Kesian Abdullah Antong Yang Jadi Kambing Hitam Kepada Pak Hitam
Saya sangat kasihan kepada rakan yang bernama Abdullah Antong Sabri ini. Abdullah adalah seorang pegawai PTD yang baik dan bersopan. Tapi sejak berlakunya krisis politik Perak, pegawai yang hobinya suka nyanyi lagu Hindustan ini nampak seperti orang yang tidak baik di kalangan penyokong PR.
Abdullah, Setiausaha DUN Perak, tiba-tiba jadi popular kerana mengambil tindakan yang tidak popular. Dua bulan lepas dia popular kerana enggan membenarkan DUN bersidang seperti yang dikehendaki oleh bossnya, Speaker DUN Perak, Sivakumar. Kelmarin dia popular lagi kerana memanggil DUN bersidang tanpa berunding terlebih dahulu dengan Sivakumar.
Mungkin bagi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang memahami prosedur kerja yang perlu mendahulukan boss sendiri berbanding orang lain, tindakan Abdullah nampak macam orang tak tahu buat kerja. Tindakan Abdullah membelakangkan bossnya sendiri kelihatan sesuatu yang ganjil dan luar biasa kerana ia bukan budaya PTD yang lazimnya sentiasa mematuhi arahan boss di atasnya.
Bagi penyokong PR, mungkin apa yang Abdullah lakukan nampak seperti kelakuan seorang pegawai yang nakal, tidak cerdik dan berniat jahat. Tapi sebelum salahkan Abdullah kita harus faham siapa di belakang tindakan nakal itu. Kita harus faham kenapa Abdullah yang bukannya bodoh itu melakukan tindakan yang nampak tidak cerdik.
Sebenarnya Abdullah cuma PTD Gred 54 yang selain dari perlu patuh kepada bossnya Sivakumar, perlu juga mematuhi arahan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Zambry yang popular dengan gelaran Pak Hitam itu. Yang berkuasa menaik dan menurunkan Abdullah sekarang ialah Zambry @ Pak Hitam bukannya Sivakumar yang partinya telah dijatuhkan dalam kudeta tempoh hari.
Dalam kes Abdullah yang memanggil sidang DUN tanpa restu Sivakumar, Abdullah bertindak cuma sebagai kambing hitam. Yang menjadi gembala kepada kambing hitam itu ialah SUK dan Pak Hitam yang memegang tali yang diikat dihidung si-kambing hitam itu. Jadi, kalau nak salahkan, kita tidak wajar salahkan kambing hitam yang hanya mengikut perintah Pak Hitam. Jika nak salahkan, salahkan Pak Hitam, bukan kambing hitam.