Ikuti Blog ini

Kemarahan Rakyat Akan Dibawa Ke Tong Undi Permatang Pasir



Kekejaman dan kezaliman UMNO BN dan Polis Di Raja Malaysia yang bertindak ganas dan kasar kepada rakyat pasti akan terbalas juga.

Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA sekalipun dihalang untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong namun, yang nyata, dunia menyaksikan hari ini rakyat berbilang kaum telah bangkit dalam bilangan yang ramai sehingga mencecah 100,000 orang (sekalipun angka oleh media massa hanya 20,000).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul iskandar Mohd Akin di dalam kenyataannya menyatakan AMK Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis menyerang, mengganasi dan menangkap rakyat Malaysia yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari ini, menuntut pemansuhan akta zalim ISA.

Katanya, AMK mengutuk tindakan ganas polis yang sama sekali tidak perlu. Ia adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Malah pihak polis tidak menghormati Baginda kerana temujanji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda telah ditetapkan pada hari ini.

Keganasan hari ini yang menindas dan menekan suara rakyat Malaysia ternyata mendedahkan omongan kosong '1 Malaysia' yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato' Seri Najib Razak untuk membuktikan bahawa pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan-sloganan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai langkah pertama, hampir 500 orang rakyat yang ditahan hari ini ketika melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan, mesti segera dibebaskan.

Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai utama polis yang mengarahkan keganasan hari ini, mencabul hak perlembagaan rakyat dan bertindak biadap terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, perlu digantung tugas dan siasatan bebas dilaksanakan terhadap mereka.

Najib perlu bersedia membuktikan bahawa beliau berhasrat untuk benar-benar menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan segera mengambil langkah-langkah perlu untuk menentukan kehendak sebenar rakyat mengenai ISA dengan mengadakan pungutan suara (referendum) bebas.

Tatacara pengendalian pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun mesti dikaji semula bagi memastikan mereka mengawal keselamatan dan bukan bertindak liar mengganasi rakyat.

Sudah sampai masanya tindakan pemerintah memperalatkan polis untuk kepentingan sempit mereka dihentikan dan polis seharusnya menjaga keselamatan rakyat dan bukan mengganasi mereka.

Sekiranya Najib enggan melaksanakan perubahan-perubahan ini, ternyata beliau mengemukakan gagasan '1 Malaysia' hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat dan memperdayakan Malaysia bahawa kerajaan hari ini sudah berubah.

Sementara itu, seorang Ketua PAS Peringkat Bahagian menyatakan, isu ISA dan kezaliman polis hari ini pasti akan dibawa ke Permatang Pasir dan UMNO BN perlu dihukum oleh rakyat kerana membiarkan polis bertindak sewenang-wenang ke atas rakyat.

"Pihak polis merasa diri mereka terlalu berkuasa, lebih berkuasa dari Yang Dipertuan Agong, apabila mereka menghalang rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong yang telah bersetuju untuk menerima kehadiran rakyat di Istana Negara," jelasnya.

Dianggar lebih 200 orang ditahan sebelum dan semasa perarakan. Antara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditahan termasuklah Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Sivarasa Rasiah. Tengahari tadi pula, Norlaila Osman, Narshitah Mohd Nor dan Aiman Athirah Al-Jundi juga turut ditahan.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .