Rimas warga asing ramai
Gambar: MACAM-MACAM RAGAM...kehadiran warga asing di Taman KLCC menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
KUALA LUMPUR: Seperti biasa, setiap kali cuti umum, tempat tumpuan di ibu kota antaranya Taman KLCC dipenuhi ratusan warga asing yang berkumpul beramai-ramai dan melepak di kawasan berkenaan hingga menimbulkan keadaan kurang selesa kepada pelancong asing dan warga tempatan.
Ada antara mereka yang bukan saja berehat, malah melanggar peraturan dengan menceroboh masuk ke dalam kolam air pancut di hadapan Suria KLCC hingga mencacatkan pemandangan di kawasan berkenaan.
Malah, tidak kurang juga yang bersikap keterlaluan apabila tanpa segan silu bercumbu di khalayak ramai.
Suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 34, berkata dia bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga berikutan kehadiran terlalu ramai warga asing di taman berkenaan.
“Ini kali pertama saya dan suami datang ke sini kerana tidak dapat pulang ke kampung sempena Aidiladha, tetapi saya terkejut dengan kehadiran warga asing yang terlalu ramai sehingga saya rasa seolah-olah tidak berada di Malaysia,” katanya.
Emelan Nordin, 25, dari Sabah berkata, walaupun dia sudah biasa dengan keadaan berkenaan, namun berharap pihak bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.
“Walaupun mereka tidak mengganggu atau membuat kacau, namun pemantauan rapi perlu dilakukan kerana bukan hanya kami warga tempatan, malah saya yakin pelancong juga tidak selesa dengan sikap mereka.
“Tidak hanya melanggar peraturan yang ditetapkan di taman ini, ada juga antaranya tidak langsung menjaga kebersihan dengan membuang sampah dan meludah di merata tempat,” katanya.
Bagi warga Indonesia, Hilhamjayadi, 36, cuti umum yang diperoleh digunakan sepenuhnya untuk bertemu rakan dan saudara-mara yang tidak dapat pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman dan berkongsi pengalaman bekerja di Malaysia.
“Inilah masanya untuk kami bertemu, berkumpul sebegini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerinduan terhadap keluarga di kampung. “Mungkin sikap tindakan kami berkumpul dipandang serong sesetengah pihak, namun sebenarnya tiada apa yang kami lakukan, hanya berkongsi cerita,” katanya.
Tinjauan mendapati kebanyakan warga tempatan mengunjungi kolam kanak-kanak dengan membawa anak-anak mereka di bawah 12 tahun untuk bermain di sana lebih-lebih lagi sempena cuti sekolah sekarang. -hm