Ikuti Blog ini

Titisan air mata cetus keinsafan menjelang hari mengundi


KUALA TERENGGANU - Titisan air jernih mengalir tanpa disedari membasahi pipi hampir setiap jemaah yang hadir pada Munajat Perdana di Masjid Penghadang awal pagi tadi.


Tanpa disedari air jernih yang bertakung di kelompak mata jatuh di atas riba ketika ribuan rakyat Terengganu dan penyokong PAS dari luar menadah tangan berdoa ke hadrat Allah Taala.


Doa yang dipimpin anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Mohamad Mustapha ternyata berjaya mengusik kalbu.


Ramai tidak dapat menahan sebak apabila Adun Demit itu mulai hiba sambil berdoa sehingga suasana menjadi hening seketika.


Doa dan air mata menjadi senjata yang ditakuti pihak musuh kerana hijab antara langit dan bumi terbuka luas.


Munajat perdana itu bermula jam 3.30 pagi dihadiri ribuan manusia sehingga kenderaan bersesak sesak di sepanjang jalan di hadapan masjid.

Image

Program bermula dengan zikir munajat yang dipimpin Ustaz Nor Azlan Jaafar, kemudian dikuti solat tahajut diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim al Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Solat hajat dan witir diimamkan Ustaz Mohamad yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan.


Turut menyertai program munajat itu Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali, timbalan pesuruhjaya, Dato' Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato' Hussin Awang dan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.


Program itu diadakan bagi memohon ke hadrat Allah Taala untuk keselamatan, dan mengelak perkara tidak diingini berlaku pada hari mengundi. Ia berakhir setelah masuk waktu Suboh. Dan solat Suboh diimamkan Ustaz Hussin.


Ustaz Abu Bakar berkata, solat hajat itu diadakan sebagai usaha mengadu ke hadrat Allah Taala bagi mengatasi niat jahat pihak tertentu menggunakan kaedah tidak bertamadun bagi memenangi pilihan raya.


Ustaz Mohamad ketika menyampaikan kuliah Suboh selepas itu berkata, sekarang berlaku syirik nasional apabila manusia cuba membelakangi agama dalam kehidupan seharian.


"Perkara seperti itu boleh berlaku antaranya dalam ungkapan yang sering kita sebut iaitu Keranamu Malaysia.


"Oleh itu sempena kedatangan tahun baru Hijrah hendaklah kita meninggalkan perkara-perkara yang menjurus ke arah syirik," katanya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .