Ikuti Blog ini

INDEKS PERSEPSI RASUAH:

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius pengumuman hasil kajian oleh Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh tentang persepsi rakyat negara ini terhadap amalan rasuah yang berlaku sekarang. Kajian ini melaporkan lebih 53 peratus daripada hampir 15,000 responden berpandangan bahawa tahap rasuah di negara ini adalah tinggi. Keputusan kajian ini juga sekali gus merupakan tamparan kepada Perdana Menteri, Abdullah Badawi kerana gagal melaksanakan agenda integriti dan penghapusan rasuah yang diumumkannya ketika mula-mula memegang jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003.

DPP Pusat berpandangan tindakan IIM yang mengambil isi rumah sebagai responden utama melibatkan lebih 10,000 responden menjadi faktor persepsi ini berada pada tahap 53 peratus yang mengatakan kadar rasuah adalah tinggi dan 58 berpandangan usaha penghapusan rasuah berkesan. Di Malaysia, kebanyakkan suri rumah adalah mereka yang tidak mengakses maklumat alternatif, melainkan menonton tv atau mendengar radio yang dikuasai oleh kerajaan atau parti pemerintah. Jika responden yang dipilih di kalangan mereka yang terdedah dengan pelbagai maklumat alternatif, terutama kakitangan swasta, pelajar universiti dan juga ahli-ahli politik, DPP Pusat percaya peratusan mereka yang mengatakan kadar rasuah di negara ini tinggi akan meningkat dan peratusan yang mengatakan pencegahan rasuah berkesan akan menurun.

Antara faktor yang jelas menyebabkan persepsi rakyat begitu buruk terhadap keadaan rasuah di negara ini ialah politik wang dalam parti pemerintah sehingga ramai responden mengatakan ia sudah tidak terkawal lagi. Dalam musim pemilihan parti seperti sekarang, para menteri sendiri bercakap tentang gejala ini. Ketika musim pilihan raya, BN menaburkan pelbagai bentuk rasuah kepada rakyat sehingga rasuah sudah menjadi biasa. Faktor yang kedua ialah dasar pentadbiran Abdullah Badawi yang lemah sehingga membuka ruang kepada kronisme. Anak, menantu, ipar, adik-beradik, saudara-mara dan kenalan rapat para menteri menjadi kaya raya kerana mengaut kekayaan negara secara haram. Di mana-mana orang bercakap tentang masalah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang menciptaan kekayaan dalam sekelip mata. Media-media juga melaporkan penyelewengan yang berlaku di Kementerian Pertahanan yang sebelum ini diketuai oleh Najib Razak terutama isu pembelian kapal selam dan helikopter.

Kelemahan badan kehakiman juga menjadi satu sebab yang mendorong persepsi negatif ini kerana rakyat melihat usaha kerajaan untuk memulihkan integriti kehakiman tidak serius. Ketika Datuk Zaid Ibrahim menjadi menteri, beliau berusaha memulihkan sistem kehakiman dengan membayar ex-gratia kepada bekas hakim yang dipecat, menubuhkan suruhanjaya kehakiman, mengkaji semula kedudukan BPR dan juga perperiksaan guaman. Tetapi, dalam sekelip mata sahaja segalanya musnah apabila Abdullah Badawi mencalonkan bekas Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Zaki Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Bagaimana mahkamah boleh berkecuali jika ia dipimpin oleh pemimpin Umno. Malaysia patut belajar daripada mahkamah Thailand yang sanggup menghukum bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan isterinya walaupun kerajaan Thailand sekarang dipimpin oleh keluarga dan penyokong Thaksin.

DPP Pusat melihat bahawa kegagalan Abdullah Badawi dalam memastikan keluarga terdekat menteri mencipta kekayaan melalui pintu belakang telah menyebabkan rakyat melihat slogan-slogan pembaharuan beliau sebagai satu kepalsuan. Lebih-lebih lagi apabila Umno sendiri menjuarai politik wang dan mahkamah gagal dibebaskan sebagai sebuah institusi yang prorakyat. Undang-undang draconian diwujudkan untuk menyekat rakyat bersuara, kebebasan akhbar dihalang dan mahkamah pula dimasukkan ke ’dalam saku’ Umno. Keadaan seperti memang akan mewujudkan persepsi yang buruk terhadap tahap amalan rasuah. Inilah legasi Abdullah Badawi menjelang persaraannya!

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .