Wakil rakyat yang dikatakan "tidak sebulu" dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, mengambil sikap berdiam diri menjelang konvensyen Umno negeri Jumaat ini bagi memulihkan 'kemelut' dalam parti dan pentadbiran negeri.
"Lebih baik saya mengambil sikap berdiam diri. Saya tidak mahu Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) kata, saya sengaja mencipta cerita. Kita tengoklah apa yang akan dilontarkan daripada perwakilan (peserta) yang dilantik," kata ADUN Alur Limbat Alias Abdullah.
"Bagi orang yang bercakap tidak jujur, mungkin dia kata semuanya baik. Bagi orang yang bercakap jujur, ia (konvensyen) ini sebagai satu refleksi, cerminan diri dengan melihat apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk sebagai usaha bagi menarik hati rakyat bahawa tiada parti yang baik selain BN," tambahnya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Alias adalah antara wakil rakyat BN Terengganu yang dilaporkan tidak sebulu dengan Ahmad Said.
Alias mengulas kenyataan setiausaha Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang dilapor berkata konvensyen itu diadakan antara lain bertujuan untuk "berkongsi dan mencadangkan idea baru bagi memperbaiki segala kelemahan yang mungkin ada dalam parti dan juga sistem pentadbiran kerajaan negeri".
Konvensyen dua hari itu akan disertai pemimpin parti semua peringkat, ilmuan agama, cendekiawan, golongan profesional, penjawat awam, pemimpin NGO, aktivis masyarakat dan generasi belia.
Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga pengerusi Umno Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.
Alias yang juga timbalan ketua Umno bahagian Marang berkata, semua lapan bahagian di negeri itu akan menghandiri konvensyen tersebut.
Bahagiannya dan tiga bahagian lain - Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu - diberi masa untuk membentangkan idea dan cadangan mengenai tajuk "Keberkesanan Strategi Pembangunan Negeri Terengganu".
"Bahagian-bahagian yang lain, iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu, saya tidak tahu apa tajuknya... Terdapat juga slot untuk sayap-sayap parti, Mubarak, Veteran Umno, agensi kerajaan, GLC dan NGO," katanya.
Alias berkata beliau telah menerima jemputan ke konvensyen tersebut dan akan menghadirinya.
"Saya juga terpaksa membatalkan satu program di kawasan saya," katanya sambil menambah konvensyen itu diadakan secara tertutup.
Sementara ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh berkata konvensyen itu merupakan satu mesej daripada Hishammuddin untuk "mengalihkan fokus" daripada memikirkan tentang kemelut di negeri itu.
Katanya, konvensyen ini adalah untuk melihat agenda yang lebih besar iaitu bagi memenangi pilihan raya umum yang akan datang.
"Sebagai orang parti, kita perlu menjalankan tugas seperti biasa. Yang penting tidak ada sabotaj (sesama ahli)," katanya sambil mengesahkan akan menghadiri konvensyen itu.
Menurutnya, konvensyen itu diadakan susulan kunjungan Hishammuddin dalam majlis hari raya baru-baru ini dan pertemuan susulan dengan wakil-wakil bahagian selepas majlis tersebut.
Selain itu, Abdul Halim juga tidak menolak kemungkinan konvensyen ini diadakan kerana pilihan raya umum semakin hampir dan ia sebagai usaha mengingatkan bahagian supaya fokus dan bersiap sedia untuk menghadapinya.