KOTA BHARU, 21 Jun: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan sedang melulus usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim zionis Israel menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Usul tersebut dibentangkan oleh Adun Air Lanas, Abdullah Ya'kob yang disokong Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad pada persidangan Dun Kelantan hari ini.
Speaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud meluluskan usul itu untuk dibahaskan setelah mendapat sokongan semua Adun yang hadir.
Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohmed merupakan anggota dewan pertama yang membahaskan usul berkenaan. Beliau begitu bersemangat.
Semua Adun memakai selendang Hamas sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang rejim zionis Yahudi.
Usul tergempar tersebut dikemukakan selepas pihak kerajaan selesai menjawab soalan-soalan lisan padapersidangan Dun pagi tadi.
Speaker meluluskan usul tersebut setelah mendapati ia menepati tiga kriteria iaitu perkara tertentu yang
mustahak, melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
Ketika dikemukakan usul tersebut untuk mendopat sokongan, kesemua Adun yang hadir berdiri termasuk Datuk Nor Zahidi Omar (BN - Pengkalan Kubur) dan Datuk Aziz Derashid (BN - Kuala Balah).
Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad hanya ada sekejap pada persidangan sebelah pagi. Tiga lagi Adun BN tidak kelihatan sejak pagi lagi.
Ketika membentang usul terbabit Abdullah yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) berkata, kejadian yang berlaku pada 31 Mei lalu berjaya membuka mata dunia terhadap kerakusan Yahudi.
"Misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang disertai lebih 500 sekarelawan termasuk paderi Kristian dan
kanak-kanak dari 47 negara akhir Mei lalu dengan menaiki tujuh kapal telah dihalang dan diserang tentera Zionis.
"Akibat serangan tersebut menyebabkan sembilan sukarelawan Turki terbunuh dan 30 lagi aktivis cedera parah. Biar pun tentera Israel cuba membuat provokasi, namun aktivis kemanusiaan itu tidak melawan kerana mereka tiada sebarang senjata," katanya.
Beliau juga mencadangkan Dun Kelantan mendesak supaya dihentikan penaklukan Israel terhadap bumi Palestin, meminta Israel menghentikan projek pembinaan penempatan dan membebaskan Gaza daripada sekatan ekonomi.
Selain itu beliau juga mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf kerajaan Hamas di Palestin yang menang pada pilhan raya 2006 dan mencadangkan kerajaan Kelantan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza seperti dilakukan kerajaan Turki.
Dr Nik Mazian menyifatkan Gaza yang mempunyai penduduk seramai 1.4 juta orang sebagai penjara terbuka kerana kehidupan umat Islam begitu terseksa dengan sekatan ekonomi dilakukan Israel dan negara kuasa besar dunia.
Menurutnya Israel diwujudkan di bumi Palestin hasil usaha dilakukan Britain selepas menjajah negara
berkenaan pada 1917 setelah kejatuhan khalifah Othamaniah.
Kata beliau penduduk Israel biar pun kecil berbanding dengan jumlah rakyat negara-negara Arab, namun
pemerintah di teluk tiada kekuatan kerana mereka lebih pentingkan kedudukan peribadi serta mengumpul sebanyak mungkin harta.
Nor Zahidi pula mencadangkan Adun di Kelantan memberi sumbangan sebulan elaun pada Jun ini kepada tabung Palestin dan menghantar wakil rakyat bagi menyampaikan bantuan tersebut ke Gaza.
Abdul Latif Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) berkata, tiga tempat suci dalam agama Islam yang mesti
dipertahankan iaitu Mekah, Madinah dan Masjidil Aqsa.
Katanya juga ketika parlimen Malaysia begitu lantang mengutuk keganasan tentera Israel baru-baru ini, dalam masa yang sama kerajaan membenarkan kapal dari negara Yahudi itu berlabuh di Pelabuhan Klang.
"Ini menggambarkan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Israel sudah lama berlaku secara senyap. Kalau benar kita prihatin terhadap nasib penduduk di Gaza sudah tentunya kapal dari Israel tidak dibenarkan berlabuh di sini," ujarnya.
Beliau juga mendesak kerajaan menghentikan serta merta perkhidmatan APCO Worldwide yang digunakan kerajaan bagi meningkatkan sistem telekomunikasi di Bukit Aman dan memulihkan imej perdana menteri.
Mohamad Mustapha (PAS - Demit) mahu gerakan memboikot barangan keluaran Yahudi dilakukan secara
sistematik dan perlu ada badan bagi memastikan usaha itu berterusan dilakukan.
Beliau juga mahu Datuk Seri Najib Razak berlaku adil terhadap Kelantan dengan menunaikan hak-hak ke atas royalti Petroleum seperti termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum.
Dr Mohd Daud Mohamad (PAS - Tendong) ketika bangun mencelah menanyakan adakah tindakan kerajaan pusat menyekat pembayaran royalti kepada Kelantan lebih kurang sama dengan tindakan Yahudi terhadap umat Islam di Gaza.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa semasa menggulung perbahasan usul terbabit berkata, kerajaan negeri sudah mewujudkan Tabung Cakna Palestin di mana sebanyak RM1 juta telah disumbang kepada mereka.
Selain itu kerajaan negeri menaja seramai 27 pelajar dari Palestin melanjut pelajaran di peringkat sarjana dan Phd di negara ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM324,000 setahun.
"Saya juga mencadangkan wakil rakyat di negeri ini mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Palestin di Gaza dengan menyumbangkan bantuan secara bulanan kepada mereka.
"Kerajaan negeri turut menimbangkan cadangan bagi menaja sebuah kapal bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama rombongan anggota-anggota parlimen dari Eropah pada Ramadan depan," katanya.
Usul mengutuk keganasan Israel kemudian dilulus dengan sokongan sebulat suara anggota Dewan. -Hrkh