Ikuti Blog ini

BERSATU MERUNTUHKAN HEGEMONI BN

YONG TECK LEE nampaknya telah memulakan langkah yang lebih berani dengan membawa keluar Parti Maju Sabah (SAPP) daripada BN, iaitu setelah tiga bulan beliau secara terbuka menyatakan rasa hilang percaya terhadap kepemimpinan Abdullah Badawi. Tindakan SAPP ini adalah satu pukulan maut daripada rakyat Sabah terhadap BN setelah mahkamah mengisytiharkan kemenangan calon BN di kerusi Pensiangan tidak sah. BN benar-benar tergugat di Sabah sekarang ini, lebih-lebih lagi adanya desas-desus bahawa mereka akan meninggalkan BN beramai-ramai dalam masa terdekat ini. Apa tidaknya, kerana mereka adalah ‘anak tiri’ yang tidur ‘di tepi tandas’ dalam banglow BN yang dikuasai oleh menantu tuannya.

Anehnya, desakan-desakan ini tidak dilayan oleh Abdullah Badawi, sebaliknya tekanan ke atas rakyat dipertingkatkan. Sudah tiga orang ditahan di bawah ISA, tiga akhbar diberikan amaran, beberapa penulis blog ditahan di bawah Akta Hasutan dan macam-macam lagi. Nampaknya bajet kerajaan prihatin sudah tidak berguna lagi sekarang ini. Selepas Panglima ATM bersuara tentang isu perkauman, Abdullah Badawi melakukan pertukaran suka sama suka dengan Najib dan seterusnya mengambil alih tugas sebagai Menteri Pertahanan dan menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Najib. Ini satu langkah yang dilihat oleh rakyat untuk mengulangi tragedi 13 Mei 1969. Saya tahu Najib Razak tidak selesa dengan langkah ini kerana beliau lebih selamat berada di gudang bom C4 daripada menjaga kepuk duit di Perbendaharaan. Mungkin Abdullah Badawi memilih untuk mengetuai sendiri Kementerian Pertahanan supaya rahsia-rahsia sulit Najib Razak masuk ke tangannya – maka sukarlah Najib bersuara sebelum 2010. Nampaknya sumpah Najib tidak diyakini oleh Abdullah juga.

Di sebalik percaturan Abdullah-Najib dalam menghadapi pemilihan Umno Disember ini, tiba-tiba muncul Dr Mahathir untuk menyatukan kem Tengku Razaliegh dengan Muhyiddin Yassin tidak boleh dipandang ringan oleh penganalisis politik. Dr Mahathir mungkin hanya bermaksud untuk menggagalkan rancangan Anwar dan menjatuhkan Abdullah Badawi, tetapi ia memberi kesan besar kepada Umno. Regu Ku Li-Muhyiddin yang bakal diwujudkan ini akan melenyapkan impian Najib. Najib sendiri mungkin tidak selesa dengan peralihan 2010 kerana kedudukan beliau sendiri terancam. Tidak cerdik bagi bakal perdana menteri berpasangan dengan perdana menteri yang tidak popular untuk menentang pasangan calon yang lebih berkarisma. Tetapi Abdullah menjerat lebih awal dengan ’menaikkan pangkat’ Najib dan beliau mengambil alih Kementerian Pertahanan. Namun begitu, mesyuarat MT Umno pada hari khamis 18 September telah mendesak supaya Abdullah lebih awal dari formula peralihan kuasa jun 2010. Ini untuk mengelak daripada penghijrahan ahli-ahli Parlimen BN yang tidak berpuashati dengan BN kepada PR. Oleh itu, mesyuarat MT Umno berkehendakkan Abdullah membuat pengumumam bahawa penguduran beliau akan berlaku lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, dan mereka mengharapkan proses peralihan tersebut berlaku pada tahun ini juga. Jika Abdullah gagal membuat pengumumam ini sebelum bermulanya Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian-bahagian, ada kemungkinan Umno Bahagian-bahagian akan mencalonkan orang lain.

Jika kita menganalisis perkembangan politik ini, suasananya lebih panas daripada 1987. Ketika itu, Ku Li dan Dr Mahathir bersaing pengaruh, MCA pula membangkitkan isu-isu perkauman seperti mana hari ini. Ketika Najib Razak mengetuai Pemuda Umno untuk bertempur dengan Lee Kim Sai, tiba-tiba lebih 100 orang pemimpin pembangkang dan NGO disumbat ke dalam ISA. Plotnya hampir sama, cuma pengarahnya berbeza. Boleh jadi kerana itu maka ramai pemerhati berkata bahawa penahanan Raja Petra dan Taresa Kok adalah permulaan kepada pengulangan ini. Ia adalah langkah desprate Umno/BN setiap kali mereka tersepit. Tetapi kali ini mereka benar-benar tersepit dan mula diserang dari dalam oleh kalangan mereka sendiri.

Serangan dari luar, terutama oleh Pakatan Rakyat yang mensasarkan untuk mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat ini memang sangat dirasakan oleh Abdullah Badawi walaupun beliau masih mampu untuk ’control macho’. Melarikan 49 orang MP ke Taiwan itu satu langkah segera untuk menyelamatkan keadaan, tetapi belum tentu berjaya. Apabila ada menteri meletak jawatan, mahkamah pun memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di Pensiangan, Sanglang dan Manir, SAPP pula keluar BN, maka rombongan ihya Ramadhan di Taiwan itu kehilangan makna. BN hanya menunggu untuk runtuh sahaja. Dasarnya sudah reput, pucuknya sudah layu, batangnya hanya menunggu untuk tumbang sahaja. Mereka masih bertahan kerana kosmetik politik yang disolekkan sahaja.

Rakyat sudah tahu siapa UmnoBN. Sudah banyak harta kekayaan negara dimusnahkan oleh mereka. Kaum kroni dan anak menantu mereka kini kaya raya walaupun rakyat tertekan oleh bebanan kos hidup yang tinggi. Mereka tidak amanah dalam menguruskan khazanah negara. Politik kita juga cacamerba dan huru-hara. Bukan kerana tazkirah Ramadhan, tetapi kerana kebobrokan amalan politik mereka sendiri. Rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kezalman dan penindasan berlaku di mana-mana. Rakyat sudah jelek dengan keadaan ini. Kehidupan sosial masyarakat juga berada pada tahap yang paling buruk. Gejala sosial remaja sudah tidak tertangan, jenayah semakin berleluasa, kebajikan tidak terjaga. Inilah hakikat yang patut diakui oleh pemimpin BN bahawa mereka sudah tidak layak untuk memimpin lagi.

Kini, tinggal lagi persoalan kesediaan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan. Rakyat mesti diyakinkan bahawa Pakatan Rakyat boleh menawarkan pakej pentadbiran bersih, adil dan berkebajikan untuk mereka. Tetapi rakyat masih keliru apabila pemimpin Pakatan Rakyat tidak bersatu hati. Kita terjerat oleh gerakan sulit BN untuk melaga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat. Kita mengharapkan parti-parti komponen Pakatan Rakyat samada PAS, PKR dan DAP agar tidak melakukan apa-apa perkara ataupun membuatkan kenyataan yang boleh menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat yang mana tentunya akan menyebabkan terhakisnya kepercayaan rakyat kepada PR. Pimpinan PR hendaklah menunjukkan satu kebulatan tekad untuk membawa mandat rakyat bagi menamatkan hegemoni BN. Inilah satu harapan yang hendak saya lontarkan supaya kita dapat bersatu bagi meruntuhkan kuasa Barisan Nasional.

YB Tn Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .