Ikuti Blog ini

Terhebat! Penagih Dadah Terengganu Meningkat 1,366.67 Peratus

Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu, Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

"Kita dapati daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah lain juga turut meningkat," katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus keturunan Melayu manakala 78.53 peratus golongan belia berumur antara 19 dan 39 tahun.

Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine.

"Sebanyak 42.02 peratus daripada mereka mengaku mula terjebak dengan dadah disebabkan oleh pengaruh rakan," katanya.

Beliau berkata, sehingga bulan lalu, bilangan kes pemulihan dalam komuniti di Terengganu yang direkodkan seramai 3,266 orang.

Mereka terdiri bekas penagih yang menjalani pemulihan di institusi (266 orang), dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (461 orang), dibebaskan dari penjara (2,477 orang) dan juga kes sukarela (108 orang) manakala dari jumlah berkenaan 97.89 peratus adalah lelaki.

Wan Addenan menasihatkan ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang serius kepada anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala dadah.

Sementara itu beliau berkata, AADK negeri Terengganu akan membuka sebuah lagi Pusat Khidmat AADK di Besut bulan depan sebagai pusat rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah.

Katanya sebelum ini AADK membuka pusat itu di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu pada tahun lalu bagi membantu merawat dan memulihkan penagih daripada ketagihan dadah secara percuma.- Bernama


Terengganu - Darul Runtuh kini Darul Dadah!

Kementerian Dalam negeri yang menaungi ADK dan juga Pemadam yang terlibat dalam pencegahan dadah di Malaysia meletakkan sasaran 2011 sebagai tahun sifar dadah. Ini bererti tahun hadapan merupakan tahun tiada dadah. Tiada lagi penagih dan pengedar dadah. Jadilah negeri Terengganu aman damai, sejahtera bersesuaian mottonya negeri Cantik Budaya Menarik. Tetapi kini ianya indah khabar dari rupa. Pemimpin gagal dalam membendung permasalahan utama rakyat dinegeri Terengganu apabila Terengganu sudah menjadi Darul Dadah. Ingatkan Kelantan sebagai negeri sempadan yang berjiran dengan Thailand tetapi Terengganu berjaya merampas tempat pertama sebagai negeri paling ramai penagih. Apa yang Datuk Mat Said serta UMNO-BN negeri buat?

Apa yang UMNO-BN buat untuk membendung permasalahan dadah ini? Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 20 tahun berlalu, gejala ini gagal dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) Daripada tahun 1988 hingga 2002 adalah seramai 235,495 orang, termasuk kira-kira 50,000 orang penagih tegar.
Badan-badan bukan kerajaan (N.G.O.) pula menganggarkan terdapat kira-kira 350,000 orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di dalam negara. Angka ini dikatakan bertambah sebanyak 1,300 penagih dadah setiap bulan. Bukannya semakin kurang. Kos pemulihan pula melibatkan RM 3,000 setahun bagi setiap penagih yang menggunakan duit pembayar cukai, duit kita semua. Itu belum dikira pembahagian methadone, jarum suntikan, pusat-pusat serenti dan sebagainya.

Itu belum diambil kira penagih tahun 2005-2010. Sudah tentu makin meningkat. Dan kebiasaannya seorang penagih dadah yang dikesan sebenarnya hampir 5 orang lagi penagih yang berkeliaran. Ini bermakna Malaysia mempunyai 2juta penagih dadah terkini.

Kini tahun 2010, Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

"Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. "Angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam,
Katanya, rekod tangkapan pelbagai kesalahan dadah di negeri ini bagi tahun ini dari Januari hingga semalam ialah 3,791 orang, meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Malah, katanya jumlah tangkapan pengedar dan pembekal dadah pada tahun ini juga meningkat 11 peratus dengan 97 tangkapan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata analisis dan kajian yang dijalankan oleh polis mendapati, kebanyakan penagih dadah di negeri ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka merupakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan walaupun pelbagai program pemulihan telah dilakukan.

"Mereka kini menjadikan kawasan di luar bandar terutama di kawasan Felda sebagai pusat baru... termasuk di kawasan segitiga emas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu."

Apa nak jadi dengan Terengganu. Sudahlah stadium dan bangunan runtuh bahkan kini anak-anak warga Terengganu pula runtuh jati dirinya. Jom selamatkanlah Terengganu. Hanya apabila Islam berdaulat, nescaya Terengganu akan selamat.
-ustsaifulbahri
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .