Beliau berkata, segalanya bergantung kepada strategi yang diatur parti kerana yakin pengundi bijak menilai untuk kebaikan mereka kelak.
“Kita akan bertemu dengan semua pengundi di Merlimau kerana keputusan akhirnya akan ditentukan pada 6 Mac depan.
“Keyakinan untuk menang juga tinggi berdasarkan sokongan yang diterima daripada peyokong dan pengundi di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau, semalam.
Ditanya mengenai isu yang akan dibawa semasa kempen, Yuhaizad berkata, segalanya bergantung kepada kempen selama tujuh hari kelak untuk dinilai oleh pengundi di DUN Merlimau.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, pihaknya berharap tempoh kempen selama tujuh hari bermula semalam dapat dilaksanakan dengan tenang dan aman.
“Ini bagi memastikan rakyat dapat menilai sekali gus memilih wakil rakyat yang tepat tanpa sebarang provokasi daripada pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafar Ali ketika ditanya mengenai tiga bantahan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menjelaskan, pihaknya membuat bantahan tersebut kerana tiada surat peletakan jawatan yang sah oleh calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad sebagai Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd.
“Kita bantah kerana tidak nampak surat peletakan jawatannya yang sah sebagai kakitangan kerajaan. Namun begitu perkara tersebut telah selesai,” katanya.[Sinar Harian]