Ikuti Blog ini

SEKOLAH HAMIL MENJADI KENYATAAN



Ura-ura Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam untuk mewujudkan sekolah khas bagi pelajar-pelajar wanita yang mengandung di luar nikah akhirnya menjadi kenyataan. Beberapa orang pelajar hamil telah mendaftar sejak dibuka Jumaat lalu, dan akhbar melaporkan ramai lagi ibu bapa berminat untuk menghantar anak mereka. Sebelum ini pro dan kontra mengenai pendapat mewujudkan sekolah ini agak panjang termasuk beberapa orang ulama PAS.

2. Wajar atau tidak sekolah ini diwujudkan, ia telah pun menjadi kenyataan. Hasrat KM Melaka itu baik, iaitu untuk membantu pelajar-pelajar hamil luar nikah, sekaligus mengurangkan gejala pembuangan dan pembunuhan bayi yang tidak berdosa itu.

3. Islam memandang berat kes hamil luar nikah ini, dan pelakunya boleh dikenakan hukuman hudud. Di zaman Rasulallah, ada seorang mengaku berzina sehingga melahirkan seorang bayi. Perempuan berkenaan meminta Nabi menjatuhkan hukuman had. Namun Nabi SAW menasihatkan agar perempuan itu membesarkan dahulu anaknya itu. Akhirnya setelah beberapa kali ia meminta Nabi SAW menjatuhkan hukuman had, dan anaknya pun sudah selesai menyusu, akhirnya Nabi SAW bersetuju menjalankan hukuman had ke atas wanita itu. Beliau menjalani hukuman rejam hingga mati, kerana tidak rela menanggung azab di akhirat nanti. Kes ini tercatat dalam sejarah Islam yang unggul dengan keadilan itu.

4. Namun tindakan Ali Rustam mewujudkan Sekolah Hamil dan membela pelaku-pelaku zina serta melindunginya amat bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulallah SAW dalam menangani kes ini. Rasulallah SAW menjalankan hukuman dengan tujuan untuk mendidik masyarakat agar tidak melakukan perbuatan sumbang itu. Sementara itu Ali Rustam mendidik masyarakat agar meneruskan kerja-kerja maksiat tersebut, dan mereka dilindungi oleh undang-undang. Apakah tindakan Ali Rustam itu jauh lebih baik dari tindakan Rasulallah SAW dalam menangani kes yang sama?

5. Sesungguhnya tindakan Ali Rustam adalah bertentangan 100% dengan Kanun Jenayah Syariah Islam dan akan menggalakkan lagi kehamilan di luar nikah yang sememangnya sedang membarah dalam masyarakat kita kini. Ali Rustam boleh memperbaikki niat baiknya itu dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas pelajar yang hamil di luar nikah selepas anak mereka besar, lepas dari waktu menyusu, dan ada orang lain yang sanggup membesarkan kana-kanak berkenaan, atau pun Jabatan Kebajikan boleh mengambil tindakan tertentu demi meneruskan kelangsungan hidup kanak-kanak yang lahir dari nafsu yang tidak terkawal itu, serta keadaan sekeliling serta suasananya yang menggalakkan kehamilan luar nikah. Pencegahan adalah lebih baik dari menguruskan kehamilan yang sudah berlaku dan tidak dikehendaki itu. Apa yang Ali Rustam lakukan jauh dan amat berbeza dengan apa yang Nabi SAW laksanakan. Apakah Ali Rustam jauh lebih baik dari Nabi SAW dalam menangani gejala sosial seperti ini?

AlKundangi,
20.9.2010

Sekolah Hamil Mula Ambil Pelajar..

Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan
pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini
yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencetuskan idea
penubuhan sekolah tersebut berkata remaja berkenaan yang berusia antara
16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/lima-remaja-hamil-akan-daftar-masuk-sekolah-harapan-esok/
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .