Meskipun PAS tidak memerintah Negeri Terengganu, namun pendokong dan pimpinan PAS tetap meneruskan usaha dakwah dan memberikan khidmat kebajikan kepada rakyat Terengganu.
Masyarakat umumnya memberikan sokongan dan dapat menerima baik kehadiran PAS, namun usaha murni PAS sentiasa diragui malah digeruni oleh sesetengah penyokong UMNO yang agak tertutup dan fanatik.
Tidak cukup dengan sekatan media massa dan elektronik, sesetengah mereka yang tidak faham cuba menyekat usaha kebajikan PAS Terengganu yang turun kepada masyarakat menerusi program-program yang melibatkan institusi atau agensi kerajaan.
Pengalaman saya mengikuti program Lujnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu kelmarin memberikan satu kenyataan, betapa masih ada sesetengah petugas jabatan kerajaan yang masih berfikiran ‘dibawah tempurung’ dalam dunia ‘langit terbuka’ sekarang.
Usaha kebajikan tidak harus terhalang dengan sentimen politik kepartian, namun mungkin mereka yang memandang sinis dan berusaha pula untuk menyekat usaha Lajnah Kebajikan PAS Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), adalah mereka yang telah terkunci pemikirannya dan menganggap hanya UMNO sahaja yang segala-galanya.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Eidul Fitri yang bakal tiba, PAS Negeri Terengganu cuba menghidupkan budaya ‘memberi dan menerima’ dengan melaksanakan program ziarah pesakit yang terlantar di wad di HSNZ.
Program tahunan ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan duit dan kuih raya serta memberi semangat dan perangsang bagi pesakit-pesakit.
Antara pimpinan yang turut hadir bersama ialah YB Dato’ Tengku Hasan, ADUN Ladang, YB Dr . Alias Razak, ADUN Bukit Tunggal dan Ustaz Abu Bakar Abdullah, Pengerusi Lajnah Kebajikan serta Pengarah Program Dr. Muhammad Abdullah.
Manakala muslimat pula turut disertai Datin Seri Puan Hajjah Zainab, isteri YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd. Hadi Awang, Presiden PAS, isteri YB Dr . Alias dan isteri Ustaz Abu Bakar Abdullah.
Lawatan dan sumbangan kebajikan itu disambut dengan baik dan mesra oleh semua pesakit dan kakitangan HSNZ, namun terdapat seorang dua kakitangan yang berpandangan negatif terhadap program ziarah ini, cuba menyekat dengan pelbagai alasan.
Antara yang paling mengejutkan ialah ada kakitangan keselamatan yang menuduh rombongan ini datang untuk berkempen pilihanraya dan kek yang dibawa mungkin mengandungi “racun”.
Beberapa pelawat dan pesakit yang menyedari sikap petugas yang tidak professional itu hanya menggelengkan kepala tanda kesal dengan kekasaran sikap mereka.
Keadaan seperti itu pasti tidak berlaku sekiranya petugas Barisan Nasional pula yang turun untuk menyampaikan sumbangan.
Meskipun ruang dan peluang tidak dibuka sepenuhnya, PAS Terengganu tetap bersyukur dan gembira atas respon yang diberikan. Semua pesakit yang diziarahi menghargai kedatangan dan pemberian rombongan kebajikan ini.
Semoga selepas ini, PAS diberi peluang yang lebih luas bagi mendekati dan sama-sama berbakti pada rakyat tanpa prejudis untuk tujuan kepentingan politik semata-mata