Ikuti Blog ini

Anak sedia berdepan Umno di Tenang

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sudah bersedia menghadapi taktik Umno BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang khususnya di kawasan gugusan Felda.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya yakin Umno BN akan mempengaruhi peneroka Felda agar menolak perjuangan Pakatan Rakyat yang sedang membela nasib mereka.

"Tapi saya yakin pengundi muda tak sama dengan pengundi terdahulu. Sekiranya mereka kekal dengan cara lama dengan menipu dan menggunakan propaganda mereka untuk memperdayakan generasi muda, mereka tak akan berjaya.

"Jentera pilihan raya kita bersedia menghadapi corak kempen mereka," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Masih tunggu jawapan debat

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS turut menegaskan, Anak masih menanti untuk bersemuka dengan Ahmad Maslan dalam debat terbuka bagi membincangkan isu Felda.

"Bila dia baru-baru ini keluarkan kenyataan pihak yang tuduh Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa, saya telah mengulangi cabaran saya untuk berdebat.

"Saya kata tidak selesai kita terus menuduh dalam keadaan kita dituduh dan tidak boleh membela diri.

"Saya sentiasa bersedia kalau Ahmad Maslan menjadikan medan pilihan raya kecil sebagai medan intelektual untuk mencari satu titik formula tentang isu yang berlaku di tanah rancangan felda.

"Saya tak menjadi masalah tapi yang menjadi masalah ialah mereka hanya pandai tembak kita dari luar tapi sampai masanya bila kita ajak mereka berdebat mereka tak mahu," katanya.

Tiga Felda terletak di Dun Tenang iaitu Felda Cempelak, Felda Cempelak Barat and Felda Tenang.

Tiga kawasan Felda ini mempunyai 4,000 pengundi daripada 14,511 yang berdaftar. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .