KETUA Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar meminta para pengundi di Parlimen Kuala Terengganu menolak calon BN yang jelas lebih terarah menjadi alat kepentingan pihak tertentu dan bukannya mendatang faedah keseluruhan rakyat di kawasan itu.
"Jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) sebagai "benar-benar pilihan yang sangat buruk," para pengundi di Kuala Terengganu mesti menolaknya dalam pilihan raya kecil 17 Januari nanti. "Dr Mahathir dengan jelas mendedahkan bahawa (Datuk) Wan Ahmad Farid (Wan Salleh) akan menjadi proksi dan alat kepentingan pihak tertentu untuk mengepung (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bila beliau menjadi Perdana Menteri kelak, bukan untuk kepentingan rakyat dan pengundi Kuala Terengganu.
"Kalau Bekas Presiden Umno sendiri yang menegaskan bahawa Wan Ahmad Farid dipilih sebagai calon untuk kepentingan pihak tertentu, bukan untuk kepentingan pengundi dan rakyat Kuala Terengganu, saya yakin pengundi Kuala Terengganu akan menolak orang yang tidak dicalonkan demi kepentingan mereka,"ujarnya.
Berdasarkan apa yang didedahkan oleh Dr Mahathir itu, Mahfuz yang juga Ahli Dewan Rakyat Pokok Sena seterusnya menyelar Umno dan BN kerana langsung tidak mementingkan calon yang memenuhi kepentingan dan aspirasi rakyat dan hanya mementingkan kehendak dan kemahuan pemimpin parti itu sahaja.
"Sikap Umno dan BN berbeza sama sekali dengan PAS yang memilih calon yang benar-benar diyakini dan terbukti berkhidmat untuk kepentingan rakyat. "Sebagai calon pembangkang, jika Mohd Abdul Wahid Endut tidak berkhidmat untuk kepentingan mereka, rakyat tidak akan memilihnya sebagai Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal berturut-turut dan dengan majoriti yang besar pula," tegas beliau lagi.