Ikuti Blog ini

RK: 'Berubah demi kesejahteraan hidup', tema calon PAS


KUALA TERENGGANU - Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut meminta agar pengundi Kuala Terengganu bangkit melakukan perubahan demi menjamin kesejahteraan hidup mereka pada masa akan datang.


Beliau berkata demikian kepada media selepas dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu semalam.


"Kita perlu mengubah keadaan masyarakat di Kuala Terengganu ini yang masih tidak mendapat apa-apa kesan daripada pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini," katanya.


Oleh itu, katanya beliau menampilkan tema kempen beliau iaitu 'Berubah demi kesejahteraan hidup.'


Beliau turut merayu kepada pengundi Cina agar memberikan peluang kepada pakatan rakyat.


Dengan sokongan daripada rakan-rakan DAP dan Paktan Rakyat ditambah dengan isu-isu lokal yang banyak membantu, beliau tetap berkeyakinan bahawa pengundi bukan Melayu akan memberikan sokongan kepadanya.


"Mereka perlu menyokong Pakatan Rakyat kerana selama ini mereka tidak mendapat apa-apa manfaat daripada pembangunan yang dijalankan oleh kerajaaan Umno-BN.


"Kita perlu mengubah keadaan tersebut, sepertimana tema yang saya ketengahkan pada kempen saya iaitu Berubah demi kesejahteraan rakyat," katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa masyarakat Cina di Kuala Terengganu cukup faham dan menerima penjelasan mengenai hudud.


"Mereka faham dan terima Hudud kerana ia bukanlah untuk bukan Islam tetapi hanya dilaksanakan untuk orang Islam sahaja, yang sebilangannya orang Melayu.


"Pihak yang marah dengan Hudud ini sebenarnya adalah Umno, bukan orang Cina atau bukan Islam," tegasnya.


Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru, beliau menganggap bahawa ia adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.


Mohd Abdul Wahid juga berjanji akan menambahkan suara Pakatan Rakyat di parlimen setelah memenangi pilihan raya tersebut.


Dalam pada itu, beliau juga enggan mengulas mengenai calon lain.


Adun Wakaf Mempelam itu yakin dengan kekuatan yang dimiliki PAS setelah berjaya memenangi tiga daripada empat Dun dalam parlimen Kuala Terengganu.


"Pengundi Cina memberikan sokongan yang cukup bagus dan saya kenal ramai di kalangan mereka kerana saya pernah bertanding di Dun Bandar pada 1986," ujarnya lagi.


Beliau turut menafikan anggapan sesetengah pihak bahawa dengan kedudukan sebagai wakil rakyat di peringkat negeri itu akan mengurangkan sokongan terhadapnya dalam pilihan raya kecil kali ini.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .