Ikuti Blog ini

Sedarkan BN dengan pilih calon PAS

TEMERLOH, 1 Mac: Memilih calon PAS dalam pilihan raya kecil ini akan membuka mata pemimpin kerajaan negeri dan Pusat untuk membangunkan Kerdau dengan lebih baik lagi.

Demikian kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang medianya dekat sini.

(Gambar: Tuan Ibrahim berbincang dengan Dr Dzulkefli dan Abdul Wahid menjelang sidang media harian)

Katanya, memilih calon PAS untuk pilihan raya kecil ini tidak akan merugikan apa-apa kepada BN atau Umno kerana ia sekejap sahaja menjelang pilihan raya umum.

"Sudah pasti, kerajaan akan memberikan perhatian penuh kepada Kerdau kerana takut kalah juga dalam pilihan raya umum nanti dengan membangunkan kawasan ini dan dengan itu rakyat Kerdaulah yang untung," katanya.

Kata beliau, wakil PAS yang akan berperanan sebagai pembangkang dalam DUN akan lebih berfungi menjadi pemantau dan menegur salah laku kerajaan dalam menguruskan negeri yang di pimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakub sebagai Menteri Besar itu.

Katanya, di bawah Adnan pentadbiran negeri Pahang penuh dengan kebejatan dan ketempangan pengurusan sehingga negeri itu bergelut dengan bermacam masalah.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang ketika menyangkal dakwaan Adnan kononnya PAS tidak ada isu dalam PRK ini berkata, kerajaan negeri Pahang di bawah Adnan berhadapan dengan saman berjumlah hampir RM300 juta oleh syarikat-syarikat balak atas dakwaan perlanggaran perjanjian kontrak.

"Wakil BN sudah pasti tidak akan menegur perkara-perkara seperti ini, lebih-lebih lagi kalau wakil dalam DUN itu bekas pembantu kepada Menteri Besar," katanya dalam sidang media di markas besar PAS Kerdau hari ini.

(Gambar: Tuan Ibrahim di kawasan PPAR yang terbengkalai)

Dalam konteks Kerdau pula kata beliau, tindakan rakyat di situ memilih calon PAS akan memberi impak yang baik kepada pembangunan di Kerdau yang selama ini terpinggir dari arus pembangunan.

Beliau memberi contoh DUN Triang yang dimenangi pembangkang (DAP) sejak beberapa penggal lalu, lebih membangun berbanding DUN-DUN lain sekitarnya yang di menangi BN.

"Rakyat di sana menikmati kemudahan asas yang lebih baik, pembangunan yang rancak dan aktiviti ekonomi mereka berkembang," kata beliau.

Tuan Ibrahim menyifatkan pemimpin BN tidak mengambil berat masalah melibatkan rakyat di kawasan-kawasan yang mereka menangi.

Beliau mendedahkan bagaimana dalam DUN Kerdau sendiri terdapat janji pemimpin BN yang tidak dikotakan walaupun sudah melampaui puluhan tahun seperti janji untuk menyelesaikan masalah air di kampung Orang Asli Paya Sendayan.

"Janji itu dibuat ketika pilihan raya kecil Sanggang (ketika itu Kerdau dalam DUN Sangang) pada tahun 2000, tapi sehingga hari ini Orang Asli di sana masih bergelut dengan masalah air.

"PRK kali ini Perdana Menteri terpaksa sekali lagi datang menjanjikan peruntukan RM9.25 juta untuk menaiktaraf loji air di Batu Sawar bagi mengatasi masalah air di sana," kata beliau.

Selain itu Tuan Ibrahim turut mendedahkan butiran sebuah projek perumahan untuk rakyat dalam DUN Kerdau yan terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

(Gambar: Lihatlah keadaan rumah PPAR ini, kata Tuan Ibrahim kepada Dr Dzulkefli Ahmad ketika melawat projek terbengkalai itu)

Pihak media kemudiannya di bawa untuk melihat sendiri projek tersebut yang terletak di Paya Taram dalam program tinjauan isu-isu di Kerdau yang di susun oleh PAS.

Seperti mana pilihan raya -pilihan raya sebelumnya, sekali lagi pemimpin BN iaitu Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said mengumumkan telah meluluskan RM2.2 juta bagi membaiki semula perumahan yang dimiliki Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang itu.

Penduduk Kerdau pertama kali mendengar janji pemimpin BN untuk menyelesaikan masalah perumahan tersebut pada tahun 1990 - ketika pilihan raya umum ke-8

Projek perumahan untuk rakyat di Paya Taram mengandungi 198 unit rumah teres setingkat dengan ukuran 6 meter x 9.3 meter dan mula dibina pada 1988 tetapi projek berkenaan terbengkalai beberapa tahun kemudian sebelum sempat siap.

Lebih mengecewakan lagi, projek kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada bank dan pembeli terpaksa memohon pinjaman sehinggalah harga tawaran asal RM25,000 sebuah rumah telah meningkat kepada RM35,000 bagi lot biasa manakala harga bagi lebihan lot dikira sebanyak RM2.50 bagi setiap sekaki persegi. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .