Ikuti Blog ini
Hudud: Jangan bercakap kalau tak faham ,Khamis, September 02, 2010 at 2.9.10,
KOTA BHARU : Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat (gambar) menasihati pemimpin parti politik lebih baik tidak bercakap pasal hudud sekiranya tidak betul-betul memahami konteks hukum berkenaan sebagaimana tuntutan agama.
Beliau berkata, definisi hudud adalah luas bukan sahaja meliputi bab jenayah, sebaliknya termasuklah dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai.
“Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan.
“Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah,” katanya sewaktu dihubungi hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.
Ini kerana parti-parti dalam Pakatan itu, termasuk PAS terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.
Mengulas lanjut Zainuddin menyifatkan Zulkifli sebagai individu yang telah hilang integriti sekali gus tidak layak untuk mempersoalkan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP dalam usaha pelaksanaan hukum hudud.
Menjawab soalan PAS tetap melaksanakan undang-undang hudud sekiranya Pakatan berjaya menerajui kepimpinan negara meskipun mendapat halangan sekutunya iaitu PKR terutama DAP beliau berkata, prinsip PAS jelas dengan konsep Islam sejak mula penubuhannya lagi.
“Kalau orang kata berfahaman sempit tentang hudud, marah. Tapi dari konsep luaran sendiri pun sudah tidak tahu. Rasulullah mendukung undang-undang hudud dulu bukan di tengah-tengah orang Arab semua, bukan beragama Islam semua. Tapi antara kafir dan Islam, namun tiada sejarah mengatakan kesukaran Rasulullah menghadapi situasi itu.
“Hudud ialah hak-hak Allah, jadi sembahyang juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hudud. Apa pelik sangat pasal hudud?” soalnya.
Beliau berkata, persoalan sama ada PAS mampu laksanakan hudud atau sebaliknya selagi bersama pakatan tidak menjadi agenda utama perlu dibincangkan buat masa kini.
“Jika ada sebarang pertikaian mengenai hudud dalam apa jua bentuk sekalipun yang melibatkan PAS, PKR dan DAP itu hanya suara-suara politik bagi mengelirukan kefahaman rakyat di samping untuk memecahkan hubungan baik Pakatan,” katanya.