Ikuti Blog ini

Mansuh ISA: "Penampar" Ke Muka Najib, Pakatan Bukan Rakyatkah? - TGNA

Pakatan bukan rakyat, soal TG Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.

Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas. -M'kini


ISA: BN jangan ‘syok sendiri’ ambil kredit, kata Mipas


KUALA LUMPUR, 18 Sept — Persatuan Progresif Kaum India Malaysia (Mipas) mengingatkan Barisan Nasional (BN) jangan sama sekali menafikan peranan Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang mengenakan tekanan secara berterusan sehingga membawa kepada inisiatif pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Sehubungan itu Setiausaha Agungnya S Barathidasan berkata, Umno-BN bertindak seolah-olah “syok sendiri” dengan pengumuman mahu memansuhkan ISA manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu kredit berhubung inisiatif itu diberikan kepada BN semata-mata.


Semalam, Najib menegaskan bahawa keputusan untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan pihak lain.


Kata Najib, jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.


“Mipas menggesa agar kredit diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang memberi tekanan ke atas kerajaan agar memansuhkan ISA,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Kata beliau, BN tidak akan berubah walaupun selepas lima dekad sekiranya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tidak mengetengahkan suara mereka manakala Pakatan Rakyat pula tidak meletakkan tekanan menerusi Buku Jingganya.


“Sekarang BN-Umno mendakwa mereka mendengar suara rakyat... lembu punya susu sapi dapat nama,” sindir beliau.


“Kami tahu jika kerajaan BN tidak memansuhkan ISA, Pakatan akan memansuhkannya jika mengambil alih Putrajaya. Terima kasih kepada rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat yang memainkan peranan mengenakan tekanan (ke atas kerajaan),” kata beliau lagi.


Sehubungan itu, Mipas percaya bahawa rakyat akan memberi sokongan penuh dan mandat mereka kepada Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan ke atas kerajaan.

“Mengapa tidak memberi hanya satu penggal kepada Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Tidak salah untuk memberi satu penggal memandangkan kerajaan BN sudah memerintah lebih 50 tahun... jika Pakatan Rakyat gagal, rakyat boleh memilih kerajaan baru,”
katanya.



Dalam perutusan Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.


Najib menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun lepas.


Kata Najib, perubahan itu akan meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh kerana ia akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan lebih terbuka di samping itu dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.


“Kita inginkan keseimbangan di antara keterbukaan dan hak asasi individu di samping menjaga ketenteraman awam dan kepentingan rakyat jelata,” katanya. -TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .