Ikuti Blog ini

Pakatan Rakyat Sebenarnya Menang Besar Heret Sarawak Ke Arus Politik Perdana

PR cipta kemenangan besar: Sarawak kini dalam arus perdana politik

Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011 setelah berjaya menawan 16 kerusi DUN (termasuk satu daripada calon bebas).

Antara maknanya yang terbesar adalah menyaksikan bagaimana Sarawak masuk ke dalam arus perdana politik Malaysia, dan tidak lagi terpisah dari gelombang reformasi politik negara.

Dalam tempoh kempen selama 10 hari, ceramah anjuran DAP di bandar menarik kelompok manusia yang menakjubkan, sehingga rakyat mula yakin bahawa PR mampu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, malah mengambil alih kuasa kerajaan negeri. Namun demikian, ia hanya imaginasi yang tercetus kerana kedahagaan terhadap reformasi. Pada hakikatnya, ia terlalu optimis dan kurang pertimbangan realistik.

Dalam PRN Sarawak 2006, PR hanya mampu menawan 9 DUN di kawasan bandar. Kali ini, DAP dan PKR dari Semenanjung berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan. Bahkan PR berjaya menawan 3 kerusi di kawasan bukan Cina. Gelombang telah mengombak di kawasan desa-bandar, berikutan kemenangan PR ini - dan semestinya ia memberi tekanan kepada parti politik tempatan.

Pengundi Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi menerima perbezaan antara "parti tempatan" dengan "parti Semenanjung", dan semua parti politik adalah parti di bawah bumbung Malaysia. Pengundi hanya mengambil berat tentang idealisme dan tuntutan - bukan lagi perbezaan geografi - lantas pandangan sempit geografi ini digugurkan.

Apabila fikrah sempit politik berdasarkan geografi ini dipecahkan, maka SUPP dan PBB yang rasuah dan tidak cekap gagal lagi untuk berselindung di sebalik "parti tempatan", untuk terus mengabaikan seruan perubahan pengundi.

PR telah mengharungi pertarungan kali ini, dan mendapat kepercayaan daripada pengundi Sarawak. Mereka bukan lagi "parti dari luar", tetapi telah mempunyai asas di Sarawak melalui undi rakyat. Sebaliknya, parti politik yang melabel dirinya "parti tempatan" - telah disingkirkan pengundi tempatan. Apakah mereka masih layak untuk menggelar dirinya "parti tempatan" apabila gagal mendapat restu daripada orang tempatan?

Sepakat dalam nilai politik

Pengundi Sarawak kini lebih mengambil berat tentang "idealisme" daripada "geografi". Perubahan ini membantu untuk membentuk kesepakatan seluruh rakyat dalam nilai politik. Sarawak tidak lagi tersisih dari pinggiran politik Malaysia, sebaliknya lebih rapat dengan arus perdana reformasi politik nasional. Sarawak bukan lagi deposit tetap BN. BN dan UMNO tidak boleh lagi merampas kekayaan dan sumber negeri Sarawak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan suara rakyat.

Walaupun PR gagal menafikan majoriti dua pertiga BN, namun tidak boleh dinafikan bahawa keputusan PRN Sarawak 2011 adalah kemenangan besar yang bersejarah. DAP dan PKR mempunyai harapan untuk memasuki kawasan desa-bandar, untuk membina akar umbinya pada masa depan.

PRN ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah politik Sarawak. Perhimpunan politik di jalan raya adalah perhimpunan politik terbesar sejak zaman anti-penjajahan pada tahun 1960-an.

DAP menguasai politik Cina

Pada dasarnya, SUPP telah kehilangan reputasi yang dibina sejak 40 tahun yang lalu. Politik Cina di Sarawak bakal dikuasai sepenuhnya oleh DAP. SUPP memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun pada masa depan untuk membina semula imejnya, dan melahirkan pemimpin generasi baru. Dengan kata lain, 10 tahun yang akan datang adalah dekad yang merudum untuk SUPP.

SUPP adalah parti politik tempatan, mempunyai organisasi yang luas. Mungkin tidak pecah berkecai, namun ia tetap akan menemui ajal seandainya tidak memikirkan perubahan. Bukan sahaja pimpinannya akan dipertanggungjawabkan lantaran kekalahan ini, malah hubungannya dengan Taib Mahmud juga bakal berubah.

Pada masa yang sama, PBB yang dipimpin Taib Mahmud juga berdepan dengan krisis pengganti. PR menyasarkan Taib Mahmud sepanjang kempen, dan ini akan dipergunakan Najib untuk mendesak agar Taib Mahmud berundur. UMNO berharap Taib berundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, UMNO juga khuatir dengan Taib, yang kelihatan masih enggan bersara. Kali ini, sentimen rakyat boleh dijadikan alasan Najib untuk mendesak Taib.

"Angkatan tentera DAP" ini telah berjaya menghapuskan Gerakan pada tiga tahun yang lalu. Kini DAP pula meranapkan SUPP, tinggal MCA yang nyawa-nyawa ikan. Sehati senada SUPP berkhidmat untuk "Pek Moh" - Pek Moh makan daging, SUPP minum sup. MCA seharusnya mendapat iktibar daripada kemusnahan SUPP. Seandainya MCA sehati senada berkhidmat untuk UMNO, mereka akan mengalami nasib yang sama.

*Phoon Wing Keong ialah pengkaji politik.


Kuasai 15 kerusi beri Pakatan harapan baru, kata penganalisis

Walaupun hanya menang 15 kerusi, namun penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan di Sarawak.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, penganalisis berkata hanya DAP yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding PKR dan PAS.

Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihan raya negeri 2006 — yang mana ketika itu BN memperoleh 62 kerusi.

“Bagi Pakatan Rakyat mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP yang mana mereka telah dapat 12 kerusi berbanding sebelum ini enam dan ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.

“Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Kata beliau, walaupun Pakatan Rakyat merupakan parti dari Semenanjung, namun jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.

“Bagi Pakatan Rakyat walaupun berasal dari Semenanjung Malaysia, namun mereka nampaknya sudah mula diterima, malah kita boleh lihat bagaimana DAP yang sebelum ini menang enam kerusi kini sudah bertambah.

“Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan ke atas DUN Sarawak, namun begitu nampaknya bukan semua pengundi masih boleh terima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jelas Sivamurugan, faktor utama kemenangan besar BN adalah sumbangan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu jentera parti itu.

Beliau juga berkata, BN perlu melaksanakan setiap janji yang dibuat agar momentum kemenangan akan dapat diteruskan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Bagi saya faktor kemenangan BN adalah Najib dan Muhyiddin yang telah lakukan kempen yang hebat untuk pastikan Sarawak kekal menjadi simpanan hayat BN.

“Tapi cabarannya adalah untuk pastikan apa yang dijanjikan semasa kempen dilaksanakan supaya momentum itu dapat dikekalkan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mungkin pengundi di Sarawak mahu memberikan satu lagi peluang kepada BN supaya jurang antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan terutamanya jurang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri selain mahu melihat Najib melakukan lebih banyak perubahan,” katanya.

Malam tadi Najib memberi isyarat jelas bahawa kemenangan selesa BN dalam pilihan raya negeri Sarawak akan dijadikan kayu ukur dan jambatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kata Najib, kemenangan besar BN itu akan diterjemahkan pada pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagi Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat, DAP menunjukkan parti itu berjaya mendapatkan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jelas beliau, keputusan yang diperoleh Pakatan Rakyat itu masih belum dapat untuk bersaing dengan BN yang mempunyai pengaruh yang kuat di Sarawak.

“Saya melihat keputusan itu secara keseluruhannya kita lihat memang BN dapat majoriti dua pertiga dan ini menunjukkan kemenangan besar BN.

“Namun kalau kita lihat kawasan yang dimenangi DAP menunjukkan peningkatan DAP, begitu juga PKR yang meningkat kepada DAP.

“Ini menunjukkan peningkatan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Sarawak tapi secara keseluruhan BN masih berada dalam keadaan cukup selesa,” katanya.

Menurut Samsul Adabi lagi, banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi itu termasuk kegagalan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang “tewas” besar kepada DAP.

“Terlalu awal untuk ulas kerana kawasan BN yang merosot angka tidak besar... begitu juga kerana penerimaan Pakatan Rakyat yang mana kalau kita lihat banyak faktor lain terutamanya faktu undi masyarakat Cina yang kita lihat banyak beri kemenangan kepada DAP.

“Kalau nak kata keseluruhan rakyat Sarawak sudah menerima Pakatan Rakyat, masih tidak boleh katakan, tapi kalau undi masyarakat Cina kepada DAP boleh kita lihat.

“Ini kerana SUPP yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak gagal menyelesaikan masalah kepimpinan dalam parti itu dan telah mengalami kekalahan besar menyebabkan pengundi Cina telah pergi kepada DAP dan bukan BN,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kemenangan dua pertiga BN memang sudah dijangkakan, namun Pakatan Rakyat berjaya menang lebih kerusi.

“Saya ingat ia (kemenangan BN) sudah dijangkakan dan kerusi yang diperoleh sudah dijangka, awal cuma rasa risau dan bimbang.

“Dan yang saya lihat DAP berjaya menang 12 kerusi... saya juga tidak jangka PKR boleh dapat tiga kerusi, saya ingat ia adalah kerana faktor protes kerana tidak berpuas hati dengan BN bukan kerana minat kepada PKR,” katanya.

Selain itu, beliau percaya BN akan memperoleh kemenangan lebih besar sekiranya SUPP tidak tewas banyak kerusi.

“Sepatutnya BN boleh menang dengan lebih besar, kemenangan DAP sudah dijangka sebab trend pengundi Cina memang nampak begitu tegas kepada DAP, ia bukan undi protes bagi DAP, PKR mungkin.

“Kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kepada DAP, yang saya rasa PAS dan PKR gagal terangkan manifesto Pakatan Rakyat, isu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga memberi sumbangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Datuk Dr Zainal Kling pula menjelaskan kemenangan 15 kerusi itu masih belum menggambarkan majoriti besar pengundi Sarawak menerima Pakatan Rakyat.

“Saya fikir pilihan raya kali ini beri harapan kepada Pakatan Rakyat terutamanya sekali DAP dan PKR, yang mana DAP berjaya jatuhkan SUPP.

“Namun Pakatan Rakyat secara seluruh belum (diterima) tapi DAP dan PKR sudah mula bertapak di sana sudah ada tapak untuk bergerak lebih menyakinkan mereka,” katanya. -TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .