Ikuti Blog ini

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein - 16 Septmber tidak mustahil


PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik yang dihubungi beranggapan tidak mustahil untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan Persekutuan yang baru menjelang 16 September ini.

Menurut pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dalam politik tidak ada apa yang mustahil.

Ketika ditanya adakah beliau yakin dengan usaha Anwar itu, beliau berkata:

“Tiada istilah mustahil dalam politik. Mungkin juga apa yang diperkatakan Anwar itu menjadi kenyataan. Namun semuanya bergantung kepada keadaan politik semasa.”

Jelasnya, perkara lompat parti itu mungkin mampun menjadi kenyataan kerana ahli politik adalah manusia dan mereka mempunyai pilihan untuk mencari yang terbaik.

“Kita kena ingat ahli politik ini manusia bukannya benda yang tidak punya keinginan untuk mendapat perkara yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku walaupun beliau ragu-ragu mengenai kemungkinannya.

“Ia tidak mustahil... mungkin faktor masa akan menentukan sama ada ia benar-benar terjadi atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, isu lompat parti ini bergantung kepada keadaan politik semasa dan jika benar ia terjadi rakyat perlu bersedia meneriman perubahan.

“Mungkin Barisan Nasional hanya akan menjadi sejarah dan kita akan dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizammudin Sulaiman berkata sukar untuk menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

"Agak sukar untuk menjangkakannya sekarang, tapi ia tidak mustahil untuk berlaku. Politik bersifat relatif dan ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Jelasnya, isu-isu rakyat terutamanya masalah kenaikan harga minyak, inflasi dan ketidakstabilan politik mendorong isu lompat parti ini terjadi.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .