Bila sahaja orang-orang Cina atau India meminta tanah, kuota dan hak-hak mereka, Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein terus bertempik dalam gelanggangnya sambil menghunuskan keris.
“Jangan cabar Melayu” itulah antara ayat-ayat keramat yang terhambur dek lidah bercabangnya. Sebaik dinoktahkan sebagai Menteri Pendidikan yang kemudiannya ditukar jadi Menteri Pelajaran, beliau menyambut idea Mahathir dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
Sesungguhnya, tindakan itu umpama melapah Bahasa Melayu yang akhirnya menjadi korban untuk dipersembahkan kepada dunia khususnya para pewaris kolonial Inggeris bahawa negara ini masih tidak boleh berdiri sendiri atas tulang bahasa bangsa Melayu.
Citra Melyu digelapkan sedikit demi sedikit dan yang turut menjadi mangsa adalah bahasa cina dan Tamil yang selama ini menjadi bahasa pengajar disekolah vernakular.
Habis Bahasa Melayu dan bahasa lainnya ditikam oleh Hishamuddin. Saat rakyat bangkit pada 7 Mac lalu, Hishamuddin sibuk mencari dalang. Tuduh sana, tuduh sini. Beliau cari mangsa untuk ditikam lagi.
Sasterawan Negara dianggap penderhaka dan perosak bangsa, walhal merekalah yang bersusah payah mengumpul kudrat dan menatang semangat untuk menongkat kembali Bahasa Melayu dalam pendidikkan anak-anak kita.
Hishamuddin yang angkuh harus diberikan keinsafan dan dibawa melihat sejarah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Beliau juga wajar diajarkan tentang kejayaan bangsa lain yang mampu meletakan diri dan negara mereka dalam senarai negara maju.
Lihatlah negara Jepun, Jerman, Italy, Perancis dan Sepanyol. Bahasa mereka kekal jadi bahasa pengantar, bahasa pengajaran dan pembelajaran disekolah.
Walaupun ada beberapa istilah Arab dalam matematik atau istilah greek dalam sains namun bila masuk ke bilik darjah mereka, bahasa-bahasa ini disesuaikan dengan bahasa mereka atau diasimilasikan.
Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amatlah berguna buat kelangsungan tamadun bangsa Melayu. Kerana setiap tamadun itu dikenali bukan sekadar kerana kecanggihan teknologinya, tetapi kerana latar budaya dan bahasa pendidikannya.
Oleh itu, apasalah dosa Bahasa Melayu hingga sanggup ditinggalkan Umno. Adakah cukup sebilah keris sebagai waris Bangsa Melayu. Disana perlu ada identiti lain yang wajib kita wariskan.
Jangan biarkan Bahasa Melayu hanya menjadi bahasa orang di Pasar. Ia wajib dijadikan Bahasa Ilmu demi mengangkat martabat bangsa Melayu.
Nota-Artikel ini ditulis dengan merujuk kepentingan mengekalkan Bahasa Melayu sebagi bahasa ilmu, bukannya ingin memperjuangkan Bangsa Melayu secara membabi buta macam Umno.