KUALA LUMPUR, 12 Okt: PAS menyeru rakyat Malaysia jangan terima rayuan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat memberi mandat kepada umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyeru rakyat menggemblengkan tenaga untuk menolak kerajaan Umno BN.
“Ini kerana sudah cukuplah setengah abad, kehidupan rakyat semakin tenat dengan tekanan hidup yang memuncak,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Najib mengajak rakyat berkongsi impiannya untuk menjadikan Malaysia negara kelas pertama bertaraf dunia pada abad ke-21.
Kata Najib, kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.
Bagi Idris, indeks pengguna semakin menekan rakyat terutama yang berpendapatan rendah yang tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan Umno BN jujur dan amanah dalam mentadbir negara.
Menurutnya, pemimpin Umno BN pada hari ini merasa tidak berdosa dengan pengkhianatan amanah yang diberikan kepada mereka.
Sepatutnya, kata beliau pemimpin Umno BN merasa malu kenapa negara jiran seperti Singapura walaupun tidak mempunyai khazanah alam tetapi mampu memacu ekonomi setaraf dengan negara maju.
Rakyat perlu bangkit menolak BN untuk membentuk kuasa politik baru dengan meninggalkan kerajaan yang ada pada hari ini. -Hrkh