Ikuti Blog ini

BN Terus Ciplak Buku Jingga Pakatan Untuk Pilihan Raya Kecil

PETALING JAYA 1 MAC : Pengumuman terbaru pimpinan Barisan Nasional (BN) tentang insentif tawaran baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka FELDA menunjukkan BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Januari lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyifatkan bahawa Buku Jingga Pakatan adalah populis dan tidak bertanggungjawab, kami dimaklumkan bahawa beliau mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara," katanya.

Menurut Nik Nazmi tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

"Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka FELDA boleh dituntut menerusi tiga pilihan. Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula.

Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004. Bayaran sebanyak RM5,000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit," katanya.

Tambah Nik Nazmi Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa FELDA Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA.

Malang sekali ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

"Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga." ujarnya.

Tv Selangor

Ulasan Cina Islam:

UMNO/BN terus melakonkan sesuatu yang boleh menarik sokongan rakyat kepada mereka dengan cara sekalipun. Setiap kali musim PRK dan PRU mereka terus menerus menabur mee segera dan janji manis demi kemenangan calon mereka.

Namun saya kira rakyat sudah faham dengan lakonan ini dan BN dan UMNO akan tetap disungkurkan dalam piliharaya Kerdau dan Merlimau serta PRU ke 13 nanti.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .