Polis disaran ambil kursus komunikasi
KUALA LUMPUR - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran mengambil kursus berkaitan kemahiran berkomunikasi termasuk pelbagai bahasa sebagai langkah menyerapkan rasa 'mesra' dan 'melindungi' terutama ketika berhadapan dengan orang awam.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, latihan itu penting bagi mengelakkan berlaku salah faham antara polis dan masyarakat serta tuduhan kononnya polis tidak mesra masyarakat.
"Mereka (polis) harus dilatih dengan latihan ataupun kursus yang berkaitan dengan komunikasi agar ketika berhadapan dengan masyarakat, hubungan itu menjadi semakin erat dan orang ramai sendiri tidak akan takut untuk membuat laporan polis atau menyalurkan sebarang maklumat.
"Dengan latihan sebegitu, jika ada pengadu yang membuat laporan polis, anggota yang bertugas tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan pengadu secara profesional dan mesra tanpa menyinggung perasaannya sekaligus tiada tuduhan sembarangan dari masyarakat," katanya.
Beliau berkata, anggota polis juga disaran mengamalkan 4P -- People Oriented (berorientasikan masyarakat), Protective (melindungi),Performance (pencapaian) dan Proactive (proaktif) bagi meningkatkan profesionalisme pasukan itu dan sebagai landasan mengurangkan kadar jenayah. - Bernama