SHAH ALAM:
Pakatan Rakyat (PR) mendakwa satu langkah agresif sedang diambil untuk
membawa pengundi ragu ke Selangor melalui pengangkutan udara secara
besar-besaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hujung minggu
ini.
Dalam satu sidang media, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar
Shamsuddin mendedahkan beberapa senarai penerbangan berstatus ‘charter
flights’ Malaysia Airlines (MAS) yang akan berlepas daripada Kota
Kinabalu bermula 2 Mei sehingga 4 Mei ini.
PR percaya rancangan penerbangan khas ini akan membawa lebih 36,000
pengundi yang statusnya diragui sebagai talian hayat terakhir Umno-BN
untuk merampas Selangor dan kekal berkuasa di Putrajaya.
Pengundi-pengundi tersebut termasuk mereka yang yang lahir dan
bermastautin di luar Selangor tetapi berdaftar sebagai pengundi Selangor
dan pengundi yang bukan warganegara Malaysia.
“Kita juga percaya terdapat pihak tertentu yang mengawasi dan
mengubah beberapa penerbangan khas itu daripada terus dikesan pihak
kita.
“Sebagai contoh, pada 28 April, kita telah memantau di KLIA setelah
menerima maklumat penerbangan tempahan khas MH 8601 akan mendarat pada
pukul 6 pagi namun penantian sehingga jam 11.30 pagi tidak mendapati
sebarang pendaratan.
“Pemberi maklumat dalaman kemudian memberitahu bahawa jadual
penerbangan itu telah ditunda kepada tarikh lain iaitu pada 1 Mei
nanti,” jelas Jaafar.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan risikan PR akan terus memantau
lapangan terbang di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan Low
Cost Carrier Terminal (LCCT) di Sepang, Lapangan Terbang Tentera Udara
Diraja Malaysia di Sungai Besi serta Lapangan Terbang Subang di Subang.
Mereka kini juga sedang dalam pemerhatian untuk mengenal pasti tempat kediaman penumpang-penumpang penerbangan ini.
Selain itu, PR turut melahirkan kebimbangan dengan operasi membawa
pulang anggota tentera Semenanjung daripada operasi keselamatan di Lahad
Datu yang kini sudah memasuki hari ke-empat di KLIA.
“Ini jarang berlaku lebih-lebih lagi dalam jumlah yang besar dan kita
bimbang jika operasi ini turut digunakan untuk mengangkut pengundi
bukan warganegara untuk dijadikan pengundi kerana ini merupakan cara
yang paling lancar dan mudah,” tambah Jaafar.
Sehubungan itu, PR meminta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
untuk memastikan tiada masa tambahan mengundi dibenarkan pada 5 Mei
nanti.
SPR juga digesa untuk menggunakan daftar pemilih yang sudah
diwartakan dan diberikan kepada parti-parti politik, bukan daftar yang
lain.
“Kita sudah berbincang dengan SPR dan mereka telah berjanji untuk
mengekalkan apa yang telah dipersetujui ini dan kita harapkan agar SPR
tidak mungkiri perkara-perkara ini,” tegas Jaafar.
-Hrkh