Dalam usaha merapatkan hubungan dengan bloggers tanahair, kira-kira 50 blogger dibelanja makan malam oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim di Restoran Seri Melayu, sebuah restoran mewah di Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian itu, Rais mahu menggunakan peluang itu untuk ‘beramah-mesra dengan para blogger’.
Walaupun majlis ini diketahui umum namun media dihalang dari membuat liputan keatas majlis itu.
Ini menimbulkan spekulasi majlis khas tersebut hanya diadakan bagi blogger-blogger terpilih atau yang pro-Umno dan Barisan Nasional.
Antara bloggers yang hadir adalah Abdul Kadir Jasin, Ahiruddin ‘Rockybru’ Atan, Ruhanie Ahmad, Ibrahim Yahya, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Nuraina Samad dan Syed Akbar Ali.
Apa yang menarik, blogger yang kritikal terhadap kerajaan tidak kelihatan.
Sepanjang makan malam itu, Rais dilaporkan berkata: “kawan-kawan saya memberitahu tidak kurang dari 5,000 blogger yang serius menyuarakan pendapat mereka dalam pelbagai isu,”
“Sebahagian dari mereka berhenti menulis untuk media arus perdana untuk menumpu blogging sepenuh masa. Di kalangan blogger ini adalah anak-anak kita sendiri, mahasiswa dan pengajar, yang membentuk kelompok kritikal dalam masyarakat kita,” tambah Rais.
Beliau memohon blogger-blogger yang hadir untuk memuji kerajaan bila pujian itu wajar diberikan, terutamanya apabila kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang bagus.
Beliau turut berkata kesahihan undang-undang memantau dan mengawal media dan perhubungan di negara ini seperti Akta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia 1998 tidak perlu dipertikaikan lagi.
Beliau berkata undang-undang ini tidak akan digunakan selagi blogger menjaga etika penulisan mereka.
“Terdapatnya aturan dan taktik tertentu untuk blogging yang sebenarnya sebahagian dari budaya kita sebagai Melayu dan Muslim. Antaranya adalah melaporkan apa yang betul dan adil, dan bukan memfitnah,”
“Penting untuk blogger-blogger ternama menjaga kredibiliti, kerana kritikan mereka mudah diterima oleh orang-ramai,” tambah Rais.
Rais berkata makan malam itu dianjurkan sebagai tanda sokongan kerajaan kepada budaya media baru yang menyumbang kepada pembangunan negara.