Ikuti Blog ini

JIM lancar Program Rayuan Ramadhan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Pada tahun ini, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sekali lagi melaksanakan Program Rayuan Ramadhan yang telah masuk tahun ke-12 sejak inisiatif itu dilancarkan pada tahun 1999.

Pengarah program, Tuan Yaacob Tuan Sof berkata, program itu menaja berbuka puasa dan sedekah kepada mereka yang lebih memerlukan.

[Gambar: Tuan Yaacob (tengah) bersama AJK Rayuan Ramadhan.]

“Pada tahun lepas (1430H/2009), JIM telah berjaya memperolehi sumbangan melebihi RM170,000 daripada rakyat Malaysia.

“Kami ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penyumbang yang sama-sama membantu menjayakan program ini,’ ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada rakyat di 14 buah negara iaitu Palestin, Mindanao, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Afghanistan, Bangladesh, Iraq, Rohingya, Turkestan Timur, Baluchistan dan juga di Malaysia melalui dua institusi iaitu Hidayah Centre, sebuah Pusat Sokongan Saudara Baru dan Raudhatus Sakinah iaitu Pusat Bimbingan Remaja Puteri untuk berbuka puasa bagi 35,000 orang.

Pada tahun ini, ujarnya JIM menyasarkan kutipan sumbangan RM500,000 untuk menaja 100,000 orang umat Islam yang kurang bernasib baik untuk berbuka puasa di 14 buah negara.

“Melalui testimoni yang kami terima, penerima amat-amat bersyukur dengan sumbangan yang mereka terima pada tahun-tahun yang lepas dan mengharapkan ianya akan berterusan pada tahun ini dan seterusnya.

“Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam program yang kami jalankan ini dengan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, sumbangan secara berkelompok juga boleh diusahakan melalui institusi seperti masjid dan surau, rakan-rakan sepejabat, persatuan-persatuan dan sebagainya.

Beliau juga ingin mencadangkan agar sedikit sumbangan mingguan yang diterima oleh masjid setiap hari Jumaat disalurkan kepada program itu.

Katanya lagi, sumbangan juga boleh dibuat melalui transaksi atau bank in kepada akaun “PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA” di Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun: 1211 3010 00 5797 atau di Bank Mualamat Malaysia Berhad, nombor akaun: 1403 0000 391 713.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat Program Rayuan Ramadhan 1431H JIM di talian 03-4108 9669 atau 03-4105 3159 atau sms 019-369 6650 melalui emel ramadhan-qurban@jim.org.my. atau layari www.rayuan-ramadhan.jim.org.my. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .