“Pengawasan masuk ke Kompleks Kota Darulnaim yang telah dikuatkuasakan kini adalah sesuatu yang amat baik bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini,” ujar Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong).
Beliau juga meminta kerajaan negeri lebih berhati-hati pada masa akan datang dalam melakukan kerjasama dengan pihak tertentu khususnya yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Persekutuan agar pemimpin kerajaan negeri tidak ‘dimainkan’ lagi.
berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam menyokong usul rang undang-undang perbekalan tambahan pertama pada persidangan Dun, hari ini.
Zulkifli turut mengingatkan pemimpin kerajaan negeri sebagai merujuk dua insiden berlaku yang membabitkan kerajaan negeri di mana mereka telah dinafikan hak masing-masing biarpun persetujuan bersama telah dicapai.
“Kali pertama kita telah dinafikan hak untuk ‘flag off’ LTd Langkawi yang sepatutnya dilakukan oleh Menteri Besar kita, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Namun apa yang berlaku, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin pula yang melakukannya,” ujarnya lagi.
Tegasnya, kekecohan kali kedua berlaku lagi hingga rakyat menjadi keliru dengan apa yang berlaku pada majlis Fiesta Kelantan 2010.
“Untuk itu, kerajaan mesti memberi penjelasan berhubung apa yang berlaku bagaimana berlakunya perkara itu yang sebenar,” ujarnya.
Beliau turut memuji Kelantan yang kini semakin berubah sejak 20 tahun dengan memberi keutamaan pada penduduk.
Pada masa yang sama, Zulkifli turut melahirkan rasa terkilan selepas merdeka masih ada orang Islam menggalakkan judi bola.
“Salam takziah pada pemimpin tertinggi negara, menteri-menteri, seluruh pengundi yang beri amanah pada kerajaan Umno dan BN kerana meneruskan juga usaha itu.
“Walaupun negara pemimpin Islam, mereka tidak pernah sensitif pada perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam,” ujarnya.
Beliau juga mengakui tidak semua pemimpin Umno sokong kepada judi, namun lemah untuk berhadapan dengan pemimpin mereka dalam hal itu.
Katanya, rakyat yang bertanggungjawab mengangkat kerajaan BN dalam setiap pilihan raya, akan menerima natijah yang sama.
Beliau seterusnya menyeru semua masyarakat untuk menentang judi dan mencari jalan lain untuk mengumpul dana bagi menampung sumber kewangan untuk rakyat dan bukannya dengan cara itu.
“Untuk itu rakyat jangan sekali-kali memberi sokongan kepada kerajaan yang telah menghalalkan perkara yang haram seperti judi kerana kita juga akan menerima natijahnya,” ujarnya.-Hrkh