Ikuti Blog ini

Politik di sekolah

Cuti sekolah selama dua minggu telah sampai ke penghujungnya. Pelajar-pelajar serta para guru mulai kembali ke sekolah setelah puas bercuti (sama ada cuma di rumah mahupun bersama keluarga melancong dalam dan juga luar negeri) untuk tempoh tersebut.

Bermulanya musim persekolahan yang baru ini membawa pelbagai reaksi. Ada yang suka dan ada juga yang berduka. Yang suka tentulah para pelajar yang ingin bertemu dengan rakan-rakan setelah terpisah selama dua minggu.

Yang berduka pula adalah guru-guru yang mendapat surat pertukaran tempat bertugas sebaik cuti bermula. Dan lebih mendukacitakan apabila sebab ditukarkan adalah kerana pertuduhan yang dilakukan secara rambang tanpa bukti dan atas desakan dan tekanan daripada kuasa politik yang sudah hilang punca untuk melawan.


Para guru yang saya maksudkan itu adalah mereka-mereka yang 'dicop' sebagai blogger yang memihak kepada parti pembangkang (selain umno). Walaupun dinafikan blog-blog tersebut milik dan buatan mereka, tetapi oleh kerana wajah-wajah mereka terpampang di dalam blog-blog yang 'dicop' sebagai blog pembangkang, tindakan tetap diambil.

Punca utama daripada tindakan yang diambil terhadap para guru itu adalah apabila ada ahli politik (umno) yang sudah tidak berupaya untuk menangkis bukti-bukti kebejatan mereka yang dibongkar oleh blog-blog tersebut.

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang dilihat sebagai 'berpihak' kepada ahli politik tersebut digunapakai untuk ahli politik tersebut 'melawan' musuh-musuhnya dengan cara yang mereka anggap sebagai 'mulia'. Para guru tersebut dijadikan mangsa demi mengekalkan kuasa.

Tetapi mereka gagal untuk melihat disebalik tindakan yang mereka lakukan itu iaitu mangsa yang turut terlibat sama di dalam episod ini adalah para pelajar yang telah menerima didikan daripada guru tersebut selama setengah tahun ini pasti sedikit sebanyak akan terganggu pelajaran mereka yang berbaki untuk tahun ini.

Terdapat juga tindakan 'jenaka' PPD ini apabila seorang ustaz ditukarkan hanya semata kerana namanya bersamaan dengan nama seorang blogger yang dicari. Dan nama tersebut datangnya daripada blogger umno.

Tergamak PPD menganiaya seorang guru hanya kerana maklumat yang diberikan oleh blogger umno. Bijak sangatkah maklumat blogger umno tersebut ataupun PPD yang kurang cerdik kerana mempercayainya.

Benarkah sekolah adalah tempat larangan untuk berpolitik?

Jika benar, mengapa PPD Hilir Perak mengadakan jamuan makan malam bersama Umno di sekolah bulan Mei yang lalu?

Dan bagaimana pula Umno bahagian Ipoh Timor dapat mengadakan Program Juara Rakyat mereka di Sekolah Kebangsaan Kuala Pari, Ipoh pada 27 Mac yang lalu?

Sama ada PPD sengaja menutupkan mata dan memekakkan telinga mereka terhadap perkara-perkara di atas ataupun mereka turut terlibat bersama?

Yang terbaru adalah Program Mesra Rakyat anjuran Umno Gopeng yang dijalankan di Padang Sek. Keb. Pengkalan Baru di Gopeng pada hari ini, 20 Jun 2010. {gambar atas}

Mengapa PPD membiarkan sahaja Umno mempergunakan sekolah, guru-guru termasuklah pelajar-pelajar semata-mata hanya untuk membuktikan kepada pimpinan Umno bahawa Umno masih wujud di kawasan tersebut.

Bukankah sekolah-sekolah berada di bawah pentadbiran PPD dan PPD bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan sekolah-sekolah, guru serta pelajarnya bebas daripada 'gangguan' politik perkauman demi kesejahteraan perjalanan sebenar fungsi sekolah iaitu untuk membawa pendidikan kepada masyarakat sehingga ke tahap sepertimana yang disasarkan.

Buktikan guru-guru yang diambil tindakan tersebut berpolitik di sekolah sama ada waktu pembelajaran mahupun semasa menjalankan tugasan mereka. Juga buktikan kerja mereka mengalami kemerosotan akibat daripada politik mereka menerusi 'blog-blog' khayalan yang PPD palitkan kepada mereka.

Tanpa bukti yang jelas dan nyata, penganiayaan PPD terhadap para guru tersebut adalah satu jenayah yang bukan sahaja terhadap guru yang terlibat serta para pelajar mereka malah seluruh institusi pendidikan itu sendiri.

Siapa yang berpolitik sekarang?

Guru ataupun PPD sendiri?

http://ajijoi.blogspot.com/

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .