Ikuti Blog ini

Debat Antara Si-Pembakar Jambatan UMNO dan Si-Luncai

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang berang dengan mantan Menteri di JPM, Datuk Zaid Ibrahim yang kerap mengkritik Najib hari ini dilapor BERNAMA menggelar Zaid sebagai si-Luncai. Seterusnya Rais telah mencabar Zaid berdebat mengenai isu salah laku Najib yang sering dibangkitkan Zaid kepada media asing.

"Sekiranya berpeluang saya sendiri ingin berdebat dengan pihak-pihak yang cuba "mengenakan" pemimpin kita dengan perkataan tak senonoh atau tidak diterima akal pada masa ini," kata Rais, "Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu (memburuk-burukkan) Perdana Menteri," katanya.

Jadi tidak lama lagi kita berpeluang melihat satu debat perdana antara Rais dan Zaid mengenai isu Najib. Yang istimewanya mengenai debat ini ialah ia di antara dua tokoh yang mahir tentang undang-undang. Debat ini juga istimewa kerana ia membabitkan Zaid yang telah dipecat oleh UMNO dengan Rais yang pernah keluar UMNO dan pernah bersumpah untuk tidak akan kembali kepada UMNO kerana jambatan untuknya kembali telah 'dibakar'nya. Tentu hebat debat antara si-Luncai (Zaid) dengan si-pembakar jambatan (Rais)!!

Kita berharap debat mengenai isu Najib di antara dua tokoh itu diadakan secara langsung seperti debat Anwar dan Shabery dahulu. Dan kita juga berharap debat berlangsung tanpa syarat, terutama jangan kenakan syarat-syarat berikut:

- Tidak boleh sebut nama Altyantuya
- Tidak boleh sebut bahan peledak C4
- Tidak boleh sebut komisyen kapal selam dan sukhoi
- Tidak boleh sebut nama seorang penyanyi wanita dan Port Dickson
- Tidak boleh sebut nama Rosmah dan Bollywood



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .