Ikuti Blog ini
Pakatan Rakyat: PAS tidak akan bakar jambatan yang dibina ,Ahad, Ogos 17, 2008 at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - PAS tidak akan membakar jambatan yang telah dibina bersama Pakatan Rakyat dan tidak berniat untuk mencetuskan situasi yang menggugat keutuhan perpaduan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kerjasama yang dibuat bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain adalah berdasarkan kepada prinsip persefahaman yang saling menerima prinsip dan dasar perjuangan parti masing-masing.
"Ianya dibuat tanpa meruntuhkan dasar dan prinsip perbezaan ideologi untuk mengadakan kerjasama selain tidak mencetuskan perkara yang boleh membakar jambatan yang telah dibina," katanya kepada Harakah dalam satu sidang wawancara di Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Dewan Indera Mulia, Ipoh.
Sebelum ini, terdapat pandangan yang disuarakan oleh perwakilan yang memperlihatkan seolah-olah PAS mencurigai perjuangan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Ustaz Abdul Hadi, terlalu awal untuk menilai keutuhan pakatan yang dibina setelah Pakatan Rakyat dibentuk pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Apa yang penting, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan agenda untuk memartabatkan Islam serta memberi khidmat kepada rakyat terlaksana," ujarnya.
Tambahnya, kekeliruan yang timbul dalam kebanyakan isu sejak akhir-akhir ini sama ada di peringkat ahli mahupun pimpinan wujud akibat usia pakatan yang masih baru, serta perlu lebih dimantapkan.
Ditanya mengenai kesediaan PAS untuk mengisi kemenangan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menerajui Kerajaan Persekutuan, Ustaz Hadi menjelaskan bahawa PAS lebih bersedia berbanding yang lain.
"Persediaan PAS adalah lebih awal dibuat berbanding yang lain memandangkan usia PAS yang lebih awal ditubuhkan," katanya.
Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai tema muktamar tahunan ini iaitu PAS untuk semua.
"Apa yang saya maksudkan adalah perpaduan yang dibina merentasi sempadan masa, tempat, bangsa, agama dan segalanya. Ianya lebih bersifat global," tambahnya lagi.
Mengulas mengenai perjalanan muktamar kali ini, beliau berpendapat perwakilan muktamar begitu matang dan berjaya melontarkan idea yang bernas dalam memperkasakan parti.
"Dalam suasana yang hangat dibakar media massa dan bloggers, saya lihat sikap perwakilan begitu matang dan profesional," ujar Ustaz Hadi.
Katanya, Umno yang trauma dengan kekalahan, masih tidak dapat menerima kenyataan.
"Ini amat menggembirakan saya, selain teguran dan cadangan yang diberikan secara bernas," demikian ujarnya.