Ikuti Blog ini

Musa, Gani tidak palsukan bukti mata lebam Anwar. Rakyat mana yang percaya?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini, Ketua polis negara dan peguam negara didapati tidak terlibat dalam kesalahan jenayah berhubung isu memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Jawapan tersebut memang sudah dijangka oleh banyak pihak. Ini kerana siasatan sewaktu itu dilakukan oleh BPR yang belum bertaraf SPRM yang pada ketika itu tiada sebarang jawatankuasa untuk menasihat dan memantau perjalanan dan operasi siasatan. Sementelah lagi terdapat banyak keraguan terhadap perjalanan siasatan kes-kes yang dilaporkan kepada BPR sebelum ini apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM (dulu ketua Pengarah BPR) Ahmad Said Hamdan mempunyai track-record yang buruk di dalam mengetuai badan berkenaan sampai kini.

Sekalipun dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

"Panel bebas ini tidak sesama mereka dan telah membuat ulasan secara profesional, telah mengkaji kes secara teliti dan mendalam.

"Secara majoriti diputuskan Peguam Negara tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah seperti yang ditohmahkan dan tidak ada sebarang keterangan terhadap Ketua Polis Negara," katanya ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar membuat aduan polis terhadap kedua-dua pegawai tinggi kerajaan itu pada 1 Julai tahun lalu sewaktu mantan timbalan perdana menteri tersebut disiasat berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata kedua-duanya memalsukan keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah olehnya sendiri.

Pada masa itu Musa seorang pegawai penyiasat, manakala Abdul Gani pula merupakan ketua pendakwaan terhadap kes rasuah Anwar.

Dalam laporan polisnya, Anwar memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti apabila kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Perjalanan institusi kehakiman negara yang ada kini telah lama menjadi begitu tempang apabila rakyat mengesani bahawa Peguam Negara memainkan peranan utama di dalam setidak-tidaknya menentukan hakim yang mendengar kes-kes disamping dikatakan menjadi "the invisible hand" terhadap beberapa keputusan yang meragukan.

Contoh paling ketara ialah dalam penghakiman kes Anwar yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai tidak sah.

Katanya, Abdul Gani hanya menjalankan fungsi pentadbiran dengan menandatangani sijil tersebut dan bukan menjalankan fungsi penghakiman atau separa-penghakiman.

"Oleh itu, beliau bukan melaksanakan fungsi kehakiman atau separa kehakiman. Beliau semata-mata menjalankan tugas pentadbiran yang ada dalam kuasanya dan yang perlu dilaksanakannya sendiri," katanya.

Ini jelas satu ketempangan yang serius di dalam proses keadilan bahawa seorang pencuri yang bertindak sebagai seorang kerani masih boleh berkhidmat sebagai kerani kerana ia hanya menjelaskan tugas-tugas perkeranian yang tidak mungkin mencuri. Logikkah demikian?

Adalah terlalu wajar untuk setiap pihak memahami bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan dan Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan.

Adalah wajar Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk meletakkan jawatannya semasa kes-kes mereka disiasat kerana kehadiran mereka dipejabat-pejabatnya akan hanya menimbulkan prasangka dan mencemarkan imej institusi yang mereka pegang kini.

Rakyat Malaysia sudah serik dan sudah muak dengan kisah institusi-institusi yang telah tidak berfungsi secara adil dan telus seperti yang dilakukan oleh SPRM, Polis malah oleh hakim-hakim yang khianat sepertimana yang terdedah di dalam siasatan kes pita video V.K.Lingam.

Satu pembersihan secara total perlu dilakukan terhadap institusi-institusi ini daripada terus menjadi pertikaian dan bahan lawak oleh rakyat yang sekarang ini mahu melihat kebenaran dan keadilan itu dapat ditegakkan tanpa kes berpilih, tanpa pilih-kasih dan tanpa manipulasi dari mana-mana pihak yang berkepentingan.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .