Ikuti Blog ini

Curtin mohon maaf iktiraf Rosmah wanita pertama


Universiti Curtin di Australia memohon maaf kerana merujuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia, apabila mengumumkan bahawa isteri perdana menteri itu akan dianugerahkan dengan ijazah Doktor Kehormat Persuratan.

NONEDalam satu kenyataan hari ini naib canselor universiti itu, Jeanette Hacket, berkata Curtin mengambil perhatian berhubung bidasan orang ramai atas pemberian ijazah berkenaan dan juga mengenai penggunaan istilah "wanita pertama".

"Kami juga mengakui penggunaan istilah ‘wanita pertama’ mungkin menyinggung sesetengah pihak dan kami memohon maaf mengenainya.

“Kami tidak lagi akan menggunakan istilah itu dan telah menerbitkan semula kenyataan media kami dengan perubahan yang dibuat itu," kata Hacket.

Kenyataan itu dipaparkan pada laman web rasmi universiti itu di Facebook. Sebelum ini, warga maya, khususnya dari Malaysia yang tidak berpuas hati telah membuat bantahan dan mencemuh Curtin.

Mengenai kritikan sama ada Rosmah layak dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Persuratan,  Hacket berkata bahawa universiti berkenaan tetap dengan pendirian mereka. -M'kini

Aziz Desa berhijrah ke Kelantan


KOTA BHARU, 16 Feb: Jarang orang tidak mengenali siapa Aziz Desa, seorang pengacara yang petah bercakap. Wajahnya sering dilihat di kaca-kaca televisyen. Malah masih lagi boleh disaksikan di TV9.

Namun agak mengejutkan apabila sekarang beliau berkhidmat di Kelantan Trade Centre (KTC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Sebelum menyertai TV9, Aziz pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid.

Semalam kenyataan medianya difaks kepada media-media tempatan bagi memaklumkan tugas barunya  di KTC.

“Atas sokongan rakan rakan fb, saya terima cabaran berkhidmat di Kota Bharu. Bermula semalam saya kini adalah ketua pegawai operasi (COO) Kelantan Trade Centre Hotel, Apartment & Convention Sdn Bhd.

“Saya juga masih dalam kontrak dengan TV9 dan akan bersiaran dari masa ke semasa apabila diperlukan. Dari langkawi ke Kota Bharu, selamat pagi, sekadar makluman pemberitahu,” katanya, dipetik dalam facebooknya.

Dalam kenyataan medianya semalam beliau berkata, KTC mensasarkan 76 acara bertaraf nasional dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) tahun ini.

Katanya, selain inisiatif sendiri, penganjuran acara sempena TMK@12 akan dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan pusat dan swasta.

Kata beliau KTC mempunyai dewan pameran dan konvensyen seluas 1,200 meter persegi, boleh memuatkan 58 ruang niaga berukuran 3 x 3 meter dan menampung 1,500 tempat duduk.

Sasaran jumlah acara juga sempena memperingati 76 tahun pengisytiharan Bandar Kota Bharu oleh Sultan Muhammad ke-ll pada 1936.

“Antara program yang bakal diadakan Fiesta Kerana Kelapa, Karnival Budaya Iqra’, Fiesta Kanak-Kanak, Pameran Haiwan Peliharaan, Seminar Perubatan dan Rawatan al-Quran,” ujarnya.

Selain itu Pekan Batik, Ekspo Kraftangan, Fantasia Bulan Madu, Ekspo Pengantin Muslim, Ekspo Wakaf Che Yeh, Apresiasi Filem Ketuhanan dan Kemanusiaan dan Karnival Pelancongan Budjet juga akan diperkenalkan.

Ruang niaga yang masih berbaki ditawar kepada sesiapa yang berminat. Maklumat lanjut boleh hubungi talian 09-7471222. -Hrkh

Hebatt..Gambar-gambar Rumah Rasulullah..

"Diriwayatkan dari Anas ra dia berkata, “saya masuk ke rumah Rasulullah SAW, waktu itu baginda sedang tiduran di ranjang dengan mengenakan selimut. Di atas kepalanya bantal yang terbuat dari kulit yang diisi serabut. Lalu, seorang sahabat masuk ke kamarnya yang diikuti oleh Umar. Rasulullah SAW membalikkan badannya sehingga Umar melihat baju Rasulullah SAW tersingkap antara punggung dan seprei , lantas ia melihat ada bekas-bekas pada punggung Rasulullah SAW. Umar menangis.
Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “apakah yang membuat kamu menangis?”

Umar menjawab , “demi Allah, saya menangis setelah mengetahui bahawa engkau lebih mulia dari raja-raja dan kaisar. Mereka hidup sesuai dengan kemahuan di dunia (mewah dan kaya). Sementara engkau adalah Rasulullah(utusan Allah). Seperti yang saya lihat, engkau tidur di tempat seperti ini (sangat sederhana).”

Rasulullah SAW lalu bertanya, “bukankah kamu suka kalau mereka mendapat kesenangan dunia sementara kita mendapat kesenangan akhirat?”.

Umar menjawab, “ tentu, wahai Rasul.”. Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi, “ Memang demikianlah adanya.” -(HADIS RIWAYAT AHMAD)-

Nabi kita adalah kekasih ALLAH, namun tak pernah punya rumah besar, apa yang ada cuma sebuah rumah yang terbahagi kepada ruang solat, ruang tamu, kamar Saidatina Fatimah Az-Zahra iaitu puteri bongsu baginda dan kamar Rasulullah sendiri.

Sementara rumah itu pula hanya beratap pelepah daun kurma bagi menghalang cahaya matahari daripada menembusi ruang dalam rumah. itu lah gambaran Rasulullah SAW yang dapat "tukanglawan" cari.

Dibawah ini adalah gambar replika binaan semula rumah berkenaan untuk renungan kita.

Diriwayatkan dari Aisyah ra, dia berkata, “Rasulullah SAW menghamparkan sebahagian tikar diwaktu malam dan baginda solat di atasnya. Baginda pun menghamparkan tikar itu disiang hari untuk tempat orang-orang duduk” -(HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI DAN AL-BAIHAQI)-


Dibawah ini pula kesan-kesan runtuhan rumah Baginda


Di atas ini gambar sisa runtuhan rumah Nabi Saw & Sayyidah Khadijah as yang dilihat lebih dekat.

.Gambar di atas ini adalah runtuhan pintu masuk ke kamar Rasul Saw di rumah Sayyidah Khadijah as


.Di atas ini adalah Gambar runtuhan tempat Sayyidah Fatimah as, puteri kesayangan Rasulullah Saw dilahirkan.
.
Gambar di atas adalah sisa runtuhan kamar Rasul Saw dan Sayyidah Khadijah as.


.
Di atas ini adalah gambar runtuhan mihrab tempat Rasulullah saw bersolat.


Jikalau nak dibandingkan dengan rumah umat2nya sekarang…jauh berbeza sangat, dan kadang-kala rumah yang dibina itu bukan sekadar tempat berteduh, mungkin tidak salah miliki rumah besar yang selesa untuk keluarga, rumah yang besar dijadikan aras tanda kedudukan, lebih malang lagi ia jadi tanda bermegah-megah.

Moga kita hidup dalam kesederhanaa, miliki rumah besar itu tak salah, tapi biar berpada-pada, kerana masih ada insan yang duduk dibawah jambatan, apakah anda pernah terfikir untuk membantu mereka.

Gadai Aqidah: Ramai Terkejut Mufti Perak, Harussani Buat Pusingan U


Thaipusam: Najib tak langgar hukum syarak, kata Harussani

BANGI - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat.

"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau redha dengan perbuatan agama lain tidak mengapa tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama Umno
Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Dipetik Bernama hari ini, Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.

Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.

Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama.

Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh
menjadi fitnah.

"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.

"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah... soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.

Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan redha dengan orang yang melakukan kufur. -SH

LAPORAN KENYATAAN MUFTI PERAK, HARUSSANI ZAKARIA SEBELUM INI


Najib ‘gadai akidah’ hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.
-TMI

Israel : DS Anwar Dijangka Jumpa Tok Guru Nik Aziz Minggu Ini


Gamba fail
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air bagi menjelaskan kenyataan berhubung isu Israel-Palestin dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pertemuan itu yang dijangka selewatnya minggu ini perlu melihat kepada kelapangan masa Nik Aziz.Katanya, pertemuan itu dijangka berlangsung dalam keadaan baik meskipun perkara ini sengaja diperbesarkan oleh media kerajaan.

“Kami telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan menghormati pandangan mereka. Walaupun Anwar kini berada di luar negara, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz bagi menjawab isu tersebut setelah pulang ke tanah air.

“Namun bila dan di mana pertemuan itu berlangsung bergantung pada surat dari pejabat Menteri Besar,” katanya mengulas gesaan Nik Aziz yang mahu Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, menarik balik kenyataannya yang disiarkan dalam WSJ.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik sumber dalaman PKR berkata, Anwar dijadual bertemu Nik Aziz dalam masa terdekat ini bagimenjawab isu berkenaan.Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ dilaporkan berkata beliau menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Kenyataannya itu mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak termasuk Majlis Syura Ulama Pas yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel dan mahu Anwar menarik balik kenyataannya itu ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.SH

Kegagalan DEB: UMNO BN Tak Pandang Serius Teguran Raja Muda Perak

DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN

SHAH ALAM : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris. -tvsnews



Raja Nazrin: 'DEB tidak berdosa, berdosa pelaksana'


KUALA LUMPUR - Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamatnya untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.

Baginda bertitah akibat dari sikap itu, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti dalam kalangan ummah gagal dicapai dan dasar murni yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.

"Sedarilah, dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa,

yang berdosa adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta dan ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi," titah baginda semasa merasmikan Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Bank Negara Malaysia di sini.

Menurut Raja Nazrin, kajian menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

"Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya akan memberi impak negatif dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.
Baginda mengesyorkan satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada untuk memberi jaminan bahawa semua pegangan ekuiti Melayu Islam ini tidak begitu cepat terhakis.

Raja Nazrin turut melahirkan rasa kesal kerana ada individu yang bersifat "pagar memakan padi" yang telah menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.

"Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam... berpegang kepada konsep iman dan
takwa," titah baginda.

Idea wakaf korporat sudah pun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehinggalah akhirnya ia berkubur akibat manipulasi penjajah, titah baginda.

Konsep ini telah dibuktikan kejayaannya di negara ini melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006 yang boleh dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas.

Menurut Baginda, bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah.
- Bernama

Mesti Tonton! Jutaan Rakyat Syria Ikrar Jihad


MIMOS Dapati 200,000 Pengundi Mencurigakan Di dalam Daftar Pemilih

Semakan audit dapati lebih 200 ribu pengundi diragui

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dimaklumkan bahawa semakan audit yang dijalankan ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar pengundi yang meragukan.

Mimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan yang membuat semakan audit itu pada taklimatnya kepada PSC berkata terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan.

Menurut ahli PSC Anthony Loke, taklimat telah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Abdul Wahab Abdullah semasa mesyuarat dua jam, semalam.

Turut hadir semasa mesyuarat dan taklimat berkenaan adalah pengerusi PSC Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.

"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama.

"Tempat-tempat ini termasuk kem tentera," katanya kepada Malaysiakini.

Turut dipertikaikan adalah alamat yang mencurigakan di mana pengundi didaftar dengan alamat yang tidak lengkap ataupun tidak sah. Sebagai contoh, katanya: "Tiada alamat atau rumah 62, Lembah Pantai dan E6, Seputeh".

Menurut Loke, PSC telah memberikan Mimos tempoh dua minggu untuk menjalankan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengemaskini nama-nama dan alamat mencurigakan itu.

"PSC itu tidak bincang lanjut bagaimana untuk membetulkan perkara itu dan Mimos akan kembali dalam masa dua minggu," katanya.

Belum boleh bubar parlimen

Memandangkan jumlah pengundi yang meragukan sebegitu ramai, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu memastikan daaftar pemilih dibersihkan sebelum beliau membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan.

Pemimpin DAP itu berkata Mimos turut mengenal pasti 785 polis dan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama, juga sebagai pengundi biasa.

Semasa laporan awal PSC dibentangkan pada Disember, selepas jawatankuasa itu mengadakan beberapa pendengaran awam, mereka telah membuat beberapa cadangan, termasuk semakan audit pengundi.

Mimos kemudian ditugaskan untuk memeriksa daftar pemilih bagi mengesan nama atau kad pengenalan yang sama ataupun bertindih, pengundi berusia lebih 100 tahun dan mengesahkan butiran pengundi dengan pangkalan data dari agensi-agensi kerajaan yang lain.

Loke juga mendedahkan bahawa Mimos berjaya mengesan 22,076 pemilih berdaftar yang berumur lebih 90 tahun. -mk

Najib mesti dedah penyelesaian Danaharta-Tajudin


KUALA LUMPUR, 15 Feb: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didesak supaya memberitahu bentuk penyelesaian yang dicapai antara bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan.

“Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib mesti menjelaskan mengapa kerajaan BN sanggup melepaskan tuntutan terhadap seluruh hutang dan melepaskan Tajudin tanpa mempertahankan diri di Mahkamah Rayuan.

"Keputusan ini mempunyai niat jahat kerana kerajaan telahpun memenangi kes tersebut di Mahkamah Tinggi,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Rayuan juga menetapkan bahawa terma penyelesaian Danaharta dan Tajuddin dirahsiakan.

Kes Danaharta dan Tajudin berkisarkan kepada satu pinjaman RM1.79 bilion oleh sekumpulan pemimjam untuk membiayai Tajudin dalam pembelian 32 peratus saham MAS pada tahun 1994.

Kegagalan Tajudin untuk melangsaikan hutang tersebut sebanyak dua kali telah memaksa Danaharta untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.      

Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam MAS pada 1994.

Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Dis 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Jan 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

Mahkamah Tinggi turut membatalkan tuntutan balas Tajudin, yang berjumlah RM13.46 bilion, terhadap 24 responden termasuk Danaharta, dua anak syarikat serta pegawainya, Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah.

Responden lain ialah pentadbir khas Naluri Corporation Bhd iaitu Mohamad Raslan Abdul Rahman, Ooi Woon Chee dan Gan Ah Tee serta syarikat Telekom Malaysia Berhad, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Technology Resources Industries Berhad, Celcom (Malaysia) Sdn Bhd, Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Atlan Holdings Bhd, Atlan Properties Sdn Bhd, Multi Esprit Sdn Bhd, Datuk Seri Adam Sani Abdullah, Datuk Ong Kim Hoay, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Datuk Ong Kar Beau, kerajaan Malaysia dan Naluri Corporation Berhad.

Tajudin pernah mendakwa bahawa pembelian saham tersebut diarahkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas kementerian kewangan Tun Daim Zainuddin pada 1994 untuk menyelamatkan kerajaan.

Pada tahun 2009, Danaharta serta dua anak syarikatnya berjaya dalam saman RM589.14 mereka terhadap Tajudin di Mahkamah Tinggi.

Ogos 2011, media melaporkan, kerajaan telah mengarahkan semua anak-anak syarikatnya (GLC) agar menggugurkan semua tuntutan mereka terhadap Tajuddin, anak didik bekas bendahari Umno, Tun Daim Zainudin ini.

Dalam surat yang dihantar oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, semua GLC dan Danaharta diberitahu, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan semua saman terhadap Tajudin di luar mahkamah.

“Adakah penyelesaian ini disebabkan oleh hujah pembelaan Tajudin bahawa beliau 'dilindungi' oleh Dr Mahathir dan Daim Zainuddin daripada sebarang tanggungjawab terhadap kerugian tersebut?” soal Pua (gambar).

Menggunakan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebagai contoh di mana mantan presiden dan timbalan presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy didakwa, Pua menggesa Najib turut melakukan perkara yang sama terhadap Mahathir dan Daim atas kecuaian melampau dan melindungi Tajudin dalam penswastaan MAS.

“Ia adalah jelas daripada penyelesaian di atas bahawa kerajaan BN tidak mempunyai keinginan politik untuk menguruskan kewangan dalam sebarang bentuk yang hemah.
"Ketirisan, rasuah dan pembaziran dalam skala besar akan terus subur dalam kerajaan BN yang tekad mempromosikan kronisme dan mengabaikan akauntabiliti,” selar Pua.

Jika keadaan ini berterusan, kata Pua, tilikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Jala bahawa negara akan bankrap sudah pasti akan menjadi kenyataan. -Hrkh

Pekerja Maybank lancar mogok di Bangsar

 
Hujan lebat petang tadi gagal melemahkan semangat kira-kira 200 pekerja Maybank dan ahli kesatuan sekerja yang berhimpun di ibu pejabat Maybank Bangsar untuk menuntut pihak majikan membatalkan penubuhan kesatuan dalam.

NONEDengan berpakaian serba merah, ahli-ahli kesatuan itu mula berarak dari pejabat Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (Nube) di Brickfields pada jam 3 petang tetapi tidak lama kemudian mendapati diri mereka basah kuyup akibat hujan lebat.

Namun, cuaca gagal mematahkan semangat mereka dan pekerja itu terus berarak sejauh dua kilometer dan sampai ke ibu pejabat Maybank Bangsar kira-kira 30 minit kemudian.

Pekerja-pekerja kemudiannya melaungkan kata-kata 'Maybank kejam', sambil membawa sepanduk dan kain rentang berbunyi: 'Henti jadikan ahli NUBE mangsa', 'Maybank rompak pekerja Malaysia' dan 'Kami diberi gaji kecil'.

NONEMogok tiga jam, anjuran NUBE itu adalah sebagai membantah keputusan Maybank untuk memecat dua pekerja yang kebetulan adalah pegawai kesatuan bank berkenaan.

Maybank juga dilaporkan menggalakkan pembentukan sebuah kesatuan dalaman tahun lalu yang dianggap NUBE melanggar Akta Perhubungan Perusahaan 1967. -M'kini

Penantian 30 Tahun Untuk Dapat Geran Tanah Berakhir Apabila PR Memerintah

Sabak Bernam : Umur Rasib Ghazali sudah mencecah 72 akan tetapi, harapan penduduk Kampung Hala Cara Baru itu untuk mendapat geran tanah bagi tapak rumahnya tidak kesampaian hingga semalam.

Penantian Rasib dan 116 penduduk kampung di daerah Sabak Bernam selama lebih 30 tahun berakhir apabila mereka diberikan notis 5A, iaitu notis yang mengakui mereka pemilik tanah yang sah, oleh Kerajaan Selangor.

Perasaan lega dan gembira jelas kelihatan di wajah Rasib dan penerima-penerima lain dari kampung Kampung Nelayan Haji Dorani, Kampung Jalan Pantai Sekendi dan Kampung Hala Cara Baru Sungai Panjang.

"Hampir-hampir 30 tahun lah. 30 tahun saya tunggu tak dapat-dapat. Sampai sekarang dah dapat Alhamdulillah," kata Rasib apabila ditemui di dalam majlis penerimaan borang tersebut di sini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata pemberian geran kepada pemilik tanah yang sah adalah usaha berterusan pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu bersikap adil kepada rakyat yang sudah berpuluh tahun menanti tetapi masih belum mendapat geran tanah. Di sesuatu kawasan, mereka sebagai pemilik yang sah. Inilah antara usaha dan janji kita kepada rakyat Selangor.

"Kita dapati dari kajian kita bukan sedikit. Lebih daripada 80,000 rakyat peneroka tanah di Selangor akan menerima geran sah (notis 5A) milik kepada mereka," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Borang Notis 5A Dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.

Seorang lagi penerima Rahani Siran, 71, dari Kampung Hala Cara Baru berkata, beliau menanti saat itu lebih dari 20 tahun dan berasa amat gembira pada hari ini.

"Tinggal kampung di sana tu dalam tahun 1989, dalam 22 tahunlah," katanya.

Seorang lagi, Mohd Sulaiman Yunus, 74, dari Kampung Nelayan Haji Dorani mengungkapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

"Alhamdulillah sangatlah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberi notis 5A dan kebenaran untuk saya menduduki tanah Kampung Nelayan ini dan masalah ini selesailah," kata Mohd Sulaiman.

Kerajaan Negeri juga akan mengurangkan bayaran premium hingga ke RM1,000 kepada penerima geran dan sekiranya masih tidak mampu menjelaskannya, mereka tetap dibantu oleh Tabung Kebajikan.

Pada majlis yang sama seramai 120 pewaris turut menerima RM1,500 seorang dari Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

"Dasar Kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk menyelesaikan keseluruhannya dan tanpa mengambil kira fahaman politik kerana mereka semua adalah rakyat Selangor. Mereka berhak mendapat geran tersebut," kata Abdul Khalid semasa memberi sumbangan SMUE. -tvsnews



Siri jelajah pelajar diteruskan meskipun diganggu samseng

NONEAidila Razak

Program jelajah seluruh negara bagi menuntut kebebasan akademik tidak akan dibatalkan meskipun mereka ceramah mereka di di Kampung Idaman, Klang, malam Sabtu lalu diganggu sekumpulan remaja yang bertindak ganas.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab (kiri) ketika dihubungi berkata bagi siri jelajah seterusnya di Batu Pahat, Johor, pada 26 Februari, pihaknya telah mengambil langkah-langkah keselamatan.

"Kami juga telah menghubungi penduduk tempatan bagi mendapatkan sokongan mereka. Pada acara di Klang hujung minggu lalu, penduduk tempatan yang membantu kami ketika keadaan tegang,” katanya.

NONEMenurut Ahmad Syukri, pihak polis juga telah dimaklumkan dan mereka sedang menunggu bagi mendapatkan permit bagi acara di Batu Pahat itu yang akan diadakan di dewan komuniti.

"Kami juga akan membawa pengawal keselamatan sendiri dan memastikan jumlah kami kali ini ramai, jika sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Pada kejadian 12 Februari lalu, 14 aktivis pelajar telah dikepung oleh sekumpulan samseng di Kampung Idaman sehingga memaksa mereka berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran.

"Satu kumpulan remaja di Kelantan juga telah menjemput kami untuk berceramah esok, dan kami meminta mereka membuat persiapan sewajarnya dan memaklumkan kepada kami tentang rancangan mereka," katanya.

NONEAhmad Syukri juga berkata bahawa mereka belum mendapat maklum balas dari polis berhubung kejadian Klang itu.

Pada kejadian itum kira-kira 100 samseng yang bermotosikal memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula. Mereka kemudiannya mengekori pelajar yang cuba membuat laporan polis.

Walaupun diiringi polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan, kumpulan samseng bermotosikal itu membaling batu dan memukul kereta pelajar berkenaan dengan kayu sehingga salah sebuah kereta remuk.

Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali sertai PAS


KOTA BHARU, 14 Feb: Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali, 57, hari ini menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas di sini sebentar tadi.

Anak kelahiran Bukit Payong, Kuala Terengganu itu hari ini mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di JKR 10. Pemimpin PAS Terengganu yang turut hadir meraikan penyertaan Abdullah itu ialah timbalan-timbalan pesuruhjaya, Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Selain Abdullah, turut menyerahkan borang keahlian lagenda bola sepak Kelantan yang juga pemain Olimpik 1972, Salleh Ibrahim dan Kamarudin Abdullah yang juga pemain kebangsaan.

Abdullah yang juga bekas Pewngurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

“Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan,” ujarnya.

Abdullah juga turut berhasrat untuk turun berkempen pada pilihanraya umum nanti di seluruh negara sekiranya beliau diperlukan oleh parti.

“Insyaallah saya bersedia turun membantu untuk berkempen,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur dengan penyertaan lagenda bola sepak negara itu untuk menyertai PAS.

Tuan Guru berharap, semoga dengan penyertaan Abdullah Ali akan lebih ramai lagi yang akan menyertai PAS memandangkan tidak ada sebab rakyat di negara ini menolak perjuangan yang berlandaskan Islam itu.

“Saya benar-benar berbangga dan bersyukur,” ujarnya sambil tersenyum.

Abdullah menyertai ahli PAS seumur hidup dan borang keahliannya diserahkan terus kepada Takiyuddin untuk diurus segera di peringkat PAS Pusat.

“Insya Allah bulan hadapan permohonan ini akan selesai,” ujarnya ketika ditemui pada majlis itu. -Hrkh

Ihram di Mekah terlucut di Batu Caves

Tindakan Najib menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama jutaan penganut agama Hindu dengan berpakaian Kurta kuning baru-baru ini, yang kemudian disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai perbuatan yang menggadai akidah dan ke arah syirik, kini menjadi isu baru yang memalukan Najib dan umat Islam seluruhnya.
Jika mengikut pandangan Harussani itu bahawa nasihat mengenai perkara itu sudah diberikannya sebelum ini tetapi tidak didengari oleh Najib, jelas memberi gambaran bahawa Najib tahu tindakannya hadir ke Batu Caves itu adakah suatu yang salah dan bertentangan dengan kehendak agama.
Apakah semata-mata Najib memikirkan kepentingan politik dan undi yang mungkin boleh diperolehi bagi meneruskan tempoh hayat UMNO dan BN sebagai parti pemerintah, maka soal akidah dan pegangan hidup boleh diketepikan begitu saja?

Jika itulah pendirian dan mazhab politik yang cuba diamalkan oleh Najib, sebenarnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita harapkan daripada Perdana Menteri Keenam ini? Ini kerana akidah dan pegangan hidup adalah nilai yang paling tinggi dalam kehidupan seseorang sebelum mereka mahu bercakap soal-soal lain seperti kepentingan keluarga, kasih sayang, membela rakyat, keharmonian, kekeluargaan, agama dan sebagainya.

Keikhlasan dan kejujuran seseorang akan segera diragui apabila pegangan agamanya tidak kuat dan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang bersifat sementara dan keduniaan.

Apa yang boleh kita rasakan sebagai orang Melayu dan Islam bila Najib dikata oleh mufti telah menggadai akidahnya ialah hanya perasaan sedih dan malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu lemah iman sehingga sanggup tunduk kepada hal-hal sebegitu.

Di merata tempat dan di pelbagai kelompok masyarakat Melayu sekarang ini memperkatakan tentang tindakan Najib itu dan tidak ada satu pun kedengaran suara yang memuji dan menyokong beliau. Rata-rata sedih dan kecewa.

Dengan kesediaan Najib menggadaikan akidah (sebagaimana yang disebut oleh Harussani sendiri) kerana politik bermakna kebolehpercayaan rakyat terhadapnya dalam soal membantu rakyat dan memperjuangkan hak orang-orang Melayu dengan automatik terpadam sama sekali. Bagaimana kita mahu percaya Najib betul-betul serius mahu menolong rakyat dan memperjuangkan nasib masa depan Melayu sedangkan nilai paling tinggi yang ada dalam dirinya pun boleh ditolakansur dengan kepentingan lain untuk mendapatkan undi serta sokongan.

Adakah Najib berfikir bahawa nilai paling penting dalam hidup ini hanya semata-mata dapat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya sahaja tanpa memikirkan bahawa ada kehidupan lain selepas kematian nanti?

Dalam hal ini umat Islam dan orang Melayu memang berhak berasa malu dengan tindakan Najib itu, lebih-lebih lagi beliau baru saja menunaikan haji di Mekah tahun lalu.

Dalam soal ini turut dipersoalkan ialah ke manakah perginya penasihat-penasihat agama di sekeliling beliau seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, timbalannya yang petah berbicara Mashitah Ibrahim, penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zain dan para mufti yang semuanya berkelulusan tinggi dalam bidang agama.

Turut ditanya ialah di manakah suara Dr Hasan Ali yang baru dipecat dari PAS yang kononnya salah satu asas perjuangannya ialah berkaitan dengan Islam dan murtad?

Adakah mereka takut menegur dan menasihati Najib kerana takut kehilangan jawatan dan kemewahan dunia yang dinikmati selama ini? Atau apakah mereka beranggapan oleh kerana Najib Perdana Menteri kepada semua kaum, maka dia berhak melakukan apa saja dan tidak perlu ditegur?

Kalau sebelum ini sebahagian daripada mereka ini begitu lantang bercakap dan mengkritik Anwar Ibrahim berkaitan isu pluralisme yang kononnya diucapkan oleh Anwar di sebuah persidangan di London, apakah tindakan Najib yang dianggap menggadaikan akidah ini hanya perkara remeh dan isu kecil oleh mereka berbanding pluralisme.

Lebih-lebih lagi pluralisme yang dikaitkan dengan Anwar itu pula hanya tafsiran mereka sahaja dan Anwar sendiri sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak bermaksud demikian. Ini berbeza dengan Najib yang terang lagi nyata hadir di Batu Caves bersama-sama kaum India sambil berpakaian Kurta dan sedia pula dikalungkan dengan bunga manggar paling besar. Dalam masa yang sama, ramai juga rakyat ingin melihat sesekali Najib berjubah dan berserban ketika ke masjid pada hari Jumaat.

Jika dalam isu pluralisme, Jamil Khir begitu lantang bersuara dan mahu menyiasatnya dan meluahkan pelbagai kecaman terhadap Anwar, tidak mahukah isu akidah Najib ini turut disiasat atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mengenainya pula.

Berbanding Anwar yang tampil berani menafikan ucapannya sebagai berunsur pluralisme, Najib sebaliknya memilih hanya berdiam diri dan bungkam seribu bahasa dalam hal ini. Ketakutan Najib untuk bersuara sama ada mengakui keterlanjurannya atau tampil dengan hujah-hujah yang menghalalkan kehadiran meraikan Thaipusam itu, tidak lain memperlihatkan bahawa Najib memang mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama juga taksub kepada undi dan kepentingan politik.

Maka berdiam diri adalah jalan terbaik sambil mengharapkan isu ini akan reda dengan sendirinya ditelan masa dan dalam masa yang sama undi kaum India yang diharap-harapkan tidak pula berkurangan. Namun hakikatnya ini memperlihatkan keperibadian Najib yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya. Orang Melayu mesti menghadkan sokongan kepada Najib mulai sekarang ini.

Lebih-lebih lagi dalam soal kehidupan, perbuatan menggadai akidah dan syirik adalah jauh lebih besar daripada pluralisme. Akidah bukanlah komoditi dagangan yang boleh dinilai dan ada tanda harganya. Apakah rupa manusia kalau akidah dan pegangan hidupnya sudah boleh digadai dan dijualbeli?
Oleh Shahbudin Husin (Tajuk asal: Mana Lebih Bahaya: Anwar atau Najib?)

Najib gelabah selar Negara Berkebajikan


http://1.bp.blogspot.com/-1GMuGLdvIb0/TaI3KD9v88I/AAAAAAAAAhY/24k8rq4O6-Q/s1600/najib+pening.jpgTindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyelar konsep Negara Berkebajikan yang diutarakan PAS memperlihatkan beliau ‘menggelabah’ dalam menafikan konsep berkenaan sebagai suatu konsep yang sangat baik.

Malah, tuduhan kononnya konsep Negara Berkebajikan akan menyebabkan kegawatan ekonomi adalah suatu kenyataan yang dangkal dari seorang Perdana Menteri
Demikian kata pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakob kepada Harakah ketika diminta mengulas kenyataan Najib 7 Februari lalu.


Najib dalam satu laporan Malaysiakini, antara lain berkata, negara yang mencuba model Negara Berkebajikan seperti yang cuba diperkenalkan PAS hanya berakhir dengan kegawatan ekonomi.
Najib berkata, dasar BN menyediakan jaringan keselamatan sosial, yang berbeza daripada dasar negara kebajikan yang diamalkan di beberapa negara Eropah.

Mengulas lanjut, Dr Rosli berkata, Negara Berkebajikan yang dilihat pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, sangat amat menjadi ikutan dan memakmurkan negara selain pemacuan ekonomi yang sangat jitu.
Di zaman Umar Abdul Aziz, pemerintahan selama dua tahun setengahnya menjadikan rakyat menikmati hasil ekonomi yang sama rata dan mereka berebut- rebut untuk menyerahkan zakat kepada kerajaan, katanya.

Dr Rosli berkata, idea Negara Berkebajikan yang mahu dijalankan PAS bukanlah meniru negara kebajikan yang dijalankan di Amerika Syarikat yang menyebabkan rakyatnya terlalu bergantung kepada kerajaan.
Sebaliknya kata Dr Rosli, Negara Berkebajikan yang mahu dijalankan PAS adalah sebuah konsep negara yang memberikan ruang ekonomi yang sama rata kepada seluruh rakyatnya.

Dalam konsep ini, rakyat boleh menjana pendapatan dengan kemahiran dan kebolehan yang mere- ka ada di samping kerajaan membuka peluang yang baik kepada mereka, katanya.

Tidak seperti yang dilakukan oleh kerajaan Umno- BN sejak dahulu yang mana mereka mengamalkan dasar ekonomi monopoli yang menyebabkan hanya kroni sahaja mampu untuk mendapat peluang meraih kekayaan negara, katanya.

Sistem monopoli ekonomi yang diamalkan kerajaan hari inilah sebenarnya yang menyebabkan kegawatan ekonomi, bukan kerana jika mengamalkan Negara Berkebajikan, katanya.

Mana tidaknya, kata Dr Rosli, kerajaan memberi peluang hanya kepada kroni Umno-BN sahaja dalam mengawal bekalan beras, gula, perniagaan kereta (permit import) dan pelbagai kontrak kerajaan.
Ia menyebabkan, rakyat yang berpotensi tidak mampu untuk mendapat peluang menceburi bidang tersebut kerana ianya sudah dimonopoli oleh kroni pimpinan negara, katanya.

Sistem monopoli ini juga, kata Dr Rosli, menyebabkan rakyat terpaksa membayar pada harga yang mahal untuk mendapatkan perkhidmatan mahu pun barangan.
Ia menyebabkan rakyat semakin tertekan, ditambah lagi dengan sistem cukai kerajaan yang tidak efisyen, katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan dasar insuran kesihatan yang sedang diperkenalkan kerajaan hari ini yang hanya akan menyebabkan manipulasi terhadap per khidmatan kesihatan.

Hal ini berlaku di Amerika Syarikat dengan hospital swasta kebanyakannya mengenakan caj yang tinggi kepada rakyat Amerika dalam mendapatkan rawatan kesihatan melalui kad kesihatan ini, katanya.
Natijahnya, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi terhadap bayaran khidmat kesihatan yang dikenakan ke atas rakyat oleh hospital, katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat menerima konsep Negara Berkebajikan yang diutarakan PAS bagi menjamin kesejahteraan, keamanan dan kegemilangan kepada ekonomi dan sosial negara.

"Jika tiada rakyat yang miskin tegar seperti zaman Umar Abdul Aziz, insya- Allah negara akan selamat dan mampu memacu ekonomi yang jauh lebih baik," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .