Ikuti Blog ini

Azan berkumandang selepas konsert Wali Band

KOTA BHARU, 3 Jan: Satu kelainan di Kelantan apabila azan berkumandang apabila jam 12 malam berdetik selepas ribuan rakyat negeri itu menonton konsert Wali Band di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V sempena sambutan tahun baru 2011.

Turut menyaksikan persembahan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob yang mewakili kerajaan negeri hadir pada majlis berkenaan.

Program anjuran Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Sekretariat Misi Cakna Palestin dan kerajaan Kelantan itu diadakan untuk mengisi Tabung Amanah Cakna Palestin.

Tiket-tiket yang dijual kepada orang ramai RM100, RM40, RM20 dan RM7 untuk kanak-kanak akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin.

Sebanyak 15 buah lagi telah didendangkan oleh kumpulan semua lelaki itu melalui vokalisnya Faank yang bermula dengan lagu Kekasih Halal dan berakhir dengan lagu ‘berhantunya’ Cari Jodoh.

Keadaan cuaca yang begitu mengizinkan walaupun kadang-kadang hujan renyai selama lima minit, tidak mematah semangat orang ramai untuk mengikuti konsert itu hingga berakhir.

Turut dipersembahkan persembahan tarian oleh pemuda dari Palestin, nyanyian dari Megat Hiqal iaitu anak pendikir tersohor Kelantan Megat Nordin, Kumpulan Ar-Rasy dan peserta mentor Shaq yang juga anak jati Kelantan.

Sebaik sahaja melangkah ke tahun baru, azan berkumandang di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V

Kelantan tidak tolak artis

Sementara itu, Kerajaan Kelantan tidak pernah menolak mana-mana artis sama ada secara individu atau melalui band untuk melakukan persembahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, berkata bagaimanapun mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan khususnya dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Menurutnya, sekiranya artis atau band berkenaan termasuk penganjurnya memenuhi syarat yang telah ditetapkan, mereka layak membuat persembahan di Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Negeri, Anuar Safian yang mendakwa konsert Wali Band, berunsur politik serta mengutamakan orang luar berbanding artis tempatan.


“Jadi tidak timbul soal orang luar atau orang dalam, kita memberi kerjasama kepada semua pihak yang ingin membuat persembahan di negeri ini.

“Kalau pemimpin Umno sendiri ingin menganjurkannya pun kita bersedia mempertimbangkannya sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Enakmen hiburan

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan, mengingatkan Pemuda Umno khususnya ketuanya sendiri memahami Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan negative berhubung kerajaan Kelantan.

(Gambar: Wali Band menyerahkan cek untuk Palestin)

Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ahmad Fadzli Shaari, pada kenyataan medianya berkata, Ketua Pemuda Umno Anuar Safian sendiri khususnya seharusnya memahami intipati yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan itu sebelum membuat sebarang spekulasi berhubung kehadiran Kumpulan Wali Band ke Kelantan.

Katanya, ‘orang luar’ yang dimaksudkan oleh pemimpin pemuda Umno itu kononnya diutamakan berbanding dengan kumpulan tempatan sebenarnya tidak pernah wujud.

“Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama kepada semua pihak sekiranya mereka menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, tidak timbul soal orang luar atau tempatan.

“Alasan yang remeh seperti ini sepatutnya tidak keluar dari seorang ketua, tapi mungkin juga Pemuda Umno Kelantan ingin menyindir kerajaan BN yang mengambil syarikat perunding APCO Wordwide menjadi penasihat dengan bayaran RM77 juta setahun dan bukannya perunding tempatan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian, sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar harian semalam.

Semalam Anuar mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band diadakan di Kelantan sempena sambutan tahun baru 2011 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu.

Adam Lembut

Fadhli seterusnya berkata setiap persembahan hiburan di Kelantan perlu mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Sambungnya, ia sebagai pendirian kerajaan Kelantan sejak memperkenalkan Dasar Membangun Bersama Islam dan tidak timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda seperti yang dinyatakan oleh Anuar.

Di dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan.

Katanya, persembahan konsert Wali Band langsung tidak melanggar Enakmen tersebut.

“Manakala penganjur konsert tersebut, Anjung Tulus Corporation Sdn. Bhd. telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung.

“Inilah juga peraturan yang dikenakan terhadap semua penganjur aktiviti hiburan di Kelantan termasuklah Jom Heboh yang dianjurkan oleh Stesyen TV Portal TV3 pertengahan tahun lepas.

Sehubungan itu, Fadhli meminta Pemuda Umno Kelantan lebih prihatin terhadap langkah pemimpin mereka membenarkan penganjuran konsert yang terang-terang melanggar syariat seperti persembahan artis gay yang penuh kontroversi, Adam Lambert.

Katanya, sepatutnya Pemuda Umno Kelantan menentang keras konsert Adam di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Oktober 2010 lalu. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .