Exco Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kejahilan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mengenai penggunaan dinar dan dirham dan menyifatkan kedangkalan ilmu beliau selari dengan pengurusan pincang pengurusan ekonomi negara di bawah Umno-Barisan Nasional
Dalam responsnya kepada langkah kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dinar emas dan dirham perak, Dr Awang berkata tindakan tersebuthanya akan mengundang aktiviti pemalsuan serta mempertikaikan keberkesanan penggunaan dinar dan dirham dalam aktiviti perniagaan.
"Kalau Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu bagaimana urus tadbir emas dan juga perak bagi saya itu satu tanda yang serius bakal dihadapi oleh negara ini dalam soal ekonomi pada masa yang akan datang. Persoalan yang sukar kenapa bila soal dinar dan dirham yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun tidak diiktiraf olehnya tetapi bila soal judi senang pula beliau ingin memberi kelulusan lesen untuk dijadikan halal.
"Walaupun ada pihak tertentu yang mempertikaikan penggunaan dinar serta dirham ini akan menjadi penyebab kepada pemalsuan dengan alasan emas serta perak boleh dicampur dengan bahan-bahan yang lain, bagi saya itu bukan persoalan besar untuk kita tidak meneruskan penggunaannya. Mana-mana mata wang pun ada juga yang memalsukannya seperti juga wang kertas Ringgit Malaysia kita gunakan ini wujud juga yang palsu tetapi kita mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti yang mana betul ataupun palsu.
"Seperti penggunaan dinar serta dirham, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menyediakan satu alat untuk mengenalpasti dinar serta dirham yang palsu ataupun tidak, kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kesemuanya," jelas Husam.
Tambah beliau, dinar dan dirham mempunyai nilainya yang tersendiri di mana nilainya tidak akan berkurang seperti yang berlaku kepada mata wang didunia.
"Kuasa nilai dinar dan dirham ini melebihi nilai wang kertas yang ada, kalau kita menyimpan wang kertas dan dinar dalam jangka masa yang panjang umpama sepuluh tahun kita akan mendapati nilai dinar akan bertambah daripada nilai asal yang kita beli dulu sedangkan simpanan kita melalui wang kertas hanya bertambah sedikit dan mungkin berkurangan.
"Nilai dinar dan dirham ini meningkat mengikut masa, aset yang berharga tidak akan ada penurunan harga malah cetakan wang kertas Malaysia juga mengikut simpanan emas kita yang ada.
"Kerajaan Kelantan yakin dengan apa yang dilakukan ini boleh memberi faedah kepada Malaysia khususnya di Kelantan, kita akan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat agar mereka tahu menggunakan dinar ini dengan cara yang berkesan. Nilai emas bukannya ditentukan oleh kerajaan yang memerintah, kerajaan tidak boleh sesuka hati ingin menurunkan harga emas," tegas beliau lagi.
Husam berkata beliau berpuas hati sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan.
Malah kata Husam, masyarakat bukan Islam juga menunjukkan minat untuk membeli dan berurus niaga dengan menggunakan dinar dan dirham.
Selain itu Husam menyatakan Pasar Khadijah di Kota Bharu menjadi sebuah pasar yang moden kerana terdapat urus niaga dalam dua mata wang.
Bagi memudahkan peniaga dan pembeli, kerajaan negeri telah menyediakan kaunter khas bagi mereka yang ingin membuat pertukaran dinar dan dirham.- sk