KUALA LUMPUR:
Apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden
PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat
pencerahan dan mempertahankannya.
Demikian ditegaskan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.
“Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan
pandangan saya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir
ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya,” ujarnya yang juga Ahli
Parlimen Temerloh.
Beliau dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan kononnya itu adalah ‘tunas perpecahan’ yang sedang menimpa Pakatan Rakyat.
“Sedang realitinya ini bukanlah polemik yang pertama kali berlaku
kepada PAS yang telah berusia lebih separuh abad, malah sering berlaku
kepada Pakatan Rakyat sepanjang usianya,” ujarnya lagi.
Berikut kenyataan penuh beliau.
1. Ramai pihak termasuk
wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai
kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir ini, khasnya kepada
batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan
dan kononnya ini adalah "tunas perpecahan" yang sedang menimpa Pakatan
Rakyat. Sedang realitinya ini bukanlah polemik yang pertama kali berlaku
kepada PAS yang telah berusia lebih separuh abad. Malah sering berlaku
kepada Pakatan Rakyat sepanjang usianya.
2. Sejarah membuktikan
tidak semestinya yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan
lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana
pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan
sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa.
3. Asasnya,
sebagai sebuah Gerakan Islam, kami senantiasa terbuka dan sedia untuk
dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang
diajar oleh Allah swt iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu
mengikut apa yang terbaik daripadanya.
4. Namun terbuka dan
bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau
bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas,
menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah
sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal dan
dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh al Quran al Karim
sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang
dibawa oleh Rasul utusan Allah swt.
5. Ramai menyangka maksud
menerima kritikan ialah "zip" mulut dan mendengar apa jua hamburan kata
yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap dungu
dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih,
sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang
dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak
pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus
pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan
positif.
6. Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik,
kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab
kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat menasihat, tegur menegur dan
kritik mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah dan
menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku. Selayaknya pihak
pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai
potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak. Adakah kritikan
tersebut berpaksikan hujjah atau fitnah. Adakah kritikan itu dengan
tujuan membina atau meruntuhkan.
7. Sistem nilai ini hanya
wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru
berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah
dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan
meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan
pada kritikan yang dikemukakan.
8. Apatah lagi jika sesuatu
kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan
mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawap
balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan
persepsi dan memurnikan prasangka. Contoh apabila pelbagai tuduhan yang
tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi
tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat pencerahan dan
mempertahankannya.
9. Namun saya sangat setuju bahawa setiap
kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut
ada asas dan hujjah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur
lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih
baik.
10. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih
saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada PAS lantas
sudi mengkritik PAS dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung
adalah agen yang membangun dan mendewasakan PAS dengan kritikan dan
teguran yang dihulurkan.
-Hrkh