Ikuti Blog ini

GMJ pohon permit polis adakan protes 3 Julai


Penganjur perhimpunan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan memohon permit polis bagi mengadakan protes membantah lesen judi sukan pada 3 Julai di ibu negara.

Jurucakapnya, Suhaizan Kaiat berkata GMJ akan memohon permit itu Khamis ini untuk membolehkan peserta protes itu berhimpun di tiga lokasi - Masjid Negara, Masjid Jamek dan kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Beliau yang ketua penerangan pemuda PAS berkata, GMJ juga akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung isu yang sama kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak Rabu ini.

Manakala pada 3 Julai ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya lesen tersebut dimansuhkan.

"Kalau betul lesen belum dimansuhkan, kenapa kerajaan kata hendak tangguhkan (pemberian lesen). Maknanya lesen belum dimansuhkan.

"Tahun 2003, sebelum Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) meletak jawatan, dia anugerahkan semula lesen (judi sukan) kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Malangnya semasa (Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri), tidak dibenarkan beri lesen itu.

"Apabila (Datuk Seri) Najib (Razak) jadi perdana menteri, beliau hendak buat pembaharuan semula. Kerajaan hendak teruskan (pemberian lesen) tapi desakan rakyat sebabkan ia ditangguhkan.

"Jika tiada desakan yang dibuat oleh rakyat, mungkin ianya akan diluluskan. Sebab itu kita tuntut supaya lesen itu terus dimansuhkan," katanya lagi.

Suhaizan berkata, beliau mensasarkan seramai 100,000 orang akan menyertai protes kali ini, selepas protes yang sama dijalankan di seluruh Semenanjung bulan lalu.

"Dari segi pemakaian, kita minta (peserta protes) memakai baju bola," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, jawatankuasa penganjur tersebut akan bermesyuarat sekali lagi esok untuk membuat persiapan mengadakan protes tersebut.

"Jawankuasa tertinggi masih dalam perbincangan, masih belum dapat dipastikan lagi (NGO yang akan sertai)," katanya lagi. -M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .