Ikuti Blog ini

Bas Bawa Lebih Penumpang, Kerajaan Digesa Kaji Bas 2 Tingkat Lalui Kawasan Tanah Tinggi

Permit 19 bawa 35

KAKITANGAN MIROS dan Puspakom memeriksa bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.

ALOR SETAR: Bas persiaran dua tingkat yang terbabit dalam nahas mengorbankan 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Ipoh, kelmarin, dipercayai membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan, Berita Harian dipetik.

Menurut sumber, dalam permohonan permit dengan Kementerian Pelancongan, tahun lalu, bas berkenaan didaftarkan mempunyai kapasiti 19 tempat duduk, tetapi ketika nahas jam 11.40 pagi itu kenderaan terbabit membawa 35 penumpang.

Maklumat pada badan bas pula mencatat kenderaan itu mempunyai kapasiti 31 penumpang.

Sementara itu Kerajaan diminta mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada bas dua tingkat untuk membawa pelancong ke tempat peranginan di kawasan tanah tinggi dan berbukit-bukau, lapor Bernama.

Anggota Dewan Negara Senator Boon Som Inong yang mewakili minoriti masyarakat Siam di negara ini berkata, kajian dan tindakan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengelak tragedi seperti kemalangan maut yang meragut 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai Isnin, daripada berulang.

"Saya bimbang bas yang tinggi seperti ini mungkin tidak stabil apabila melalui kawasan tanah tinggi, dan ini boleh membahayakan keselamatan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Thanvarat Poolsaeng, 36, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam nahas terburuk negara itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Selasa.

Thanvarat kehilangan suami dan anaknya dalam kemalangan pada 11.40 pagi yang mengorbankan dua rakyat Malaysia dan 25 pelancong warga Thailand.

Boon turut menggesa kerajaan mengkaji kawasan di mana kemalangan maut kerap berlaku seperti jalan ke Cameron Highlands dan Genting Highlands, selain mengambil tindakan sewajarnya agar industri pelancongan negara tidak terjejas.

"Kemalangan maut di jalan raya sudah terlalu kerap berlaku. Di jalan ke Cameron Highlands sahaja sudah dua kali. Saya minta pihak berkenaan pantau keadaan jalan kerana kemalangan bukan hanya sebabkan kematian, tetapi boleh menyebabkan kita hilang pelancong ke Malaysia," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .