Ikuti Blog ini

Kes Royalti Minyak: Kelantan saman Petronas 30 Ogos



Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, kerajaan negeri dijangka memfailkan saman terhadap Petronas kerana pecah kontrak pada 30 Ogos ini di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.

“Esok writ tuntutan saman itu akan dibawa kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.

”Dan sekiranya mendapat kelulusan, saman itu akan difailkan terhadap Petronas pada 30 Ogos ini. Seorang peguam terkenal Thomy Thomas akan memfail bagi pihak kerajaan negeri,” katanya tanpa memberitahu mahkamah mana di Kuala Lumpur.

Menurutnya saman tersebut pada peringkat awal dijangka difail pada 31 Ogos dengan kira semangat kemerdekaan.

Bagaimanapun, kata beliau tarikh tersebut merupakan hari cuti, maka tarikh 30 Ogos lebih sesuai dengan semangat kemerdekaan sekarang.

Kata beliau kes saman terbabit berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan PAS Terengganu pada 2000, memandangkan ada afidavit bertulis daripada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang sanggup menjadi saksi utama.

”Biar pun kes tuntutan royalti dibawa ke mahkamah namun perundingan masih terbuka bagi menyelesaikan isu tersebut.

”Dengan mengambil semangat Ramadan sekarang adalah peluang terbaik bagi pihak terbabit untuk membayar royalti kepada Kelantan,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak kepada Petronas dan kerajaan pusat berdasar kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 setelah carigali minyak dilakukan di kawasan perairannya.

Ditanya surat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, katanya Datuk Seri Najib Razak mungkin sibuk untuk menjawab surat penjelasan mengenai royalti petroleum. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .