatikan. Ia menjadi menarik kerana apa yang berlaku di Sabah itu bukan saja memberi kesan kepada politik negeri bawah bayu itu sahaja tetapi juga kepada perkembangan di Malaysia seluruhnya. Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing secara tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran dan dijangka akan mengumumkan masa depan politiknya pada Ahad ini.

Tetapi ramai pemerhati meramalkan beliau akan keluar dari UPKO dan seterusnya mengisytiharkan dirinya menyokong Pakatan Rakyat. Di masa yang sama, timbul juga desas-desus sebuah parti baru yang dikenali Barisan Pembaharuan Sabah sedang dalam proses penubuhan dan dijangka diumumkan secara rasmi di di Dalit, Tuaran Ahad ini.

Di masa yang sama, Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menghadiri satu perhimpunan rakyat di Tuaran, juga Ahad ini.

Berlakunya tiga peristiwa Ahad ini di Tuaran iaitu Wilfred akan mengumumkan masa depan politiknya, desas-desus penubuhan parti baru dan kehadiran Anwar dalam satu perhimpunan khas, tentunya bukan suatu kebetulan atau suratan takdir semata-mata.

Ia adalah perancangan untuk mencetuskan tsunami politik di Sabah dan seterusnya membawa perubahan kepada kedudukan UMNO, BN serta Najib.

Dalam pada itu, di hari yang sama Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Tuaran minggu lalu, seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Lajim Ukim, seorang timbalan menteri kerajaan pusat dan ahli MT UMNO pula mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.


Lajim sebelum ini telah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan dan sudah mengumumkan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Beaufort yang disandangnya. Sebagaimana Wilfred, Lajim juga sudah dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sejak sekian lama dan mempunyai hubungan yang dingin dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Dari segi politiknya, pertemuan seorang timbalan menteri dan ahli MT UMNO dengan Nik Aziz itu pastinya memberi pelbagai makna dan persepsi. Ia bukanlah pertemuan kerana ada program kementerian atau kebetulan ada lawatan rasmi ke Kelantan. Lajim menemui Nik Aziz semata-mata atas kapasiti peribadinya yang ingin berbual dan bertukar-tukar pandangan dengan Mursyidul Am Pas itu.

Di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pula, angin makin kuat bertiup mengatakan bahawa kedua-dua pemimpn itu akan meninggalkan BN dan menyokong PR dalam piliharaya akan datang. Jika Wilfred dikaitkan dengan parti baru, Lajim dikhabarkan kemungkinan akan menyertai Pas atau PKR.

Jika penghijrahan kedua-dua pemimpin itu menjadi nyata, ia tentunya boleh mencetuskan tsunami yang bukan saja boleh merubah senario politik Sabah tetapi juga Malaysia kerana berdasarkan pilihanraya lalu, kemenangan BN banyak disumbangkan oleh jumlah kerusi di Sabah dan Sarawak.

Kebiasaannya selepas dua pemimpin ini mengumumkan menyertai PR, ia akan disusuli pula pemimpin lain dari pelbagai peringkat pula. Jika ini berlaku, perubahan memang sukar ditahan lagi.

Senario di Sabah yang mahu kepada perubahan juga berikutan limpahan maklumat yang diterima oleh rakyat negeri itu. Bersandarkan senario semasa itu, Pengarah UiTM Sabah, Arnold Puyok meramalkan BN Sabah akan tewas lebih daripada 60 peratus kerusi Parlimennya atau sekurang-kurangnya 14 dari 22 kerusi.

Ini bermakna kedudukan Sabah sebagai deposit tetap bagi BN akan berubah. Sejarah politik Sabah memang sudah beberapa kali mengalami perubahan daripada USNO, Berjaya, PBS dan kini UMNO. Atas dasar itu, perubahan kepada PR pula bukanlah sesuatu yang mustahil. Cumanya jika selama ini hanya perubahan peringkat negeri, kali ini ia membabitkan Pusat juga.

UMMO sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu, sebaik tersebarnya berita Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya dan mungkin beralih arah, begitu juga dengan Lajim, segera kedengaran bahawa Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan politik ke Sabah Sabtu ini.

Selain meninjau perkembangan semasa politik di negeri itu, tidak mustahil Muhyiddin akan mencari masa berusaha menemui kedua-dua pemimpin itu bagi memujuknya supaya membatalkan segala hasrat untuk bertalak kasih dengan BN itu. Mungkin pelbagai tawaran dan janji akan dilimpahkan supaya kedua mereka terus kekal bersama BN.

UMNO tentunya menyedari kehilangan 7 hingga 10 kerusi sahaja di Sabah sudah merupakan ancaman besar baginya. Lebih-lebih lagi jika perubahan di Sabah itu turut pula menjangkit ke Sarawak yang turut menyebabkan BN hilang beberapa kerusi lagi di negeri pimpinan Taib Mahmud itu.

Kerana itu kebarangkalian timbulnya elemen yang boleh mencetuskan tsunami di Sabah akan cuba dihalang sedaya upaya sebab kemenangan di Sabah dan Sarawaklah talian hayat terakhir bagi BN untuk mempertahankan kuasa.

Jika Wilfred dan Lajim dapat dipujuk, tsunami politik di Sabah mungkin dapat dikurangkan kesannya dan harapan BN untuk terus berkuasa masih ada.

Cumanya, adakah masih laku segala pujuk rayu disisi Wilfred dan Lajim yang sudah dikira veteran dalam politik Sabah itu? -Shahbudin Hussin

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

[BERGAMBAR] Bantahan Kekejaman Terhadap Rakyat Rohingya



Gambar di atas: AJK PAS Pusat, Ketua Lajnah IT dan Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS merangkap Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA) Ustaz Abd Ghani Shamsudin berucap dan menutup ucapan dengan doa di Masjid asy-Syarif Gombak


Gambar di bawah: Bersama umat Islam mendesak pemimpin negara Islam prihatin isu Umat Islam Rohingya yang dibunuh, dirogol dan dihalau dari kampung halaman di Arakan Burma. PBB, OIC hatta Malaysia memandang sepi isu ini. Bersama ialah Ust Abdul Ghani Shamsudin AJK Pas Pusat, Hj Mohamad Nor Pesuruhjaya Wilayah, Sdr Kamaruzzaman Ketua Pemuda WP dan Khairui Fahmi Mat Som SU pemuda Selangor, 1 hb akan ada rombongan ke sana untuk desak Junta tentera Myanmar. Himpunan anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia.



Gambar di bawah: Di negeri Terengganu, himpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu berlangsung di Masjid Pasil Minal dengan kerjasama NGO-NGO Islam yang lain.

Himpunan tersebut di ketuai oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Sheikh Hanafi Abdul Aziz




Gambar di bawah: Di Melaka, di hadapan Masjid Al-Azhim diketuai oleh Pesuruh Jaya PAS Melaka, Sdra Hj Adly Zahari, TPJ 2, Ustaz Md.Nor dan Ketua Dewan Ulamak Ustaz Zulkifli




Terkini: Ternow : Isu YDP MAINPP ..Akhirnya Dato Salleh Man [ PAS] Menjadi YDP MAINPP


Terkini !!!

Agong telah perkenan perlantikan YB Dato Salleh Man sebagai YDP MAINPP yang baru berkuatkuasa 27 Julai 2012 - 31.12.2013. Sidang media pengumuman berkenaan telah dibuat oleh TKM 1 Dato' Mansor yg turut dihadiri YB Dato' Abdul Malik selaku Exco Agama, YB Dato Salleh , YB Makhtar Shafiee selaku Timbalan YDP MAINPP dan Dato Sazali Hussein selaku Setiausaha MAINPP  Semalam..

Mudah mudahan ramai penduduk Islam mmendapat manfaat dari perlantikan ini. Akrnya kemelut selamat 3 tahun terlerai..Tahniah diucapkan kepada Dato Salleh MAN..takbirrr

Tuan Guru kepalai Konvoi Royalti Kelantan



(Tuan Guru berselendang merah 'Tuntut Royalti R' sebelum melepaskan konvoi di Kota Bharu pagi tadi)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengepalai Konvoi Royalti yang dianjurkan sebuah NGO Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti).

Tuan Guru mengepalai hampir 150 buah kereta dan 50 motosikal berkuasa besar bergerak dari Kota Bharu pagi tadi menuju ke Gua Musang.

(Kenderaan Tuan Guru berada di hadapan mengepalai konvoi Royalti)

Konvoi akan melalui beberapa jajahan termasuk Keterah, Machang dan Kuala Krai sebelum tiba di Gua Musang.

Menurut kenyataan NGO Royalti hari ini, konvoi tersebut antara lain sebagai satu mekanisme Kempen Rakyat Kelantan yang memprotes tindakan Kerajaan Malaysia yang menyekat pembayaran royalti 5 peratus minyak dan gas Kelantan yang tunggakannya sejak 2005 yang kini berjumlah lebih  RM7 Billion.

Ianya juga sebagai bantahan terhadap hasrat kerajaan yang ingin memindahkan gas yang berada di perairan Kelantan iaitu di Blok PM302, PM325 dan  PM 326B ke Kemaman, Terengganu dan Pekan, Pahang.

"Konvoi ini juga sebagai satu medium untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat Negeri Kelantan terus kepada ‘grass root’ khususnya masyarakat di kawasan pedalaman negeri ini.

"Ini juga sebagai usaha Rakyat Kelantan menyatakan sokongan padu kepada Titah Sultan Muhammad V pada Sidang DUN ke 12, hujung Disember 2011 agar gas didaratkan ke Kelantan," kata presidennya Nazri Deraman.

Selain itu, konvoi itu juga sebagai manifestasi dan simbolik rakyat Kelantan inginkan lebuhraya baru daripada Kota Bharu ke Gua Musang sejauh 180 kilometer.

Program yang dijadual memakan masa dua hari itu akan mengadakan program kemuncaknya di Gua Musang esok.

Di sana, mereka akan menganjurkan majlis berbuka puasa, penyampaian sumbangan dan penerangan berkenaan royalti kepada masyarakat Gua Musang.

Pada malamnya akan diadakan sesi perdengaran dua hala antara NGO Royalti dengan rakyat Gua Musang bagi menyampaikan maklumat dan mendengar apa yang rakyat mahukan sekiranya royalti dan gas diberikan kepada Negeri Kelantan. -Hrkh

Cubaan Utusan batalkan saman Syed Hussin gagal

 
KUALA LUMPUR 27 Julai: Cubaan Utusan Malaysia membatalkan saman yang difailkan Senator, Dr Syed Hussin Ali ternyata gagal apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera menolak permohonan tersebut, kata peguam N Surendran.

Utusan memohon untuk menghentikan perbicaraan dengan alasan teknikal tetapi Mahkamah Tinggi tolak dan menetapkan perbicaraan penuh selama dua hari pada 29 dan 30 Ogos ini,” kata Surendran yang juga Naib Presiden KEADILAN.

“Defendan ketiga iaitu Zulkifli Nordin juga telah menarik balik permohonan yang dibuatnya Mei lalu,” katannya kepada Keadilan Daily.

Pada 27 Januari lalu, Syed Hussin yang juga bekas Timbalan Presiden KEADILAN memfail saman berjumlah RM10 juta dengan menamakan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak, dan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin sebagai defendan.

Surendran memberitahu, Vazeer juga membuat keputusan membenarkan Syed Hussin meminda writ saman dan penyata tuntutan serta menetapkan 15 Ogos untuk pengurusan kes.

Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan dan Abdul Aziz secara palsu serta berniat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lalu, berjudul ‘Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Hussin’.
Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu ‘Anjing-anjing Pencen’.

Syed Husin menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Anak kecil tahanan ISA tanya di mana ayah




DALAM keghairahan menjalani ibadah puasa bermula 21 Julai lalu, mungkin suasana yang berbeza dialami keluarga malang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dipisahkan daripada keluarga tersayang.

Tatkala anak-anak lain dijanjikan bapa tersayang, jika berpuasa penuh bakal mendapat ganjaran pelbagai bentuk termasuk wang, baju raya yang lebih dan duit raya, selain memenuhi tuntutan rukun Islam, anak-anak mangsa tahanan ISA setiap tahun terpaksa menjalani ibadah puasa tanpa belaian dan dorongan si ayah.

Jauh sekali untuk menikmati suapan tangan penuh kasih sayang ketua keluarga, malah mungkin makan dan minum mereka sekadar alas perut di kala anak-anak keluarga lain sedang khusyuk menikmati juadah pelbagai aneka di bulan penuh keberkatan.

Begitulah  nasib 13 keluarga tahanan yang menetap di beberapa perkampungan di sekitar Tawau, Sabah. Dan masih ada lagi keluarga yang teraniaya di Kuala Lumpur apabila suami atau ayah tercinta terus dikurung tanpa bicara di Kamunting, Perak.

Penulis dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman pernah menyantuni keluarga tahanan yang dizalimi itu di Tawau semasa kembara ISA ke Negeri Bawah Bayu itu.

Beberapa anak dan isteri mangsa tahanan ISA meluahkan keperitan hidup mereka setelah suami mahupun anak ditahan di Semenanjung (di Kem Tahanan di Kamunting, Taiping) yang jaraknya bukan kepalang. Tiada upaya mereka untuk menziarahi dan menatap wajah orang tersayang.

Paling memeritkan, kehidupan yang dilalui dua keluarga Shamsuddin Alip dan Bakar Baba yang ditahan semula sejak November tahun lalu.  Tempoh bersama begitu terhad  sekali sebelum dicekup semula.

Penahanan kali kedua itu membuatkan keluarga mangsa cukup trauma, dan paling menyedihkan anak-anak terus menanggung derita rindu belian, kasih sayang dan prihatin sorang bapa.

Air mata isteri Bakar Baba, Zorhana Abdul Razak tak henti-henti berderai dari kelopak matanya yang sayu, menceritakan nasib yang melanda dirinya dan anak-anak.

Anak-anak masih bersekolah dan ada yang masih kecil, tidak tahu ke mana ayahnya ditempatkan. Mahu menjenguk bapa amatlah jauh, dan alasan kononnya bekerja terpaksa dihidangkan ke telinga anak-anak tatkala sang anak bertanyakan ke mana ayah pergi.

Menceritakan kesengsaraan hidup selepas suami ditahan ISA, Zorhana Abdul Razak (isteri Bakar Baba) yang menetap di Kampung Muhibbah Raya kini terpaksa menggalas tugas seorang ibu, bapa dan pelindung kepada enam anaknya yang masih kecil.

Zorhana hanya menumpang di rumah ibunya yang juga semakin uzur tanpa ada pendapatan yang tetap. Zorhana ketika ditemui dalam kunjungan Harakah pada 26 April lalu berkata, penzaliman ke atas suaminya cukup membakar jiwanya.

Perasaan bimbang dan takut mengenai keselamatan diri dan anak-anak pula sentiasa bermain di benak Zorhana. Jika bertemu masyarakat pastinya khabar si suami jua yang ditanyakan masyarakat sekeliling kepadanya.

Entah apa lagi alasan yang mahu diletakkan ke bibir masyarakat tatkala suami masih terus ditahan di tirai besi yang entah bila akan bebasnya.

Hapusnya ISA tetapi tidak menghapuskan perintah tahanan yang dikenakan ke atas suaminya. Perit sekali perasaan yang berbuku di hati Zorhana tatkala memikirkan soal makan minum, kesihatan dan persekolahan anak-anak juga terus menjadi bebanan fikiran.

Manakala kehadiran anggota polis Cawangan Khas (SB) pula sering mengganggu perasaan. Ada yang berjanji mahu menyelesaikan masalah suaminya, namun tidak kurang yang datang mengugut.

Perkiraan Zorhanan mudah, jika suaminya bersalah, maka ke muka pengadilan harus dihadapkan Bakar Baba agar mahkamah yang 'entah telus atau tidak' itu setidak-tidaknya boleh mengadilinya.

Lebih malang lagi, kata Zorhana, masyarakat persekitaran termasuk teman-teman dan keluarga sendiri yang tidak memahami perkara sebenar seolah-olahnya memandang serong dan tidak mengambil peduli hal ehwal mereka.

Meskipun kental berdepan mehnah hidup, namun titisan airmata menjadi peneman, tatkala anak-anak bertanyakan ayahnya. Kini ketika Ramadan dilalui, suami tercinta masih didera di belakang tirai besi, mengurung segala kasih dan sayang yang selama ini tersisa lagi.

Zorhana terpaksa menyembunyikan perasaan sedih dihadapan anak-anak yang masih tidak mengenal soal kezaliman pemerintah ke atas ayahnya.

Tawa-hilai anak sahajalah kini menjadi bekalan sedikit sebanyak buat Zorhana bersama ibu yang sudah tua untuk menghiburkan hati yang lara setelah suami tercinta terkurung dalam tirai besi.

Satu sahaja harapan Zorhana agar suami tercinta dibebaskan secepat mungkin kerana ISA telahpun dimansuhkan dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan bakal disusuli Syawal.

Dalam kesempatan bertemu Zorhana di rumah ibunya itu, Zorhana tidak henti-henti mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada Harakah atas sumbangan kewangan dan bantuan barang keperluan harian kepadanya.

Sambil menitiskan airmata, beliau turut berpesan kepada penulis agar Harakah terus memperjuangkan isu-isu penzaliman ke atas rakyat seluruhnya, bukan sahaja isu membabitkan suaminya.

Sementara itu, seorang ibu tua, Aminah Dalat (ibu kepada Shamsuddin Alip) pula menyifatkan tindakan kerajaan meneruskan penahanan kali kedua anaknya adalah sangat kejam.

Aminah yang ditemui Harakah selepas majlis sumbangan wang bantuan kepada mangsa tahanan ISA di Pejabat PAS Kawasan Tawau, 25 April lalu cukup tersentuh apabila penulis bertanyakan bagaimana keadaan beliau selepas ketiadaan Shamsuddin.

Beberapa kali beliau menitiskan airmatanya, dan berulang kali Aminah menyebut anaknya seorang yang baik, cukup menjaga solat dan berdisiplin bukan seorang pengganas.

Apalah daya Aminah pada tubuh tuanya itu beliau hanya mampu berdoa dan menanti jika ada pihak yang mahu memperjuangkan nasib beliau dan memberi harapan agar anaknya dibebaskan serta-merta.

Sementara itu, prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA, Harakah telah menyerahkan bantuan kepada 12 keluarga mangsa.

Sumbangan disampaikan Ahmad Lutfi Othman kepada isteri, anak dan ibu mangsa yang rata-ratanya ditahan kononnya terlibat dengan jemaah Darul Islam.

Harakah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai RM1,500 dan bantuan bekalan makanan setiap seorang mangsa manakala RM4,000 bantuan tambahan diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaitun Ahmad.

Jumlah bantuan bernilai RM23,000 adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Mansuhkan Isa kendalian Harakah.

Harakah turut merayu seluruh rakyat yang bencikan kezaliman untuk terus menderma kepada Tabung Mangsa Kezaliman ISA untuk Harakah sampaikan sumbangan derma khasnya bagi menyambut Ramadan dan Syawal.

"Mungkin ramai sudah melupai nasib malang keluarga tahanan ISA yang terpinggir ini. Mereka masih memerlukan sokongan khususnya bantuan kewangan. Ramadan yang menjanjikan pahala berganda untuk amalan sedekah adalah masa paling sesuai untuk kita menyalurkan sumbangan ikhlas ini," kata Ahmad Lutfi, yang berpengalaman luas menyantuni keluarga tahanan dan juga bekas tahanan yang masih memerlukan.

"Sejak empat lima tahun lalu, respons pembaca Harakah cukup menakjubkan. Hampir RM700,000 disumbangkan orang ramai. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terim kasih kepada penderma yang baik hati. Hampir setiap hari kami ada pihak yang menyumbang, walaupun sekecil RM5. Ia sungguh bermakna. Ada yang terus menyalurkan ke dalam akaun RM1,000 setiap akali berbakti, semuanya tidak kami kenali siapa mereka," tambah Ahmad Lutfi, yang saban tahun, setiap hujung Ramadan menghulurkan sendiri bantuan ke rumah keluarga tahanan, termasuk di Sabah.

"Kami pernah membantu satu keluarga bekas tahanan ISA, seramai hampir sepuluh orang ke Manila dan menanggung kos hidup mereka selama tiga bulan di Filipina. Bekas tahanan yang dibebaskan daripada Kamunting itu dihantar ke penjara di Manila atas tuduhan lain. Beliau merupakan pejuang Islam Moro. Hingga hari ini keluarganya di Sandakan masih perlu dibantu," ujar Ahmad Lutfi.


SALURKAN SUMBANGAN IKHLAS ANDA KEPADA AKAUN MAYBANK 564070000336 ATAS NAMA HARAKAHDAILY DOT COM.

Rumah Exco Kena Samun Bukti Kadar Jenayah Dah Turun?


Rumah exco Melaka dipecah masuk sebabkan kerugian RM200,000

MELAKA, 26 Julai — Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Latif Tamby Chik kerugian kira-kira RM200,000 apabila rumahnya dipecah masuk tiga lelaki, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata ketika kejadian pada 11.45 malam itu di rumah Latif di Jalan Datuk Palembang Bukit Baru di sini, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Mas itu tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran manakala isterinya berada di rumah jiran.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki dipercayai rakyat tempatan berusia antara 20 dan 30-an itu menggunakan kenderaan mewah dan memakir kenderaan berkenaan di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk rumah itu.

“Ketiga-tiga suspek masuk melalui tingkap di hadapan rumah dengan memecahkan jeriji sebelum menyelongkar rumah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata kehadiran ketiga-tiga lelaki terbabit disedari isteri mangsa yang ingin memasuki rumah itu.

Suspek melarikan diri bersama kenderaan mewah menggunakan nombor pendaftaran palsu, katanya.

Raja Shahrom berkata mangsa kehilangan beberapa barangan kemas, beberapa utas jam tangan berjemana selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM200,000.

Beliau berkata kes pecah rumah itu merupakan yang ketiga berlaku sepanjang enam hari berpuasa dan dipercayai dilakukan kumpulan sama.

Kes pertama melibatkan rumah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Long di Taman Sentosa di sini pada Isnin dan kes kedua melibatkan jiran Ahmad pada hari sama.

Sehubungan itu katanya polis Melaka menubuhkan unit khas anti pecah rumah bagi menjejaki anggota sindiket itu dan pihaknya menyeru orang ramai melaporkan kepala polis sekiranya melihat kenderaan mewah yang mencurigakan. — Bernama

Ulasan GB

Menteri KDN, Pemandu dan KPN bertegas menyatakan kadar jenayah dah turun.

Sekarang satu demi satu terkena batang hidung, beberapa hari lepas Bekas ketua Wanita UMNO Bukit hangus mati ditikam, pada bulan lalu banglo Rahim Tamby Chik diceroboh, dari berita di atas rumah bekas Ketua Polis Melaka dan jirannya di Taman Sentosa kena rompak dan kini rumah exco di pecahmasuk.

Kebenaran itu tidak boleh disembunyi atau ditipu. Ia akan muncul juga bahawa kadar jenayah tidak turun seperti yang digembar-gemburkan.


illustrasi dari malaysia-chronicle

Populariti Najib Terus Merudum


Tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kalangan pengundi di Semenanjung berada pada paras 64 peratus berbanding 65 peratus pada Mei lalu.

Penemuan ini hasil kendalian Merdeka Center yang diumumkan pada hari ini.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa paras rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu dan India masing-masing menurun daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.

Bagaimanapun sokongan pengundi Cina telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 42 peratus bulan lalu.

“Meskipun mengalami penurunan di kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi. Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi-pengundi Cina,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam kenyataan media.

Ujar beliau, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh kebimbangan mereka tentang ekonomi negara khususnya di kalangan responden India.

“Ia juga ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama) Datuk S. Ambiga,” kata beliau lagi.

Kaji selidik itu menunjukkan pandangan pengundi kerajaan terus merosot dengan 42 peratus daripada responden melaporkan bahawa “mereka gembira dengan kerajaan”, penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian yang dijalankan pada pertengahan Mei 2012.

Pungutan suara itu berkata penurunan itu amat ketara di kalangan pengundi Melayu, di mana jawapan dari orang-orang yang berkata ‘gembira’ dengan kerajaan menurun dari 65 peratus Mei kepada 58 peratus pada Jun 2012.

“Pada pandangan kami, penurunan itu mungkin mempunyai kurang kaitan dengan politik atau persepsi mereka terhadap Perdana Menteri tetapi dengan bagaimana pengundi melihat ekonomi, melaksanakan dan kesannya terhadap kehidupan mereka,” katanya.

Kajian yang sama mendapati bahawa kebimbangan terhadap isu-isu ekonomi, terutamanya kos sara hidup dan gaji, adalah teratas di minda pengundi, 39 peratus daripada mereka berbanding dengan 33 peratus Mei 2012.

Ini diikuti oleh kebimbangan terhadap jenayah dan masalah sosial di 12 satu isu peratus dan politik pada lapan peratus.

Kaji selidik itu mendapati bahawa peningkatan kebimbangan terhadap ekonomi mungkin juga menjejaskan prospek negara dengan 54 peratus menyatakan negara ini diketuai di landasan yang betul berbanding 58 peratus pada April 2012.

Kaji selidik yang telah dijalankan oleh Merdeka Center antara 22 dan 29 Jun di kalangan 1010 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan sembilan peratus responden berbangsa India yang telah ditemubual melalui telefon. -selangorku

Awang Adek dimalukan dengan isu KGT


KOTA BHARU: Percubaan Umno Kelantan bertenggek di atas isu Kelantan Golden Trade (KGT) akhirnya terlodeh apabila polis menjelaskan tiada sebarang penyeleweng terhadap urus tadbir agensi terbabit.

Sedangkan sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein memberi tempoh 21 hari supaya kerajaan negeri menyiasat dakwaan penyelewengan KGT.

“Hari ini, KGT disahkan bersih, sedangkan Awang Adek yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa sejak akhir-akhir ini masih belum terbukti tidak bersalah.

“Sepatutnya beliau merasa malu dengan kenyataannya sebelum ini kerana mengutip maklumat di tepi jalan bagi memburukkan kerajaan negeri,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Semalam Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan media mengesahkan tiada unsur jenayah komersial yang dikaitkan dalam isu penyelewengan KGT.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Umno dan NGO tajaan mereka yang melontarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap KGT.

Kata beliau juga sepatutnya Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan beberapa NGO Umno merasa aib di atas tindak tanduk mereka selama ini.

“Sewajarnya Wan Khairul Ihsan yang baru menyertai Umno April 2010 menumpukan kepada skandal pemimpin parti itu yang masih belum dibersihkan mana-mana pihak,” ujarnya.

Katanya, sebagai “orang baru” dalam Umno Wan Khairul masih belum mampu membantu parti itu biar pun pelbagai tindakan dilakukan termasuk menyertai demontrasi di hadapan Kota Darulnaim.

“Mungkinkah Wan Khairul ingin membuktikan kepada pimpinan Umno bahawa beliau layak diketengahkan sebagai calon pilihanraya dengan mengenepikan tokoh-tokoh lebih senior,” tambahnya. -Hrkh

Najib hanya mampu berikan panadol...

Najib cuba hilangkan sakit UMNO Baru, tetapi tidak tahu apa penyakitnya

Yang masih ada kepada Najib ialah ego dan ketamakan sahaja. Beliau tahu yang BN akan kalah dalam pilihanraya kali ini jika PRU itu diadakan sekarang atau sebulan dua selepas ini.
Tidak tahulah jika Najib ada sentuhan sakti awal tahun depan untuk mengekalkan kuasa dan baki-baki mandat yang masih ada kepada BN sekarang. Sekarang Najib bukan lagi hendak menyelamatkan UMNO Baru, tetapi sebaliknya Najib berusaha untuk UMNO Baru menyelamatkan beliau.
BN kini sedang berpecah, ibarat kejatuhan kepingan-kepingan bangunan yang sedang runtuh. UMNO Baru khususnya memang sudah sampai ke penghujung hayatnya. Semuanya ini adalah dalam pengetahuan Najib. Jika benar Najib tidak tahu keadaan ini maka sah Najib tidak tahu menahu apa yang berlaku di bawah dalam BN dan UMNO Baru serta pandangan dan persepi sebenar rakyat terhadap kerajaan pimpinan beliau.

UMNO Baru akan menjadi parti yang ‘orphanage’, iaitu parti yang seperti anak yatim yang ditinggalkan ibu bapanya. UMNO Baru akan keseorangan dan akan ditinggalkan oleh parti-parti komponen di dalamnya.  Parti-parti yang menjadi ahli kepada BN sedang meneropong dan meneliti sejauh mana kekuatan UMNO Baru di mata rakyat kerana kekuatan dan pandangan tinggi rakyat terhadap parti itu amat penting sebagai tunjang kepada BN. Jika tulang belakang sudah nampak lemah maka tidak akan ada lagi kekuatan pada BN.

Jika seseorang itu sudah lemah dan reput tulang belakangnya, banyak perkara tidak akan dapat dilakukan lagi oleh seseorang itu: berjalan perlahan, duduk tidak selesa, hendak bongkok pun tidak boleh dan jauh sekali untuk menjadi pentadbir keluarga yang ‘effective’. Seseorang itu akan menumpukan masa untuk mengubati sakitnya dan tidak ada masa untuk menguruskan perkara lain, jauh sekali untuk menguruskan rakyat.

Sesungguhnya UMNO Baru sedang sakit tenat. Berbagai-bagai cara sedang dilakukan oleh Najib untuk menahan kesakitan yang sedang mereka (UMNO Baru) alami sekarang. Sesungguhnya UMNO Baru tidak dapat membezakan sakit dengan penyakit dan seterusnya tidak dapat meleraikan masalah kesakitan yang dihadapinya.

Apa yang dilakukan oleh UMNO Baru sekarang hanyalah untuk menghilangkan sakit, bukannya untuk memperbaiki diri daripada penyakit. Najib ibarat seorang yang makan ‘panadol’ untuk menghilangkan sakit kerana panadol itu adalah ubat penahan sakit. Panadol itu tidak akan mengubati penyakit.

Elok kita kaji anologi yang ini:-

Jika Mamat rasa sakit kepala dia akan makan panadol maka sakit itu hilang sekejap. Besoknya Mamat rasa sakit telinga pula, maka Mamat makan dan telan dua biji panadol dan sakit telanga itu hilang. Seminggu selepas itu Mamat terasa sakit tengkuk pula, dan seperti biasa dia telan lagi dua biji panadol.

Maksud saya di sini, panadol itu akan hanya menghilangkan sakit buat sementara, tetapi Mamat tidak mahu ambil kisah tentang panyakit yang sebenarnya yang dihidapinya. Sebenarnya, Mamat sedang menghadapi penyakit darah tinggi. Jika Mamat masuk ke hospital dan ubati penyakit darah tinggi maka rasa sakit di telinga, mata, tengkuk dan kepala tadi tidak akan datang lagi. Selama ini Mamat hanya menelan panadol untuk menghilangkan sakit tetapi tidak menghilangkan penyakit.

Begitulah yang Najib lakukan sekarang. Beliau ibarat memberi kelegaan kepada rasa sakit kepada UMNO Baru itu sahaja. Itulah sebabnya Najib memberikan BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) sebanyak RM500 kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Selepas itu beliau rasa ada kesakitan di kalangan pemandu teksi, maka diberi pula tayar yang murah kepada semua pemandu teksi dengan kupon sebanyak RM420 seorang. Lepas itu Najib umum elaun khas (one-off) untuk jururawat sebanyak seratus dua ringgit.

Yang terakhir Najib umumkan bonus raya dan berbagai-bagai lagi selepas ini. Semuanya ini hanya pertolongan untuk menghilangkan sakit sementara. Najib sepatutnya cari apa penyakit sebenarnya yang dihadapi oleh UMNO Baru itu. Bantuan seperti memakan panadol ini tidak akan menghilangkan penyakit kerana sakitnya akan datang semula tidak lama selepas itu kerana sebenarnya UMNO Baru mempunyai penyakit yang tidak diubati dan penyakit ini sudah begitu lama dihidapinya.

Penyakit sebenarnya yang dihadapi oleh UMNO Baru ialah kehilangan keyakinan rakyat yang amat serius. Keyakinan rakyat sudah terhakis begitu teruk sekali kerana kegiatan rasuah yang berluas-luasa dalam UMNO Baru dan kepimpinan kerajaan sekarang. Pimpinan UMNO Baru sendiri sudah hilang segala ‘plot’ untuk mentadbir negara dengan baik dan bermoral. Pemimpin-pemimpin UMNO Baru berbelanja wang rakyat seperti negara ini emak dan bapa mereka yang punya.

Trillion ringgit sejak sepuluh tahun dahulu telah lesap dan dibawa ke luar negara secara haram dan kesemua wang itu adalah wang rakyat yang mereka tadbir. Pucuk pimpinan bukan sahaja menjadi PM dan Menteri-Menteri tetapi mereka juga adalah kontraktor mengambil kesemua peluang yang terdapat melalui projek-projek raksasa infrastruktur negara untuk menjadi kaya-raya yang tidak terhingga.

Mereka menyamun dan merompak tanpa rasa belas ehsan terhadap rakyat yang 60% masih melata dalam kehidupan mereka. Rakyat marah kerana penyakit yang menafikan rakyat Kelantan dengan menghalang Kelantan mendapatkan royalti minyak negeri mereka.

Banyak lagi senarai yang panjang-panjang yang tidak termuat hendak disebut dalam posting ini. Inilah penyakit sebenarnya dan jika untuk menghilangkan rasa sakit dengan membayar BR1M dan sebagainya ia adalah seperti memakan ubat tahan sakit sementara seperti panadol.

Oleh kerana terlalu banyak makan panadol, ubat panadol ini pun tidak ‘effective’ lagi kerana sistem badan kita sudah ‘immune’ dengan jumlah panadol yang kita makan itu. Di sinilah letaknya penyakit UMNO Baru yang tidak pernah terubat dan diambil perhatian.

Cara Najib menyelesaikan masalah hanyalah dengan membayar sana dan membayar sini dan SOP pimpinan Najib ini tidak lebih dan tidak kurang seperti beliau mengendalikan UMNO Baru bahagian Pekan sahaja. Najib percaya semua masalah akan selesai jika dibayar dengan wang ringgit sahaja.

Oleh itu marilah kita membina keyakinan yang rakyat akan berjaya kali ini untuk menhilangkan penyakit yang kita semua sedang hidapi. Kita mesti berhenti memakan ubat tahan sakit seperti panadol ini, kerana panadol tidak boleh menyembuhkan penyakit.

Panadol hanya setakat menghilangkan sakit buat sementara sahaja. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan penyakit. Apabila sembuh penyakit itu maka kita tidak akan merasa sakit lagi dan tidah payah menelan panadol siang dan malam.

UMNO Baru perlukan rawatan rapi dan wajar berehat sahaja setidak-tidaknya selama lima tahun selepas PRU nanti. Itu pun jika penyakitnya boleh disembuhkan. Kalau tidak boleh juga sembuh berehatlah terus menerus.

Rakyat mahukan parti yang cergas dan sihat untuk memberikan keyakinan yang tinggi untuk memelihara kemerdekaan yang telah kita capai lebih dari lima dekad dahulu.
- Aspan Alias
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .