Ikuti Blog ini
Pembangkang sepakat teruskan hubungan baik Malaysia-Indonesia ,Khamis, September 02, 2010 at 2.9.10,
Ahli Parlimen pembangkang Indonesia menolak sebarang demontrasi yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan di negara itu seperti yang dilakukan oleh penyokong Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Demikian menurut anggota parlimen Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Rieke Dyah Pitaloka yang menyifatkan ia bentuk ekspresi kekecewaan ditonjolkan kumpulan terbabit, rentetan isu ketidakadilan berlaku ke atas warganegara mereka.
Beliau menggesa isu hak asasi manusia melibatkan pendatang republik itu di Malaysia diberi fokus utama bagi kedua-dua negara.
Rieke berpendapat isu tersebut perlu dilihat daripada aspek yang lebih meluas memandangkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia sedia terjalin dengan baik sebelum ini.
"Saya tidak setuju tentang demontrasi ini. Saya menolak kekerasan dalam bentuk apa pun. Namun saya lihat perkara ini terjadi kerana sesetengah pihak kecewa dengan ketidakadilan yang berlaku ke atas warganegara Indonesia di Malaysia.
"Sebagai contoh hukuman yang dikenakan kerana ada kes di Malaysia majikan yang mendera pekerja sehingga mati tetapi majikan tersebut dibebaskan. Malah jika dilihat daripada aspek yang lebih luas, jika berlaku pelanggaran undang-undang ini ia harus diperbaiki.
"Jadi jika bercakap dalam soal hak asasi kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia perlu bersikap tegas dan adil," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perbincangan dua hala bersama ahli Parlimen PAS di bangunan parlimen di sini hari ini.
Wakil PAS dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Di pihak Indonesia, selain Rieke, hadir sama ialah wakil Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) iaitu Migrant Care, Kontras dan Infit.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Bendera yang baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.
Dalam pada itu, beliau menafikan desas-desus yang mengatakan pihaknya mendalangi sekumpulan wanita dalam demontrasi tersebut.
"Kenyataan tentang kami mengumpul wanita indonesia itu satu kenyataan autokritik. Saya melihat perkara itu kerana kekerasan yang kerap terjadi ke atas warganegara kami, majoritinya adalah wanita dan saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku. Ia juga terjadi ekoran pihak pemerintah kami tidak tegas dan tidak bijak menangani isu ini.
"Malah saya tidak setuju demontrasi tetapi menekankan perlindungan bagi warganegara kami di Malaysia," katanya.
Hubungan dua hala kekal baik
Sementara itu, Nasharudin berkata pihaknya menghargai usaha baik dilakukan ahli parlimen Indonesia itu yang dilihat sebagai memperbaiki hubungan dua hala kedua-dua negara.
Dengan pelbagai insiden yang tecetus kebelakangan ini katanya, perbincangan ini dapat menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia.
"Segala yang pemimpin lakukan baik cuma kita mahu menuju ke satu tahap untuk memperbaiki dan menjernihkan hubungan dua negara ini memalui usaha-usaha ahli Parlimen.
"Selain itu, kita juga bersetuju supaya perlu pastikan wujudnya keadilan dalam proses perundangan," katanya.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata isu berkaitan pelanggaran undang-undang perlu dititikberatkan dan dihormati.
"Dalam isu berkaitan hak asasi manusia PAS konsisten dalam membela dan memberi pandangan.
"Kita juga konsisten dalam membawa isu rakyat Indonesi dan rakyat negara lain yang berhadapan dengan undang-undang negara ini.
"Ini kerana undang-undang perlu dihormati tetapi sesiapa yang melakukan pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan," katanya. -FMT