GAZA, 25 Ogos: Lazimnya pemimpin atau ketua sesebuah negara mengundang tetamu berkunjung ke kediaman mereka untuk majlis-majlis keraian dan berbuka puasa.
Jarang kita dengar pemimpin sesebuah negara yang sudi menziarahi rakyatnya yang miskin, apalagi duduk bersama berbuka puasa dengan mereka dalam keadaan serba kekurangan.
Apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Palestin, Ustaz Ismail Haniyah telah mempamerkan satu contoh keprihatinan dan kepedulian pemimpin terhadap rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat sedang diliputi berbagai kepayahan hidup.
Pada Jumaat, 20 Ogos lalu, Ustaz Ismail berkunjung ke rumah sebuah keluarga di Gaza untuk berbuka puasa dengan juadah yang disediakan oleh keluarga tersebut, lapor laman web Haluan Palestin.
Rumah mereka sangat sederhana, hanya terdapat satu ruangan kurang daripada 20 meter persegi, tanpa tingkap dan tanpa lubang ventilasi. Rumah itu dihuni 8 orang ahli keluarga iaitu ibu bapa dan enam orang anak mereka. Bayangkan betapa sesak dan sempitnya rumah itu.
Melihat keadaan yang menyedihkan itu, Haniyah mengarahkan pegawainya supaya memberikan bantuan makanan untuk keluarga tersebut, dan menghadiahkan sebuah kipas angin supaya rumah mereka lebih ‘selesa’ daripada keadaan sebelumnya.
Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza hingga kini masih hidup dalam keadaan yang menyedihkan akibat tindakan zalim embargo Zionis Israel yang telah berterusan sejak 4 tahun yang lalu.
Mereka kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan, dan harus bergantung kepada bantuan kemanusiaan daripada luar, termasuklah keperluan makanan dan air bersih. -Hrkh