Ikuti Blog ini

USUL TERGEMPAR YB HAJI SALAHUDDIN HAJI AYUB

18 November 2010


YB. Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Haji Mulia
Yang DiPertua,
Dewan Rakyat Parlimen Malaysia,
50680 Kuala Lumpur.


YB. Tan Sri,

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)

Assamualaikum Wr.Th

Adalah saya Haji Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) dengan ini memohon supaya mesyuarat ini di tangguhkan untuk merundingkan perkara yang pada hemat dan pandangan saya adalah tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai iaitu isu yang berkaitan dengan tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha yang berbeza dua hari daripada tarikh dan masa wukuf yang diistiharkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Tuan Yang DiPertua,

Tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun ini yang diistiharkan jatuh pada hari Rabu, 17 November 2010 adalah sangat pelik dan menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam khususnya di Negara ini. Perbezaan dua hari sambutan Aidil Adha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November 2010 adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam di antara Malaysia dan Arab Saudi. Juga adalah dimaklumkan kesan kekeliruan tarikh ini juga mengakibatkan juga bilakan pula berakhirnya hari Tashrik yang melibatkan masa yang diizinkan menyembelih ibadah qurban.

Isunya disini ialah bagaimanakah pihak pengurusan Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri menggarap dan mengurus tadbir isu ini? Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengishtiharan tentang tarikh hari Raya Aidil Adha dibuat? Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?

Saya berpandangan dalam era kecanggihan peralatan komunikasi dewasa ini tidak ada alasan untuk kita menyelesaikan isu yang sangat mengelirukan, meresahkan dan membingungkan seperti ini. Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggung jawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Saya mohon mencadang,
SALAHUDDIN HAJI AYUB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .