Ikuti Blog ini

Perniagaan akan maju, pasaraya buka seperti biasa

KUALA LUMPUR, 8 Julai: PAS yakin peniagaan tidak akan terjejas bahkan akan bertambah maju sempena perhimpunan Bersih 2.0 yang akan berlangsung di ibu negara esok.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib meminta para peniaga jangan bimbang dan meneruskan perniagaan mereka sebagaimana biasa esok.

(Sogo KL antara pusat beli belah yang bakal menjadi tumpuan esok...seluruh negara akan bertumpu ke sini untuk membeli belah menjelang Ramadhan)

"Saya yakin, bukannya perniagaan mereka terjejas tetapi perniagaan mereka akan bertambah maju kerana seluruh rakyat negara ini bertumpu ke Kuala Lumpur esok," kata Saari kepada Harakahdaily.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan berlangsung di Stadium Merdeka esok mulai jam 2 petang.

Pelbagai momokan dibuat oleh pihak-pihak tertentu kononnya peniaga akan kerugian ekoran perhimpunan esok.

Namun pemimpin Bersih 2.0 yakin, sekurang-kurang RM3 juta akan dibelanja oleh para penyokong Bersih esok dengan andaian 300,000 akan menyertai perhimpunan ini dan setiap seorang akan membawa RM100.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pernah memberitahu pemimpin kanan polis, jika water canon disembur ke arah orang ramai bukan sahaja kedai akan dirempuh bahkan "kandang babi pun akan kami rempuh," kata beliau.

Saari (gambar) yang juga Adun Hulu Klang ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini menyatakan himpunan Bersih 2.0 akan tetap diteruskan meskipun terdapat berbagai halangan dibuat.

Sehubungan dengan itu, beliau juga meminta agar rakyat yang berniaga ketika itu termasuklah pasaraya tidak perlu rasa bimbang dan cemas dengan himpunan ini.

"Kita yakin himpunan yang akan berlaku esok tidak akan berlaku huru-hara seperti yang digambarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan rakyat.

“peniaga-peniaga tidak perlu bimbang dengan himpunan ini kerana esok merupakan peningkatan ekonomi mereka yang sebelum ini mungkin ada yang kurang pendapatan dalam menjalankan perniagaan tetapi esok saya yakin rezeki mereka melimpah ruah,” kata Saari.

Mereka yang terlibat dalam perniagaan sepatutnya bersyukur kerana esok gerai dan pasaraya mereka akan di kunjungi oramai ramai yang sudah pasti datang daripada berbagai negeri datang ke Kuala Lumpur, tambahnya.

Katanya, “kita dapat gambarkan rakyat yang datang di seluruh negeri datang kesini akan berhimpun beramai-ramai membawa ahli keluarga dan teman-teman berjalan –jalan menuju ke stadium sambil mereka membeli belah untuk persiapan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aildilfitri nanti.”

Ketika dihubungi Harakahdaily, antara pasaraya yang akan beroperasi sebagaimana biasa adalah pasaraya Sogo, Pertama Complex, MidValley Mega Mall, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur, Isetan (KLCC), Megakidz Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, The Store Jalan Ipoh dan lain-lain.

(Mydin antara pusat membeli belah yang akan turut mendapat perhatian esok)

Manakala itu, pasaraya Mydin Jalan Masjid India akan tutup perniagaan dan bagi pasaraya Kamdar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bergantung kepada keadaan.

Azira Abdullah, pegawai pasaraya Kamdar itu berkata ketika dihubungi oleh Harakahdaily “setakat ini pasaraya Kamdar akan beroperasi seperti biasa walaupun telah dimaklumkan himpunan Bersih 2.0 akan diadakan esok”.

"Tetapi ia bergantung kepada keadaan. Sekiranya kami mendapat arahan daripada pihak atasan, mungkin akan di tutup juga sehingga mendapat arahan untuk membuka perniagaan kembali untuk esok," katanya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .